Jerman 4 Portugal 0
IA seharusnya pentas bagi Pemain Terbaik Dunia, Cristiano Ronaldo, membuktikan kehebatannya membantu pasukan negaranya di Piala Dunia 2014 ini.
Sebaliknya, superstar Portugal itu 'tenggelam'!
Yang mencuri perhatian dan menyerlah ialah penyerang Jerman, Thomas Mueller, yang menyumbatkan hatrik semasa kemenangan Jerman 4-0 ke atas Portugal dalam pertarungan Kumpulan G yang dinanti-nantikan di Fonte Nova Arena di Salvador awal pagi tadi.
Ia adalah stadium sama yang menyaksikan Belanda membelasah juara bertahan Piala Dunia ini, Sepanyol, 5-1 dalam pertemuan Kumpulan B minggu lalu.
Kali ini giliran Mueller, penyerang Bayern Munich, mempamerkan kecemerlangannya bagi hatrik pertamanya di peringkat antarabangsa bagi Jerman, sekali gus mengukuhkan reputasi pasukannya sebagai antara pesaing utama bagi menjulang mahkota Piala Dunia dalam final pada 13 Julai nanti.
Portugal, yang tiba di Piala Dunia ini dengan harapan besar lebih-lebih lagi diterajui Ronaldo, pemenang anugerah Ballon d'Or Fifa, melihat peluang mereka berkecai seawal minit ke-12 apabila Mueller menyempurnakan penalti sebelum pemain pertahanan, Mats Hummels, melebarkan jaringan dengan tandukan kencang selepas menerima hantaran tendangan sudut.
Peluang Portugal bangkit semakin pudar apabila pemain pertahanannya, Pepe, menjadi pemain ketiga di Piala Dunia ini yang dilayangkan kad merah pada minit ke-37 selepas menolak Mueller dengan kepalanya sejurus selepas mengasari bintang Jerman itu yang terbaring selepas mukanya ditolak tangan Pepe.
Dengan kekurangan seorang pemain serta prestasi Ronaldo yang tidak menjadi, Mueller bertindak dengan dua gol lagi bagi melengkapkan kecemerlangannya.
Iran 0 Nigeria 0
Dalam perlawanan kedua awal pagi tadi, wakil Asia, Iran, dan wakil Afrika, Nigeria, menyajikan keputusan seri 0-0 yang pertama di Piala Dunia 2014 ini dalam pertemuan Kumpulan F di Curitiba.
Kededua pasukan menyajikan persembahan yang membosankan dengan Nigeria menguasai babak pertama sebelum Iran menunjukkan kebangkitan dalam separuh masa kedua. Namun, di akhir 90 minit perlawanan, kededua pasukan lebih berminat berkongsi mata - disambut ejekan kekecewaan daripada sekitar 40,000 peminat yang memenuhi Arena Da Baixada.
Ghana 1 Amerika Syarikat 2
Dalam perlawanan yang baru berakhir pagi tadi, Amerika Syarikat yang dipimpin jurulatih bekas bintang Jerman, Jurgen Klinsmann, memulakan kempen Piala Dunia mereka dengan kemenangan 2-1 ke atas Ghana di Natal.
Dengan wakil Afrika itu menjangkakan dapat berkongsi mata melalui gol penyamaan Andre Ayew pada minit ke-82 selepas Amerika membuka tirai jaringan seawal 32 saat permainan dimulakan melalui kaptennya, Clint Dempsey - gol kelima terpantas dalam sejarah Piala Dunia - harapan Ghana berkecai apabila pemain gantian pertahanan tengah Amerika, John Brooks, melompat tinggi bagi menanduk gol kemenangan pasukannya pada minit ke-86.