SINGAPURA, yang bermain dengan lapan pemain, terlepas ke final Piala Suzuki AFF 2020 selepas tumpas 4-2 di tangan Indonesia dalam aksi kedua separuh akhir yang mendebarkan pada Sabtu (25 Disember).
Keputusan malam ini membawa agregat dua aksi separuh akhir kepada 5-3, selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 dalam perlawanan pertama Rabu lalu.
Agregat itu menempah tiket Indonesia, naib juara lima kali, ke final buat pertama kali sejak 2016.
Perlawanan yang penuh dengan detik dramatik, dipengaruhi oleh keputusan pengadil Qassim Matar Ali Al Hatmi, menyaksikan tiga pemain Singapura, Safuwan Baharudin, Irfan Fandi dan Hassan Sunny, dilayangkan kad merah.
9,982 penonton di Stadium Negara - yang kebanyakannya penyokong Singapura - tidak menyembunyikan ketidakpuasan mereka, dengan pengadil Oman itu disambut ejekan peminat setempat sepanjang perlawanan.
Malam ini, jurulatih Singapura Tatsuma Yoshida mengekalkan formasi bermain tiga bek tengah daripada seri aksi pertama Rabu lalu.
Warga Jepun itu turut membuat empat perubahan pemain dalam kesebelasan utamanya, dengan Hami Syahin dan Zulqarnaen Suzliman diturunkan, menggantikan Zulfahmi Arifin dan Nazrul Nazari.
Amy Recha dan Hafiz Nor diberi kepercayaan menerajui bahagian serangan sekali gus membuat permulaan sulung mereka dalam kejohanan, sementara duo penyerang dalam perlawanan sebelumnya, Ikhsan Fandi dan Faris Ramli, mengisi bangku simpanan.
Singapura memulakan perlawanan kurang kemas di bahagian midfield dan Indonesia tidak menunggu lama untuk menghukum pasukan tuan rumah.
Ezra Walian menyumbat gol dari jarak dekat untuk meletakkan pasukan Garuda di depan pada minit ke-11.
Saingan menjadi hangat di saat-saat akhir babak pertama apabila pemain bek tengah Singapura Safuwan dilayangkan kad kuning keduanya dalam perlawanan kerana bertembung dengan pemain Indonesia Rizky Ridho sebelum sepakan percuma diambil, dan sekali gus dibuang padang.
Pasukan Singa, yang bermain dengan 10 pemain, bertindak balas serta-merta.
Jaringan pertama Song Ui-young untuk Singapura menyamakan kedudukan sebelum waktu rehat.
Kesengsaraan Singapura ditambah dalam babak kedua apabila seorang lagi pemain bek tengah Irfan dibuang padang.
Irfan, pemain terakhir dalam garisan pertahanan Singapura, dilayangkan kad merah pada minit ke-67 kerana menghalang pemain Indonesia peluang jaringan.
Dengan hanya sembilan pemain di padang, harapan Singapura untuk final kelihatan pudar.
Namun, gol mantap Shahdan Sulaiman melalui sepakan percuma pada minit ke-74 menghidupkan kembali suasana riuh di Stadium Negara.
Indonesia terus cuba mencari gol penyamaan dan gol itu tiba pada minit ke-87 menerusi Pratama Arhan.
Dua minit kemudian, Singapura dihadiahkan sepakan penalti ketika Shawal Anuar dikasari di dalam kotak penalti.
Faris Ramli namun gagal menyempurnakan tendangan itu untuk merampas kemenangan bagi Singapura.
Perlawanan 90 minit yang berakhir seri 2-2 dibawa ke waktu tambahan untuk lagi 30 minit.
Keletihan jelas kelihatan dalam pasukan Singa di waktu tambahan apabila Shawal menjaringkan gol sendiri pada minit ke-91.
Indonesia kemudian memperluaskan lagi kedudukan mereka di depan menerusi jaringan Egy Maulana sebelum separuh pertama waktu tambahan.
Drama tidak berhenti hingga ke wisel penamat apabila penjaga gol Singapura Hassan dibuang padang pada minit ke-119 kerana menjatuhkan pemain Indonesia, yang jelas hampir meledakkan gol.
Bagaimanapun, ini merupakan persembahan terbaik Singapura, yang kali terakhir mara ke separuh akhir dan menang kejohanan pada 2012.
Calon kedua final akan ditentukan malam esok apabila juara bertahan Vietnam bertemu Thailand dalam aksi kedua separuh akhir di Stadium Negara.
Thailand, juara lima kali, mendahului kedudukan selepas menang 2-0 dalam perlawanan pertama Khamis lalu.