Subuh
5:55
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:41
Maghrib
7:20
Isyak
8:32
Sukan0

BOLA SEPAK ENGLAND

Pogba bawa United ke puncak liga

Jan 14, 2021 | 05:30 AM

ENGLAND: Jaringan 'volley' Paul Pogba dalam babak kedua cukup untuk memberikan Manchester United kemenangan 1-0 di Burnley kelmarin dan membawa Red Devils ke puncak Liga Perdana, dengan tiga mata di hadapan.

Kemenangan dalam perlawanan yang diatur semula itu meletakkan United pada 36 mata daripada 17 perlawanan dengan musuh ketat Liverpool pada 33 mata menjelang pertembungan kededua pasukan di Anfield Ahad ini.

Gol kemenangan muncul pada minit ke-71 ketika hantaran Marcus Rashford dari kanan menjumpai Pogba yang melakukan 'volley'.

Rembatan bintang Perancis itu terkena pemain pertahanan Burnley Matt Lowton yang menyebabkan penjaga gol Nick Pope ke salah arah.

Ini merupakan kali pertama United menghuni puncak liga selepas 17 perlawanan sejak Disember 2012 dan kemenangan itu adalah yang ketujuh daripada lapan perlawanan beraksi di luar Old Trafford.

Walaupun United tidak mencipta peluang jaringan seperti mana yang dijangkakan menentang pasukan di tangga ke-16, ia adalah persembahan yang gigih dan agresif daripada anak buah Ole Gunnar Solskjaer.

"Ia sangat sukar bermain di sini," kata Pogba, yang menikmati satu lagi persembahan mantap di tengah midfield.

"Mereka ada gaya permainan sendiri, sangat kuat dan kami tahu ia akan menjadi sukar. Kami harus kekal tenang dan hanya fokus pada diri sendiri dan harap gol akan muncul dan ia muncul. Ia adalah persembahan hebat daripada semua. Fokus yang baik.

"Perjalanan masih jauh dan kami ada perlawanan besar yang harus dilalui lantas kami akan fokus padanya."

Meskipun mencatat kemenangan tipis kelmarin, Solskjaer tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

"Setiap kali anda dapat tiga mata, anda gembira. Kami perlu berusaha untuk mendapatkannya (tiga mata) dan kami berjaya," kata Solskjaer kepada BBC Sport.

"Kami rasa sangat yakin beraksi dalam perlawanan. Kami telah beraksi dengan baik di padang lawan. Kami harus percaya pada diri kami sendiri dan kami yakin.

"Kami telah melaksanakan tugas dengan hebat, ini adalah waktu-waktu baik. Kami akan diuji menentang juara (Liverpool pada Ahad ini) yang berada dalam prestasi hebat, ia ujian yang bagus untuk kami.

Pemain pertahanan United Harry Maguire memiliki percubaan jaringan yang tidak diambil kira dalam babak pertama setelah pengadil Kevin Friend memutuskan Maguire menolak Erik Pieters semasa beliau melompat untuk menanduk hantaran bola Luke Shaw ke dalam gawang.

Burnley memberikan tekanan di hujung perlawanan dan merasakan mereka sepatutnya diberikan tendangan penalti apabila bola nampak terkena lengan Maguire.

James Tarkowski mempunyai peluang hebat untuk menggenggam satu mata untuk Clarets tetapi gagal membuat kontak dengan baik kepada bola daripada posisi menjaringkan gol.

United sepatutnya menjamin kemenangan mereka pada minit-minit terakhir perlawanan tetapi percubaan Anthony Martial di depan gawang diselamatkan oleh kaki Pope. - Agensi berita.

 

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map