Subuh
5:58
Syuruk
7:15
Zuhur
1:19
Asar
4:33
Maghrib
7:21
Isyak
8:30
Sukan

BOLA SEPAK SETEMPAT

Raddy mungkin kembali semula ke bola sepak Singapura

Nov 19, 2017 | 05:30 AM

JURULATIH paling berjaya dalam bola sepak Singapura, Radojko Avramovic, mungkin kembali menyertai semula sukan ini di sini dalam masa terdekat.

Ini selepas Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengadakan perbincangan tahap awal dengan jurulatih warga Serbia itu dengan harapan menawarkan tugas sebagai penasihat.

"Saya ada mengadakan rundingan (dengan FAS)," ujar Avramovic kepada akhbar The Straits Times (ST) baru-baru ini.

"Tetapi pada saat ini, tiada yang pasti yang telah dikemukakan kepada saya... tiada tandatangan yang diturunkan."

Avramovic, yang akan mencecah usia 68 tahun pada 29 November ini, kini bertugas sebagai jurulatih kelab Liga Perdana Kuwait, Al Tadhamon, bagi kontrak jangka pendek yang dijangka berakhir April depan.

Jurulatih yang lebih dikenali dengan panggilan Raddy itu memimpin skuad nasional Singapura dari 2003 hingga 2012 yang menyaksikan Singa menjuarai Piala AFF tiga kali (2004, 2007 dan 2012).

Dikenali dengan kepintaran taktikal yang memanfaatkan kekuatan pasukan, kejayaan memenangi dua edisi pertama Piala AFF itu dicapainya dengan rekod tanpa kalah.

Pada 2009, Raddy memimpin Singa menewaskan Thailand 1-0 dalam satu perlawanan kelayakan Piala Asia - kali pertama pasukan Singapura berjaya mencatatkan kemenangan di hadapan penyokong Thailand dalam 35 tahun.

Di bawah kepimpinannya itu, satu generasi pemain berbakat daripada program belia FAS termasuk Shahril Ishak, Hassan Sunny, Baihakki Khaizan dan Khairul Amri Kamal diberi peluang beraksi di peringkat antarabangsa.

Raddy menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat mengisi jawatan jurulatih skuad nasional, sebaliknya memainkan peranan sebagai seorang mentor.

"Selepas memenangi Piala AFF (pada 2012) dan sembilan tahun (mengendalikan pasukan nasional) adalah satu tempoh masa yang agak lama dan saya inginkan sedikit masa untuk diri sendiri," ujarnya lagi.

"Semasa saya meninggalkan (Singapura), saya berkata kemungkinan (saya akan pulang ke pangkuan bola sepak Singapura).

"Tetapi saya tidak mahu pulang sebagai jurulatih nasional. Tiba masanya bagi satu perubahan dan saya memerlukan cabaran yang berlainan.

"Terlalu banyak fokus ke atas aspek negatif dalam bola sepak Singapura ketika ini... masih ada lagi pemain-pemain berbakat... apa yang diperlukan mereka ialah bimbingan yang betul."

Raddy menambah bahawa Singapura sentiasa mempunyai tempat yang manis dalam kenangannya.

"Ia masa yang istimewa bagi saya... saya bangga dengan bekas pemain saya.

"Saya juga bangga untuk mengatakan bahawa sepanjang saya bertugas sebagai jurulatih, kami tidak pernah sekali pun berkata 'ayuh, pastikan gawang kami tidak dibolosi'.

"Kami sentiasa bermain untuk cuba menjaringkan gol dan menewaskan pasukan lawan.

"Beberapa perlawanan begitu hebat sekali... penyokong turut memenuhi Stadium Negara setiap kali pasukan nasional bermain dalam Piala Suzuki.

"Singapura mempunyai tempat yang istimewa sepanjang kerjaya saya."


"Ia masa yang istimewa bagi saya... saya bangga dengan bekas pemain saya. Saya juga bangga untuk mengatakan bahawa sepanjang saya bertugas sebagai jurulatih, kami tidak pernah sekali pun berkata 'ayuh, pastikan gawang kami tidak dibolosi'. Kami sentiasa bermain untuk cuba menjaringkan gol dan menewaskan pasukan lawan."
- Radojko 'Raddy' Avramovic.

Artikel Terkini