Reputasi kelab setempat jadi taruhan?, Berita Sukan - BeritaHarian.sg
Subuh
5:55
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:41
Maghrib
7:20
Isyak
8:32
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Sukan0

LIGA PERDANA SINGAPURA

Reputasi kelab setempat jadi taruhan?

Oct 08, 2021 | 05:30 AM

Kejuaraan Liga Perdana Singapura musim ini akan ditentukan Ahad ini dengan kelab tempatan yang berbelanja besar, Lion City Sailors, dan kelab asal Jepun dengan bakat muda, Albirex Niigata FC, bertarung untuk dinobat juara. Sailors dan Albirex kini terikat mengutip 45 mata selepas 20 perlawanan, dengan perbezaan memisahkan mereka. Sailors menduduki puncak tangga liga menjelang perlawanan terakhir ini. Jurulatih dan peminat dua pasukan pencabar ini berkongsi bersama BERITA HARIAN mengenai peluang pasukan mereka untuk menggenggam trofi kejuaraan liga musim 2021.

Lion City Sailors hadapi tugas berat rampas kejuaraan Liga Perdana SG

JURULATIH Lion City Sailors Kim Do-Hoon akur bahawa tekanan terletak di bahu pasukannya untuk menghasilkan juara tempatan pertama Liga Perdana Singapura (SPL) dalam tujuh musim.

Warriors FC, yang dilarang Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) bersaing dalam liga sejak lewat 2019 setelah dihimpit masalah kewangan dan undang-undang, merupakan kelab setempat terakhir untuk mengangkat trofi kejuaraan satu-satunya liga bola sepak profesional negara.

Kemenangan itu diraih pada 2014.

Halal Home Based Business
SpicyLoverKitchen

Lemang Set dengan Rendang & Serunding!

Ms Lid's Packed Bento

Set bento untuk sumbangan atau delivery ke rumah

Lauk Malam Raya by ZaraRasya

Yang pasti puas hati! FREE DELIVERY & 1.5l bottled...

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Sejak itu, liga setempat dijuarai kelab asing, Brunei DPMM FC (2015 dan 2019) dan Albirex (2016, 2017, 2018 dan 2020).

Namun, musim ini, Sailors berpeluang dinobat juara.

Perbezaan gol memisahkan pendahulu liga Sailors dan pasukan tempat kedua Albirex Niigata FC.

Kedua-dua pasukan itu terikat mengumpul mata sama, 45 mata, selepas 20 perlawanan.

Kemenangan Sailors dalam perlawanan penutup musim menentang Balestier Khalsa di padang sendiri, Stadium Jalan Besar, lusa akan mengakhiri kemarau kejuaraan liga mereka yang hampir dua dekad.

Home United, yang kemudian dinamakan Lion City Sailors tahun lalu, kali terakhir menjuarai liga pada musim 2003.

Kim, 51 tahun, yang baru-baru ini menerima Anugerah Jurulatih Terbaik SPL bagi bulan September, berkata:

"Saya tahu betapa penting kejuaraan liga Sailors kepada bola sepak Singapura. Tapi, saya beritahu pemain saya bahawa kami perlu memandangnya seperti perlawanan lain - kekal tenang dan bersikap profesional."

Jurulatih asal Korea Selatan itu menyertai Sailors pertengahan musim pada Mei tahun ini bagi menggantikan Aurelio Vidmar, yang kini dilantik jurulatih kelab Liga 1 Thailand, BG Pathum United.

Sailors adalah kelab swasta pertama dalam bola sepak Singapura.

Ia dimiliki oleh jutawan Forrest Li, yang melaburkan banyak wang dengan tujuan meningkatkan bola sepak Singapura ke peringkat seterusnya.

Ini termasuk membelanjakan $2.9 juta untuk menandatangani pemain pengatur serangan dari Brazil Diego Lopes daripada kelab liga tertinggi Portugal Rio Ave.

Lopes mencipta sejarah sebagai pemain berharga jutaan dolar pertama liga Singapura.

Sailors turut dibintangi ramai pemain nasional Singapura termasuk Hariss Harun dan Faris Ramli, yang sebelum ini beraksi dalam Liga Super Malaysia.

Ditanya Berita Harian apa erti kejuaraan SPL itu kepada beliau dan anak buahnya, Kim menjawab:

"Memenangi piala menghasilkan lebih banyak kejayaan kerana pemain akan tertarik pada rasa kemenangan. Lebih ramai pemain Singapura perlu rasa kemenangan itu supaya mereka tahu apa yang diperlukan untuk mencapai di tahap ini."

Peminat Sailors juga tidak sabar menjadi sebahagian detik kemenangan itu.

Kim Ng, 22 tahun, yang bertugas dalam bidang pemasaran, berkata:

"Setelah sekian lama mengikuti liga, kitaran kelab asing memenangi liga terasa hampir tidak dapat dielakkan tapi kami tahu bahawa kami berpeluang untuk menghentikannya. Ia rasa amat luar biasa."

Anggota Perkhidmatan Negara (NS) Ethan Tan, 19 tahun, pula menyifatkan kemenangan liga lusa sebagai detik istimewa sepanjang empat musim menyokong Sailors.

"Tujuh tahun adalah penantian yang sangat lama dan saya percaya liga kita di bawah kritikan awam kerana perkara ini. Untuk kelab tempatan menang (liga), saya yakin ramai peminat akan gembira dan ia pasti menyenyapkan sebahagian pengkritik," kongsinya.

Kejuaraan liga musim ini akan menjadikan yang ketiga buat Sailors.

Kelab itu pertama kali mengangkat takhta liga pada 1999.

