Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

REVIU SEPARUH AKHIR: MAGHRIBI LWN PERANCIS

Perancis kerja keras sebelum jejak kaki ke final

Dec 16, 2022 | 05:30 AM



DOHA: Perancis terpaksa bertungkus-lumus sehingga wisel penamat perlawanan separuh akhir Piala Dunia dengan Maghribi untuk memastikan pasukan itu tidak mencatat sebarang kejutan, demi menjamin tempat di final.



Perancis menang 2-0, dengan gol-dol dijaringkan oleh Theo Hernandez seawal minit kelima dan selanjutnya pemain gantian, Kolo Muani pada minit ke-79; tetapi Maghribi tetap memberi ancaman dan tidak pernah mengaku kalah.



Maghribi, negara yang dibentuk kebanyakan orang Arab tetapi bertempat di Afrika, menjadi pasukan pertama dari benua itu yang mara ke separuh akhir Piala Dunia, dan pemainnya tidak mensia-siakan peluang untuk terus mencatat sejarah.



Ini walaupun, perlawanan bermula dengan cara yang mengecewakan baginya, selepas pemain pertahanan tunggak, Nayef Aguerd mengalami kecederaan sebelum perlawanan bermula dan selanjutnya melepaskan gol dengan perlawanan berusia terlalu muda.



Namun, Perancis, yang menduduki ranking keempat di dunia, 18 tempat di atas Maghribi, menunjukkan mengapa ia berhak mara ke final sebagai juara bertahan.



Dan Muani, yang menjaringkan jaringan sejurus selepas dimasukkan ke padang, menjamin tiket ke final, dan perlawanan akhir impian dengan Argentina, yang kelmarin menempah tiket sendiri dengan mengatasi Croatia 3-0.



Bak jatuh ditimpa tangga, Maghribi juga kehilangan Romain Saiss - yang cuba kekal di padang walaupun cedera - pada separuh masa kedua.



Nasib juga tidak menyebelahinya, apabila tendangan akrobatik Jawad El Yamiq tidak memasuki gawang hasil tindakan penjaga gawang Perancis Hugo Lloris dan adangan tiang gol.



Kecuali beberapa saat cemas sedemikian, Perancis secara keseluruhannya berjaya mengawal benteng secara baik, dengan pemain pertahanan Liverpool, Ibrahima Konate bertindak cemerlang, mematah serangan demi serangan di Stadium Al Bayt yang penuh.



Pada masa yang sama, Perancis tidak berhenti mengasak kubu pertahanan Maghribi, dengan percubaan Olivier Giroud turut mengena tiang gol pada babak pertama.



Walau tidak berjaya menjaringkan gol kedua yang boleh menjadikan kedudukannya lebih selesa, pemain Perancis berjaya kekal tenang sepanjang perlawanan.



Kini, mereka berpeluang menjadi pasukan pertama dalam masa enam dekad yang mempertahankan trofi Piala Dunia.



Pasukan terakhir berbuat demikian adalah Brazil, pada 1958 dan 1962.



Ini walaupun pemain Perancis terpaksa mengharungi sorakan penonton, yang kebanyakannya menyarung pakaian warna merah hijau bendera Maghribi setiap kali ia memiliki bola.



Kini, jurulatih perancis Didier Deschamps perlu membuat keputusan sukar - sama ada mengekalkan Konate di tengah-tengah benteng pertahanan bagi final atau menurunkan semula Dayot Upamecano yang kurang cergas bagi separuh akhir ini.



Ada pemerhati boleh mendakwa Deschamps dan pasukannya juga sedikit bertuah untuk tiba ke tahap ini. Walaupun ia mempunyai senjata azimat dalam bentuk Kylian Mbappe, Perancis telah memulakan pertandingan dengan cara yang kurang menyakinkan.



Namun kini ia telah melayakkan diri ke final dan Deschamps, 54 tahun, yang pernah memimpin Perancis sebagai kapten semasa ia memenangi Piala Dunia pada 1998 di Paris, berpeluang mencatat sejarah dengan memenangi trofi itu sebagai kededua pemain dan jurulatih.



Di akhir perlawanan, pemain Maghribi dan staf telah diberikan tepukan gemuruh dan dilontar pujian oleh penyokongnya.



Dan Maghribi, selepas menewaskan Belgium, Sepanyol dan Portugal dalam laluan ke separuh akhir telah menunjukkan ia bukan sekadar pasukan yang bergantung pada taktik pertahanan negatif, malah mempunyai pemain kreatif yang mampu memporak-perandakan benteng lawan.



Namun, tekad untuk menang dan kecekalan yang ditunjukkan pemainnya telah menambat hati peminat.



Sebahagian besar sifat pasukan yang tidak mengaku kalah ini adalah kerana jurulatih Walid Regragui, yang berjaya menyemarak pasukannya acap kali, termasuk di separuh akhir ini.



Sofyan Amrabat sekali lagi bertindak cemerlang dan El Yamiq hampir menjaringkan gol penyamaan.



Ia juga tidak diberikan penalti apabila Sofiane Boufal dijatuhkan oleh Hernandez dalam petak penalti Perancis pada babak pertama, dengan Boufal diberikan kad kuning, walaupun ulang tayang televisyen menunjukkan pemain itu jelas dikasari.



Namun, Maghribi tidak mengaku kalah dan kombinasi tuah yang tidak menyebelahi mereka dan pemain barisan depan yang enggan membuat percubaan apabila ada sedikit peluang di depan gawang bermakna ia sentiasa terdedah kepada gol kedua Perancis yang akhirnya muncul di penghujung perlawanan. - Agensi berita




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >