KECUAIAN pertahanan memusnahkan harapan pasukan Singa untuk mara ke pusingan seterusnya Kelayakan Piala Dunia 2022 setelah Singapura tewas 4-0 di tangan Palestin di Riyadh, Arab Saudi awal pagi Jumaat.
Tiga gol - termasuk dua penalti - dalam tempoh 10 minit pada babak pertama meninggalkan anak buah Tatsuma Yoshida jauh di belakang, dengan satu gol dalam babak kedua menambah kesengsaraan Singapura, yang beraksi tanpa beberapa pemain utama.
Palestin membuka tirai jaringan menerusi penalti yang disempurnakan Tamer Seyam pada minit ke-20.
Pemain bek tengah Singapura Madhu Mohana cuai mengasari Oday Dabbagh dalam kotak penalti.
Tiga minit kemudian, Dabbagh meledakkan gol kedua Palestin selepas Singapura gagal membawa bola keluar dari bahagian pertahanan mereka.
Singapura kemudian menghadiahkan Palestin satu lagi tendangan penalti, yang buat kali kedua disempurnakan Seyam, pada minit ke-30.
Irfan Fandi melakukan faul kerana menggunakan tangan di dalam kotak penalti ketika mempertahankan bola dari hantaran sudut.
Pada babak kedua, benteng pertahanan Singapura kelihatan lebih kukuh setelah Baihakki Khaizan dimasukkan ke padang, menggantikan pemain sayap Gabriel Quak.
Namun, gol dari jarak dekat Yaser Hamed, lima minit sebelum wisel penamat, berjaya membolos gawang penjaga gol Singapura Izwan Mahbud untuk kali keempat.
Penyerang muda pasukan Singa Ilhan Fandi, yang memulakan perlawanan, dan pemain midfield Saifullah Akbar, yang menggantikan Hafiz Nor dalam separuh kedua, membuat penampilan sulung mereka untuk negara dalam perlawanan itu.
Kekalahan di Stadium Antarabangsa Raja Fadh pagi tadi bermakna anak buah Yoshida perlu melakukan keajaiban untuk mencapai sasaran meraih empat mata supaya dapat menamatkan kempen kelayakan sebagai dua pasukan teratas kumpulan.
Singapura kini menduduki tangga keempat dengan tujuh mata dalam Kumpulan D, di belakang penghuni tempat ketiga Palestine (7 mata), penghuni tempat kedua Uzbekistan (9 mata) dan pendahulu Arab Saudi (11 mata).
Singapura akan berdepan Uzbekistan pada 7 Jun dan Arab Saudi pada 11 Jun.