Digelar juara 2021 atau tidak, Sailors bakal beraksi di Liga Juara-Juara Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) musim depan, sebagai kelab Singapura yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam liga musim ini.

Sekiranya Albirex Niigata menjadi juara, kelab asal Jepun itu tidak dapat mewakili Singapura di perlawanan peringkat Asia itu.


Albirex Niigata ingin pertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu

KELAB asal Jepun Albirex Niigata FC juga adalah kelab tempatan, kata ketua jurulatihnya Keiji Shigetomi.

Shigetomi, 42 tahun, menepis tanggapan terhadap "persaingan kelab asing lawan kelab tempatan" ketika Liga Perdana Singapura (SPL) musim 2021 ini menyaksikan persaingan paling sengitnya dalam beberapa tahun ini, antara juara bertahan Albirex dan kelab tempatan Lion City Sailors.

Persaingan itu akan sampai ke kemuncaknya lusa, dengan trofi kejuaraan musim ini ditentukan pada wisel penamat.

Sailors kini mendahului tangga liga berdasarkan perbezaan gol.

Kedua-dua pasukan itu mengumpul mata sama, 45 mata, selepas 20 perlawanan.

Kemenangan menentang Balestier Khalsa di Stadium Jalan Besar lusa akan menobatkan Sailors sebagai juara musim ini, dan menjadikannya kelab tempatan pertama untuk menjulang trofi kejuaraan liga dalam tujuh tahun.

Kali terakhir kelab tempatan muncul juara liga adalah pada 2014, dimenangi oleh Warriors FC. Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) melarang Warriors FC daripada bertanding dalam liga sejak lewat 2019 setelah berdepan masalah kewangan dan undang-undang.

Sejak itu, satu-satunya liga bola sepak profesional Singapura dijuarai kelab asing, Brunei DPMM FC (2015 dan 2019) dan Albirex (2016, 2017, 2018 dan 2020).

Shigetomi, yang membimbing The Swans (gelaran Albirex) menjuarai liga musim lalu, memberitahu Berita Harian:

"Kami punya ramai pemain warga Singapura seperti (Ong) Yu En, Fairoz (Hasan), Nicky (Melvin Singh); jurulatih warga Singapura Jasvinder (Singh) dan Fadhil (Salim) dan kakitangan warga Singapura dalam kelab ini. Perkongsian lama kami dengan (masyarakat di estet kejiranan) Yuhua juga telah menarik ramai peminat dan teman-teman warga Singapura. Oleh itu, kami memandang diri kami sebagai kelab tempatan."

Daripada skuad utama seramai 26 pemain, lapan daripadanya merupakan pemain warga Singapura.

Stadium Jurong East menjadi rumah kepada Albirex. Dan sejak 2014, Albirex bekerjasama dengan Kelab Sukan Masyarakat Yuhua bagi menubuhkan Akademi Bola Sepak Yuhua Albirex.

Akademi itu bertujuan membangun kemahiran bola sepak dalam kalangan kanak-kanak berusia lapan hingga 13 tahun dan membina hubungan baik kelab itu dengan masyarakat setempat menerusi bola sepak.

Peminat Albirex Amir Hamizan Zahare, 24 tahun, turut sependapat, mengatakan kelab itu telah banyak menyumbang kepada pembangunan bola sepak tempatan sejak menyertai Liga-S - sebelum ia dinamakan SPL - pada 2004.

"(Penjaga gol) Hyrulnizam (Juma'at) dalam satu wawancara podcast baru-baru ini berkata 'Ya, kita mahu kelab Singapura untuk menang liga. Tapi, saya warga Singapura sendiri juga ingin menang.'," kongsi pelajar Politeknik Republic itu.

"Kita tidak sepatut melihatnya sebagai Singapura lawan Jepun. Tapi, sebaliknya melihat bahawa semua orang dalam liga sedang berusaha menyumbang kepada pembangunan bola sepak Singapura."

Shigetomi, dalam musim ketiganya sebagai jurulatih The Swans, sasar memberi kelab itu piala kejuaraan liga kelima mereka dalam enam musim.

"Saya sebagai jurulatih, dan juga pemain, berlatih gigih untuk detik sebegini - peluang untuk menang takhta kejuaraan," kata jurulatih asal Jepun itu.

"Ini adalah perlawanan terakhir musim. Pemain faham apa yang kami perlu lakukan untuk menang dan meraih gelaran juara. Kami akan buat yang terbaik."

Amir juga meluahkan harapan untuk melihat pasukan yang disokong sejak 2016 itu menjulang trofi kejuaraan liga buat dua musim berturut-turut.

Meskipun akur ia sukar, namun beliau percaya tiada yang mustahil sehingga wisel penamat ditiup.

"Seperti kata pengurus terkenal Jose Mourinho, 'Perlawanan belum tamat sehingga ia secara matematik disahkan.'," ujarnya.

Bagaimanapun, sekiranya Albirex gagal, Amir mahu kelab yang dibarisi pemain muda itu bangga dengan persembahan mereka musim ini, mencabar kejuaraan menentang Sailors yang dibintangi ramai pemain nasional Singapura.

Albirex harus menang perlawanan mereka menentang Tanjong Pagar United di padang sendiri lusa dan mengharapkan Sailors tercicir mata dengan keputusan seri atau kekalahan.

Sekiranya kedua-dua pasukan menang perlawanan masing-masing lusa, Albirex hanya boleh merampas kejuaraan pertama Sailors - yang sebelum ini dipanggil Home United - sejak 2003 jika ia menjaringkan sekurang-kurangnya lima gol atau lebih daripada Sailors.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map