ATLIT, penggiat dan peminat sukan sepak takraw dan silat bakal mendapat rumah baru yang lebih gah, besar dan canggih tidak lama lagi.
Ini kerana pejabat Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) dan Persekutuan Silat Singapura (Persisi) akan berpindah ke Kompleks Bersepadu Bedok yang dijangka siap dibina pada 2017.
Kompleks baru di pusat bandar kejiranan Bedok itu akan turut menempatkan pelbagai kemudahan sukan, riadah dan keluarga seperti kolam renang, gelanggang tenis, badminton, gimnasium, perpustakaan, poliklinik dan sebuah balai rakyat.
Mengalu-alukan pembinaan kompleks dan pemindahan tersebut, Setiausaha Agung Perses, Abdul Halim Kader, berkata:
"Langkah menempatkan pusat kegiatan sepak takraw dan silat di bawah satu bumbung oleh Sport Singapore dan Persatuan Rakyat bersama kemudahan sukan dan riadah lain ini adalah satu penghormatan bagi kami.
""Ini satu perkembangan baik bagi Perses dan sepak takraw kerana kami akan berpindah ke pusat paling moden bagi membolehkan kami menganjurkan acara dan pertandingan peringkat antarabangsa seperti Piala Dunia anjuran Istaf (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) dan Super Series."
Memberikan pandangannya, Ketua Pegawai Eksekutif Persisi, Sheik Alau'ddin Yacoob Marican, berkata perpindahan itu adalah baik bagi kegiatan persilatan.
"Ia langkah yang bagus kerana kompleks baru itu mempunyai banyak kemudahan di bawah satu bumbung, semua bersepadu dan mudah dipakai.
"Memandang semuanya (kemudahan) ada di situ, mudah bagi ibu bapa menghantar anak mereka mengikuti kelas dan kegiatan silat sementara mereka pula, pada masa yang sama, boleh mengisi masa di perpustakaan atau ke balai rakyat."
Menurut Sheik Alauddin lagi, kemudahan lebih moden dan besar juga bakal membolehkan Persisi menganjurkan kejohanan lebih besar seperti Kejohanan Dunia."
ISMAIL ALI