Topic followed successfully
Go to BHkuPM Jepun janji temasya diterus walau Tokyo dalam darurat
PM Jepun janji temasya diterus walau Tokyo dalam darurat
Pegawai Olimpik veteran tidak pasti disebabkan lonjakan jangkitan Covid-19
PM Jepun janji temasya diterus walau Tokyo dalam darurat
TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga, kelmarin berjanji bahawa Sukan Olimpik Tokyo akan terus dilangsungkan pada musim panas ini meskipun keadaan darurat kini diisytiharkan di ibu negara itu berikutan lonjakan kes Covid-19.
Dalam satu sidang media, Encik Suga, yang menjadi Perdana Menteri September lalu, berkata: "Saya akan memastikan temasya sukan ini akan dijalankan dengan selamat."
Namun, seorang anggota gerakan Olimpik berprofil tinggi menimbulkan keraguan mengenai apakah Sukan Tokyo yang dijadualkan semula itu akan berlangsung.
BBC melaporkan pegawai Olimpik veteran dari Canada Dick Pound, 78 tahun, berkata: "Saya tidak pasti kerana masalah utamanya ialah lonjakan virus (Covid-19)."
Jepun masih belum meluluskan sembarangh vaksin Covid-19, dengan Encik Suga mengatakan beliau berharap suntikan pertama dapat dimulakan pada akhir bulan depan.
Keadaan di seluruh dunia juga tidak lebih baik, dengan sebahagian besar Eropah dan Amerika Syarikat juga mengalami gelombang kedua atau ketiga jangkitan Covid-19.
Dalam pada itu, Encik Suga berkata beliau berasa optimistik semangat yang akan ditunjukkan rakyat Jepun akan berkembang selepas vaksinasi terhadap virus itu dilakukan, lapor agensi berita Kyodo.
Kerajaan Jepun berada di bawah tekanan yang semakin meningkat dengan situasi Covid-19 bertambah buruk sejak bulan lalu.
Kes harian disahkan di Jepun telah menjangkaui 7,000 buat kali pertama, dengan 2,447 kes dilaporkan di Tokyo, menurut stesen penyiar negara NHK.
Encik Suga mengisytiharkan keadaan darurat bagi wilayah metropolitan Tokyo, termasuk bandar Tokyo, Saitama, Chiba dan Kanagawa, kelmarin, sambil mengesahkan langkah-langkah lebih ketat akan diambil untuk memerangi pertambahan jangkitan Covid-19.
Keadaan darurat berkuatkuasa mulai semalam dan akan berlangsung hingga 7 Februari, dengan langkah-langkah termasuk menggesa orang ramai diam di rumah dan meminta tempat makanan dan minuman ditutup pada sebelah malam.
Jumlah penonton di acara live, termasuk acara sukan, akan dihadkan kepada separuh daripada tempat duduk yang tersedia dan tidak melebihi 5,000 orang.
Ini bermakna Jepun sedang berlumba dengan masa untuk memastikan acara ujian kelayakan dapat dimulakan semula pada 4 Mac, sebagaimana dijadualkan semula sebelum ini.
Acara pertama ialah kejohanan kelayakan Olimpik renang artistik Persekutuan Renang Antarbangsa (Fina), yang dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 7 Mac di Pusat Akuatik Tokyo.
Beberapa atlet luar negara dijangka menghadiri beberapa acara ujian di negara itu. - Agensi berita.
"Saya akan memastikan temasya sukan ini akan dijalankan dengan selamat." - Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga.
"Saya tidak pasti (Sukan Olikpik Tokyo dapat dijalankan) kerana masalah utamanya ialah lonjakan virus (Covid-19)." - Pegawai Olimpik veteran Dick Pound.

