Topic followed successfully
Go to BHkuRebah tiba-tiba semasa perlawanan: Eriksen stabil, tidak ada sejarah masalah jantung
Rebah tiba-tiba semasa perlawanan: Eriksen stabil, tidak ada sejarah masalah jantung
Rebah tiba-tiba semasa perlawanan: Eriksen stabil, tidak ada sejarah masalah jantung
COPENHAGEN/LONDON: Pemain tengah Denmark, Christian Eriksen, yang tiba-tiba rebah semasa perlawanan bola sepak Euro 2020 kelmarin, berada dalam keadaan stabil di hospital, kata Kesatuan Bola Sepak Denmark semalam.
"Pagi ini, kami telah berbual dengan Christian Eriksen, yang mengirim salam kepada rakan sepasukannya. Keadaannya stabil dan beliau terus dijaga di hospital untuk pemeriksaan lanjut," kata kesatuan itu dalam satu kiriman di Twitter semalam.
Eriksen, 29 tahun, rebah pada minit ke-42 perlawanan antara pasukannya dengan Finland ketika beliau berlari dekat garisan tepi kiri setelah lontaran masuk oleh Denmark.
Beliau segera diberi rawatan urut jantung bagi menyelamatkan nyawa di padang, dengan pegawai kemudian berkata pemain itu stabil dan berada dalam keadaan sedarkan diri.
Eriksen dikelilingi rakan sepasukannya ketika dirawat di padang dan kemudian diusung pergi.
Permainan yang digantung buat sementara waktu akhirnya dimulakan semula satu jam dan 45 minit kemudian setelah mendapat berita bahawa pemain itu berada dalam keadaan sedar.
"Kami dipanggil ke padang apabila Christian rebah. Beliau terbaring di sisi apabila kami mendekatinya dan ada pernafasan dan denyut nadi, " kata doktor pasukan Morten Boesen dalam sidang media selepas perlawanan itu.
"Tetapi keadaan itu berubah dan beliau kemudian menerima urutan jantung yang menyelamatkan nyawa. Kami dengan segera meminta bantuan daripada doktor stadium dan kami berjaya mendapatkan Christian kembali," katanya.
"Christian berbual dengan saya sebelum beliau dibawa ke hospital," kata Boesen.
Bekas pakar kardiologinya berkata Eriksen tidak mempunyai masalah jantung ketika bermain untuk kelab Liga Perdana England Tottenham Hotspur.
Jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand, berkata beberapa pemainnya terlalu sedih dengan kejadian itu untuk menghabiskan perlawanan.
"Saya benar-benar faham yang anda tidak boleh bermain dalam perlawanan bola sepak pada peringkat ini setelah menyaksikan salah satu rakan baik anda berjuang untuk teruskan hidup," kata Hjulmand yang jelas kelihatan penat di sidang akhbar itu.
Pemain diberi pilihan untuk menghabiskan perlawanan itu malam kelmarin atau semalam, kata Hjulmand, sambil menambah tidak ada tekanan dari UEFA untuk menyelesaikan perlawanan itu kelmarin. Finland menang 1-0 melalui satu-satunya percubaan gol mereka dalam perlawanan tersebut. - Reuters, AFP.

