DALAM perlawanan lain, Liverpool mengatasi RB Leipzig 2-0 di Budapest.

Skuad The Reds yang menguasai tempo permainan hanya mampu memecahkan kebuntuan pada awal separuh masa kedua menerusi Mohamed Salah dan Sadio Mane.

Kedua-dua jaringan dalam perlawanan itu diperoleh selepas kesilapan yang dilakukan benteng pertahanan lawan, dan wakil Jerman itu kini berdepan tugas sukar dalam aksi timbal balik di Anfield pada 10 Mac nanti.

Kemenangan itu memberikan harapan buat skuad kendalian Jurgen Klopp untuk mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Ia sekali gus menamatkan tiga kekalahan berturut-turut yang menyaksikan juara bertahan Liga Perdana England (EPL) itu kini ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu Manchester City dalam aksi liga.

"Ia adalah perlawanan yang kami mahu menang, ia merupakan keputusan yang kami perlukan," kata Klopp kepada BT Sport selepas perlawanan itu.

"Leipzig boleh menjadi sebuah pasukan yang mengancam. Cara mereka beraksi dalam Bundesliga mampu mengubah rentak perlawanan. Mereka mungkin bermain dengan cara fizikal dan malam ini kami menguasai mereka dengan cara berbeza.

"Mereka mempunyai peluang tersendiri dengan kualiti yang mereka ada tetapi kami menguasai perlawanan, jadi saya fikir kami berhak mendapat keputusan ini," katanya.

Aksi perlawanan pertama dipindahkan dari Leipzig ke ibu kota Hungary berikutan sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan di Jerman bagi membendung penularan Covid-19.

Di sebalik terpaksa beraksi di gelanggang lain, skuad kendalian Julian Nagelsmann pantas menyesuaikan diri dan hadir dengan reputasi gah memenangi empat perlawanan berturut-turut di padang sendiri di mana mereka berada di kedudukan kedua di belakang Bayern Munich dalam saingan Bundesliga

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti