Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Resipi kejayaan bola sepak Iceland

Nov 26, 2017 | 05:30 AM



MEMPAMERKAN semangat juang 'pendekar' Viking, pasukan bola sepak Iceland - negara yang hanya mempunyai sekitar 330,000 penduduk serta pengurus pasukan yang membahagi-bahagi masanya antara bola sepak dan tugasnya sebagai doktor gigi - akan menjadi negara paling kecil melayakkan diri ke Piala Dunia tahun depan.



Mereka antara 14 negara Eropah yang akan bersaing di temasya bola sepak terbesar dunia itu yang akan dihoskan Russia.



"Maknanya begitu besar sekali... sebesar bumi ini," ujar Gudni Bergsson, bekas kapten pasukan negaranya yang kini presiden Persatuan Bola Sepak Iceland (KSI).



"Sejak bertahun-tahun lamanya kami sekadar menonton kejohanan-kejohanan besar melalui kaca TV... ada yang akan memilih pasukan atau negara mana yang disokong mereka.



"Kini kami sendiri akan beraksi di sana (Piala Dunia Russia)."



Bagi orang luar, kejayaan pasukan bergelar 'strakarnir okkar' (pemain kami) ini sesuatu yang jarang-jarang berlaku dalam sejarah Piala Dunia - jumlah penduduknya hanya satu perempat daripada yang ada di Trinidad & Tobago, yang sebelum ini memegang rekod sebagai negara paling kecil mara ke kejohanan terbesar bola sepak dunia itu.



Daripada 54 negara yang menyertai pusingan kelayakan Piala Dunia kali ini, hanya lima - Gibraltar, Liechtenstein, Kepulauan Faroe, Andorra dan San Marino - lebih kecil daripada Iceland.



Lebih menakjubkan, Iceland sebelum ini tidak dikenali dengan budaya bola sepaknya - tidak seperti pasukan gergasi Eropah lain seperti England, Sepanyol atau Italy.



Hanya enam tahun lalu, Iceland menduduki tangga di luar kelompok 100 pasukan terbaik dalam ranking yang dibuat World Football Elo - yang menggunakan formula Elo dan dapat meramalkan keputusan perlawanan dengan lebih tepat daripada ranking rasmi yang diterbitkan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).



Satu petanda awal positif mula dilihat apabila skuad muda Iceland berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Euro 2011 Bawah 21 Tahun buat pertama kalinya dalam sejarah negara Nordic itu.



Mereka nyaris-nyaris terlepas mara ke Piala Dunia Brazil 2014 sebelum mendapat tempat buat pertama kali di kejohanan besar senior pertamanya di Euro 2014 yang turut menyaksikan pasukan itu memalukan England untuk melangkah ke suku akhir.



Pencapaian pasukan wanita Iceland juga boleh dibanggakan - melayakkan diri ke tiga edisi lalu Piala Dunia Wanita.



Kejayaan Iceland menjamin tempat ke Russia 2018 lebih menakjubkan memandangkan beberapa gergasi bola sepak Eropah lain termasuk Belanda dan Italy akan sekadar menjadi penonton apabila kejohanan itu bermula nanti.



Laluan Iceland bagaimanapun tidak semudah yang disangka. Untuk menjuarai kumpulannya dan layak secara automatik ke Russia, pasukan pimpinan Heimir Hallgrimsson perlu mengatasi Croatia, Ukraine dan Turkey - setiap satu daripada tiga negara itu pernah melayakkan diri di suku akhir Piala Dunia sejak 20 tahun lalu.



Jadi bagaimana sebuah negara yang kecil penduduknya - waktu siang hanya empat jam serta malam dan musim sejuk yang panjang - melahirkan pemain handalan dunia?



Pada lewat tahun 1990-an, KSI mula menyedari bahawa cuacanya yang buruk hampir sepanjang tahun itu menjejas kejohanan tempatan yang menampilkan sekitar 50 kelab.



Dengan sokongan pemerintah Iceland, mereka mula membina padang-padang di stadium tertutup (indoor) - siap dengan sistem pemanasan geo-terma dan berbumbung - bagi membolehkan pemain beraksi sepanjang tahun.



Pada 2003, Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) - badan pentadbir sukan itu di Eropah - melancarkan 'HatTrick' - program dana bagi pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi yang membantu Iceland membina lebih 100 padang tiruan yang sesuai dengan pelbagai cuaca di sekolah.



Padang ini kebanyakannya terletak di luar dewan, mempunyai tiang lampu dan sistem pemanasan bawah tanah.



Menurut KSI, terdapat 179 padang bola sepak di serata negara itu di penghujung tahun lalu. Ini bermakna satu padang bagi setiap 128 pemain yang berdaftar di Iceland.



Ini tidak termasuk lagi 166 padang mini yang menggunakan rumput tiruan yang tersedia.



Namun, padang sahaja tidak mencukupi bagi melahirkan pemain berbakat.



Peningkatan infrastruktur ini diiringi satu 'revolusi kejurulatihan'.



Pada 2003, tiada seorang pun warga Iceland yang mempunyai lesen kejurulatihan peringkat A atau B Uefa.



Hari ini, jumlah yang mempunyai lesen Uefa itu mencecah 800 orang.



Semua pemain yang berusia daripada empat tahun mendapat bimbingan jurulatih yang berkelayakan itu.



Melalui segala usaha itu, ditambah ciri-ciri realiti kehidupan lasak di negara itu menyaksikan penampilan beberapa pemain berbakat - contoh terbaik ialah Gylfi Sigurdsson yang berpindah ke Everton dengan bayaran £45 juta ($80.7 juta) pada musim panas lalu.



Kesemua 25 pemain dalam skuad Iceland hari ini bermain untuk kelab asing termasuk enam di Britain dan dua di Jerman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >