Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

AGM PERSES

Persaingan turut dijangka bagi jawatan presiden

Halim anggar hingga 50 peratus anggota majlis baru terdiri daripada golongan muda profesional
Oct 28, 2017 | 05:30 AM



MESYUARAT Agung Tahunan (AGM) Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) yang dijadualkan diadakan Isnin ini bakal menyaksikan persaingan bagi merebut beberapa jawatan utama, termasuk jawatan presiden bagi menerajui badan sukan itu bagi penggal 2017-2020.



Ini menyusuli keputusan pegawai veteran akar umbi Kaki Bukit, Mohamed Salim Ebrahim Marican, mahu tampil merebut jawatan presiden - yang akan menyaksikannya bersaing dengan presiden yang menerajui Perses sekarang, Abdul Halim Kader.



Selain itu, jawatan bagi mengisi tugas setiausaha agung badan sukan itu akan menyaksikan persaingan antara pemangku jawatan itu sekarang, Borhan Saini, dengan pencabarnya, Suzalinah Saidee.



Kededua Salim dan Suzalinah bukanlah orang asing dalam Perses - mereka merupakan anggota exco Perses 2015-2017 yang berpengalaman berkhidmat dalam badan sukan itu.



Salim kini juga merupakan naib presiden Perses manakala Suzalinah melaksanakan tugas sebagai bendahari - peranan yang dijalankannya sejak empat tahun lalu.



Salim, yang juga pengerusi Kaki Bukit CSC dan pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kaki Bukit, sebelum ini juga pernah mengisi jawatan setiausaha agung Perses bagi penggal 2013-2015.



Sementara itu tiga nama - Mohd Heikal Mohd Yusope, Rahamat Mohd Eusoff dan Mohd Nasri Haron - dijangka bertanding bagi merebut dua jawatan naib presiden. Tiada persaingan dijangka bagi satu jawatan timbalan presiden. Jawatan itu kini diisi oleh Meswan Satin.



Dalam kenyataan kepada media kelmarin, Halim melahirkan hasratnya melihat sehingga 50 peratus daripada anggota majlis yang bakal dibentuk di AGM mendatang ini terdiri daripada golongan muda profesional.



Tenaga-tenaga ini, katanya, penting dalam usaha membawa sukan ini ke hadapan dan mencapai matlamat utamanya - melihat sukan tradisional ini mendapat tempat dalam Sukan Olimpik.



Apabila dihubungi untuk ditanya mengenai keputusannya mahu bertanding bagi jawatan tertinggi Perses, Salim, 58 tahun, bagaimanapun enggan mengulas sambil menarik perhatian kepada Perlembagaan Perses (Artikel 22) yang melarang mana-mana anggota majlisnya membuat sebarang kenyataan kepada media kecuali presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung.



Namun menurut beberapa sumber yang rapat dengan Perses, pegawai veteran sukan akar umbi itu didorong beberapa rakan seperjuangan yang mahu melihat perubahan ke atas nasib sukan itu.



Difahamkan mereka prihatin dengan tahap takraw di Singapura yang semakin merudum sejak beberapa tahun lalu - di peringkat sekolah, jumlah pemain semakin berkurangan manakala di peringkat nasional, pasukan nasional juga semakin mengecewakan.



Apabila ditanya pula mengenai persaingan bagi jawatan utama Perses itu, Halim berkata bahawa beliau menyerahkannya kepada pertimbangan anggota kerabat untuk memilih calon terbaik.



"Saya alu-alukan persaingan kerana ia proses terbuka dan demokratik seperti yang digariskan perlembagaan Perses," kata Halim.



"Kerabat juga lebih matang dan tahu apa yang telah Majlis Perses laksanakan bagi kepentingan dan kemajuan sukan ini di persada antarabangsa," tambahnya.



Bekas tekong handalan nasional era 1980-an, Shukor Shadik, melahirkan harapan agar AGM kali ini diiringi masa depan lebih cerah bagi sukan itu.



"Siapa pun yang menerajui Perses, harapan saya ialah melihat beliau ikhlas dan bersungguh-sungguh melakukan sesuatu perubahan untuk menebus semula maruah sukan ini dan menyemarakkan semula minat penyokong.



"Begitu juga dengan pegawai lain serta anggota majlis (Perses)... saya harap mereka dapat memberikan sokongan dan komitmen yang tinggi demi kemajuan sukan ini," ujar Shukor, 53 tahun.



Sehubungan itu, Halim mengatakan permohonan Perses bagi mendapatkan status institusi bertaraf awam (IPC) telah pun mendapat kelulusan pihak berkuasa bagi tempoh 2017-2019.



Ini akan membolehkannya mendapat sokongan dan tajaan daripada pelbagai pihak termasuk syarikat korporat bagi membantu menjayakan pelbagai program yang dirancangkan demi merancakkan semula sukan ini.



AGM bermula 6.30 petang Isnin ini di bilik mesyuarat Perses, Bedok North.




APA HARAPAN 'PEMINAT' TAKRAW NEGARA



"Siapa pun yang menerajui Perses, harapan saya ialah melihat beliau ikhlas dan bersungguh-sungguh melakukan sesuatu perubahan untuk menebus semula maruah sukan ini dan menyemarakkan semula minat penyokong. Begitu juga dengan pegawai lain serta anggota majlis (Perses)... saya harap mereka dapat memberikan sokongan dan komitmen yang tinggi demi kemajuan sukan ini."
- Shukor Shadik  bekas tekong handalan skuad nasional.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >