PARIS: Presiden Persekutuan Ragbi Perancis (FFR) Bernard Laporte dibebaskan tanpa pertuduhan Selasa lalu selepas ditahan pada hari yang sama sebagai sebahagian daripada siasatan dimana beliau disyaki terlibat dalam penipuan cukai.
Pendakwa kewangan yang telah mengumumkan penahanan Laporte, dan salah seorang peguam Laporte, Jean-Pierre Versini-Campinchi, mengesahkan pembebasannya.
"Ia adalah satu kes di mana Laporte terlibat kerana telah dikaitkan dengan rakan ragbi suatu masa dahulu.
"Beliau tidak pernah dituduh menipu atau menerima sebarang wang," kata Versini-Campinchi.
Januari lalu, Laporte berundur daripada peranannya di FFR tanpa meletak jawatan selepas disabitkan dengan tuduhan rasuah yang tidak berkaitan sembilan bulan sebelum Perancis menjadi tuan rumah Piala Ragbi Dunia.
Siasatan terbaru bermula pada Ogos 2020.
Insiden pada Selasa lalu berlaku ketika hampir 2,000 kelab ragbi Perancis mengundi sama ada untuk menerima presiden sementara Patrick Buisson yang dilantik Laporte, dengan keputusan dijangka hari ini.
Laporte, yang telah memegang jawatan sejak 2016, didapati bersalah pada 13 Disember 2022 atas lima daripada enam kesalahan yang didakwa, termasuk rasuah dan pilih kasih.
Laporte, 58 tahun, menerima hukuman penjara yang ditangguhkan selama dua tahun.
Dia juga dilarang daripada memegang sebarang jawatan ragbi selama dua tahun, tetapi ini digantung sementara menunggu rayuannya.
Mengikuti sabitannya, Laporte berundur daripada jawatannya sebagai naib pengerusi Ragbi Dunia, sebuah badan induk global ragbi, sementara menunggu kajian oleh pegawai etika. - Agensi berita.