SELEPAS menjuarai Liga Nasional Wanita (WNL) 2022, Police Sports Association (SA) akan menyahut cabaran yang lebih besar pada tahun ini apabila kembali beraksi dalam Liga Perdana Wanita (WPL).
Kelab itu, yang kali terakhir beraksi dalam WPL pada 2018, mendapat berita mengenai kenaikan pangkat mereka pada pertengahan Februari.
WPL ialah pertandingan peringkat tertinggi bola sepak Singapura, manakala WNL adalah peringkat keduanya.
Walaupun hanya mempunyai kira-kira sebulan untuk membuat persiapan, skuad Police SA memiliki pengalaman dengan separuh daripada mereka ialah bekas pemain nasional.
Jurulatih Police SA, Hisham Roslan mengakui persiapan pasukan untuk liga tidak selancar yang diinginkan.
Mereka turut perlu berlatih tanpa empat pemain yang mewakili pasukan bawah 19 tahun perempuan Singapura di kelayakan Piala Asia Wanita Bawah 20 Tahun AFC di Vietnam.
Beberapa pemain juga ialah anggota polis, yang terikat pada komitmen kerja.
Bagaimanapun, Hisham, 54 tahun, yang telah mengendalikan Police SA sejak 2019, kekal positif terhadap keupayaan anak didiknya.
"Pemain rasa sangat ghairah apabila diberitahu mereka dinaikkan ke WPL. Anda boleh lihat mereka sangat bermotivasi dan rasa baik untuk bermain di peringkat ini," kata beliau.
"Ia adalah peluang yang baik untuk saya bekerjasama dengan pemain dan membawa mereka ke tahap ini dan bersaing."
Police SA menentang lawan sukar, juara bertahan Lion City Sailors dalam perlawanan pembukaan mereka pada Ahad.
Bagaimanapun, pemain pertahanan Police SA, Hamizah Abdul Talib yakin pasukannya dapat memberi saingan.
"Kami benar-benar mahu tunjukkan paparan yang baik sebab ia adalah pemenang WPL lawan pemenang WNL," kata bekas pemain nasional Singapura itu.
"Pasukan mereka terdiri daripada ramai pemain nasional, pasukan kami mempunyai gabungan kedua-duanya - kebanyakan kami pernah bermain dalam pasukan nasional sebelum ini...Kami sasar berikan saingan yang baik." - ZULAIQAH ABDUL RAHIM
PERLAWANAN MINGGU INI
Sabtu, 18 Mac
5ptg
Albirex Niigata lwn Tiong Bahru @ Stadium Choa Chu Kang
Balestier Khalsa lwn Tanjong Pagar United @ Stadium Yishun
7.30mlm
Geylang International lwn Tampines Rovers @ Stadium Choa Chu Kang
Ahad, 19 Mac
5ptg
Hougang United lwn Still Aerion @ Stadium Choa Chu Kang
7.30mlm
Lion City Sailors lwn Police SA @ Stadium Choa Chu Kang