Pertandingan dihentikan, pemain Argentina didakwa langgar protokol Covid-19 , Berita Sukan - BeritaHarian.sg
Subuh
5:30
Syuruk
6:53
Zuhur
12:55
Asar
4:19
Maghrib
6:56
Isyak
8:10
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Sukan0

BOLA SEPAK: KELAYAKAN PIALA DUNIA: BRAZIL LWN ARGENTINA

Pertandingan dihentikan, pemain Argentina didakwa langgar protokol Covid-19

Sep 07, 2021 | 05:30 AM

SAO PAULO: Perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Brazil dengan Argentina kelmarin mencetuskan kejutan dan dihentikan tidak lama sejurus ia dimulakan setelah timbul kontroversi mengenai protokol Covid-19.

Di stadium Neo Quimica Arena di Sao Paulo kelmarin, pertembungan antara dua gergasi bola sepak Amerika Selatan itu dihentikan ketika pegawai kesihatan Brazil masuk ke padang, mencetuskan kacau bilau yang melibatkan pegawai pasukan dan pemain dari kededua belah pihak.

Campur tangan dramatik itu muncul beberapa jam setelah pihak berkuasa kesihatan di Brazil mengatakan empat pemain dalam skuad Argentina yang berpangkalan di England harus menjalani "kuarantin serta-merta" kerana melanggar protokol Covid-19.

Menurut Agensi Pengawasan Kesihatan Nasional Brazil (Anvisa), pemain Liga Perdana England Giovani Lo Celso (Tottenham), Emiliano Martinez (Aston Villa), Emiliano Buendia (Aston Villa) dan Cristian Romero (Tottenham) memberi "maklumat palsu" ketika mereka tiba di Brazil.

Ketiga-tiga Romero, Lo Celso dan Martinez dibariskan dalam pasukan kesebelasan utama Argentina bagi perlawanan kelmarin - mendorong pegawai Anvisa untuk campur tangan.

Halal Home Based Business
Uncle Big's Kitchen

Shellout Platter Besar...dan banyak lagi!

Lauk Malam Raya by ZaraRasya

Yang pasti puas hati! FREE DELIVERY & 1.5l bottled...

Savour The Flavour by Chef Im

Savour The Flavour ingin menyajikan makanan yang berkualiti...

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Empat pemain itu telah dituduh gagal mengisytiharkan bahawa mereka telah berada di United Kingdom dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan mereka di Brazil, di mana Covid-19 telah meragut lebih 580,000 nyawa.

Kapten Argentina Lionel Messi dan rakan sepasukannya keluar padang setelah timbul kekeliruan mengenai nasib perlawanan itu.

Messi kemudian mengecam tindakan campur tangan pegawai Brazil.

"Kami telah berada di sini selama tiga hari, kenapa baru sekarang anda bertindak?" kata beliau kepada penyiar Argentina Tyc.

Jurulatih Argentina Lionel Scaloni juga marah, memberitahu media bahawa "kami tidak pernah diberitahu bahawa mereka tidak dapat beraksi dalam perlawanan".

Argentina dijangka pulang ke Buenos Aires malam kelmarin menaiki penerbangan 'charter'.

Presiden Bola Sepak Argentina Claudia Tapia berkata persekutuan itu telah mematuhi protokol Fifa bagi perlawanan tersebut, menepis dakwaan bahawa pemain telah memalsukan rekod kemasukan.

"Tidak mungkin (mereka) berkata bohong," kata Tapia.

Pegawai Brazil bagaimanapun tidak menyesali keputusan hentikan perlawanan.

"Kami telah sampai ke detik ini kerana segala yang diarahkan oleh Anvisa, sejak saat pertama, tidak dipenuhi," kata pengarah Anvisa Antonio Barra Torres kepada televisyen Brazil.

Empat pemain itu "telah diarahkan untuk kekal mengasingkan diri sementara menunggu dihantar pulang, tetapi tidak mematuhinya. Mereka ke stadium dan masuk ke padang, melakukan beberapa pelanggaran," tambah pegawai itu.

Arahan pemerintah sejak 23 Jun melarang kemasukan mana-mana warga asing dari United Kingdom, India atau Afrika Selatan ke Brazil, bagi membendung penularan varian koronavirus.

Agensi itu berkata delegasi Argentina telah diberi amaran dalam satu mesyuarat Sabtu lalu bahawa pemain yang terlibat dalam kontroversi itu harus dikuarantin dan tidak boleh mengambil bahagian dalam perlawanan kelmarin.

Dengan perlawanan kelihatan dihentikan, skuad Brazil memulakan perlawanan latihan di padang.

Badan pentadbir bola sepak Amerika Selatan Conmebol berkata dalam satu kenyataan bahawa perlawanan telah "digantung" tetapi tidak mengatakan bila atau sama ada perlawanan akan diteruskan semula, atau sama ada pasukan akan 'hilang' (forfeited) perlawanan. - AFP

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map