BIRMINGHAM: Perenang nasional Singapura, Teong Tzen Wei, berjaya meraih pingat pertama Singapura pada Sabtu (30 Julai) di Sukan Komanwel yang sedang berlangsung kini dan berada di tempat kedua kategori lelaki, kuak kupu-kupu 50 meter.
Akhbar The Straits Times melaporkan beliau mencatatkan 23.21 saat untuk membawa pulang pingat perak di Pusat Akuatik Sandwell di Smethwick, England.
Perenang England, Ben Proud pula mendapat pingat emas dengan mencatat rekod 22.81 saat manakala perenang New Zealand, Cameron Gray, pula meraih pingat gangsa dengan masa 23.27 saat.
Kata Teong, 24 tahun:
“Setiap orang ke sini untuk menang. Saya gembira dengan pingat perak ini tetapi saya fikir saya boleh usahakan yang lebih cepat dan lebih baik pada masa akan datang kelak. Lantaran itu, saya ingin tinjau semula bagaimana saya boleh memperbaiki perlumbaan saya.
“Dalam setiap perlumbaan, saya akan berikan yang terbaik tanpa mengira hasilnya saya jadi juara atau muncul di tempat terakhir. Saya sentiasa hanya ingin memperbaiki diri dan menjadi lebih baik lagi kerana saya tahu dalam perlumbaan kali ini, ia bukanlah masa terbaik saya dan kita semua melawan dengan diri kita sendiri.”
Beliau telah melayakkan dirinya ke peringkat akhir sebagai perenang kedua paling pantas pada Jumaat dengan masa 23.24 saat.
Hanya Proud yang pernah memenangi tiga pingat emas di Sukan Komanwel yang mempunyai masa lebih baik daripadanya iaitu 23.06 saat.
Perenang Trinidad and Tobago, Dylan Carter adalah yang ketiga terpantas dengan 23.41 saat.
Kejayaan di England menjadikannya perenang Singapura ketiga yang memenangi pingat Sukan Komanwel.
Yang pertama dalah Joseph Schooling, dengan pingat perak 100 meter kuak kupu-kupu pada edisi Sukan Komanwel 2014 di Glasgow.
Selepas itu, Toh Wei Soong pula meraih pingat gangsa bagi gaya bebas 50 meter di Gold Coast bagi Sukan Komanwel 2018.
Teong pula mencapai kejayaan menggalakkan sejak akhir-akhir ini. Di Sukan SEA Hanoi pada Mei, beliau adalah lelaki Asia Tenggara pertama yang mencatat masa di bawah 22 saat bagi acara gaya bebas 50 meter lelaki yang membawa pada kemenangan pingat emas.
Pada Kejuaraan Dunia Fina pada Jun, beliau layak ke peringkat akhir acara 50 meter kuak kupu-kupu, menjadikannya perenang lelaki Singapura ketiga yang berjaya ke peringkat akhir pertandingan dunia itu.