ATLET Russia dan Belarus mesti dilarang daripada menyertai Wimbledon tahun ini dan Sukan Olimpik Paris 2024 ketika "warga Ukraine yang tidak bersalah masih dibunuh", kata pemain tenis Ukraine, Elina Svitolina.
Kelab Tenis Rumput All England (AELTC), yang menganjurkan Wimbledon, masih belum mengumumkan sama ada mereka berhasrat mengekalkan larangan itu pada kejohanan tahun ini.
Namun, pemain yang jejak separuh akhir Wimbledon 2019, Svitolina, berkata: "Perang masih berlaku. Keputusan tidak sepatutnya berbeza. Saya harap mereka akan melakukan perkara yang sama dan mengekalkan larangan itu."
Kedua-dua AELTC dan Persatuan Lawn Tenis (LTA) didenda kerana melarang pemain tahun lalu dan kejohanan itu telah disingkirkan mata rankingnya.
Sementara itu, Jawatankuasa Antarabangsa Olimpik (IOC) mengumumkan minggu lalu bahawa ia akan mempertimbangkan membenarkan atlet Russia dan Belarus bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 di bawah bendera neutral.
Ia berkata, "tiada atlet harus dihalang daripada bertanding hanya kerana pasport mereka".
Ukraine telah mengancam memboikot Sukan Olimpik jika itu berlaku. Sehingga 40 negara boleh menyertainya, kata Menteri Sukan dan Pelancongan Poland Kamil Bortniczuk.
"Saya tidak fikir bendera neutral mengubah apa-apa," kata Svitolina, yang memenangi pingat gangsa dalam perseorangan wanita di Sukan Olimpik 2020.
"Saya melihat banyak komen bahawa sukan harus diasingkan daripada politik tetapi sukan Russia adalah sebahagian besar daripada politik mereka.
"Semoga kita tidak perlu membuat keputusan ini (boikot) kerana ia akan menghantar mesej yang salah."
Juara Terbuka Australia dan pemain Belarus, Aryna Sabalenk, sebelum ini berkata "tiada siapa menyokong perang".
Namun, beliau menambah beliau tidak mempunyai kawalan atas politik Belarus dan "tidak boleh berbuat apa-apa" untuk menghentikan perang.
Pemain nombor lima dunia dan pemain Rusia Andrey Rublev berkata adalah buruk untuk tenis jika atlet Russia dan Belarus dilarang bagi tahun kedua.
Beliau merayu untuk perdamaian tahun lalu dengan menulis 'tolong jangan ada perang' pada kamera televisyen selepas satu perlawanan.
Dengan ulang tahun Russia menyerang Ukraine semakin hampir pada 24 Februari, Svitolina berkata beliau mahu menggunakan kedudukannya sebagai salah seorang atlet paling terkemuka di Ukraine untuk memastikan orang di seluruh dunia "tidak lupa" tentang perang dan kesannya.
Svitolina, bersama bekas kapten bola sepak Ukraine Andriy Shevchenko dan juara tinju heavyweight Oleksandr Usyk, adalah salah seorang duta untuk platform pengumpulan dana United24 yang ditubuhkan oleh Presiden Volodymyr Zelensky.
Derma itu membantu membina semula negara Ukraine - termasuk infrastruktur, rumah kediaman dan hospital.
Ukraine berkata 27,000 bangunan telah musnah di wilayah Kyiv, manakala banyak hospital dan ambulans turut diserang. - Agensi berita