Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

TINJU

Ridhwan diambang jadi juara dunia

Jaguh S'pura akan berentap dengan petinju Afrika bagi rebut kejuaraan dunia IBO pada 29 September
Aug 16, 2018 | 05:30 AM



HANYA seorang lagi pencabar kini memisahkan jaguh tinju setempat, Muhamad Ridhwan Ahmad, daripada mencipta sejarah sebagai juara tinju dunia yang pertama dari Singapura.



Ini menyusuli pelancaran rasmi pertarungan merebut kejuaraan dunia kelas 'super bantam' Pertubuhan Tinju Antarabangsa (IBO) yang akan meyaksikan petinju nombor satu Singapura yang bergelar 'The Chosen Wan' itu masuk gelanggang dan berentap dengan petinju berpengalaman dari Namibia, Paulus Ambunda, bulan depan.



Pertarungan utama merebut kejuaraan dunia itu - sebahagian daripada sembilan pertarungan yang dirancangkan - adalah sempena acara The Roar of Singapore: The Kings of Lions City yang akan diadakan di Marina Bay Sands pada 29 September dan dianjurkan syarikat promoter Ringstar.



Satu lagi kemenangan tentu sekali akan menyaksikan nama Ridhwan - yang memenangi kesemua 11 pertarungan profesionalnya sejauh ini - terpahat dalam buku sejarah sukan Singapura sebagai seorang juara dunia.



"Tentu sekali ia satu pertarungan yang mempunyai pengertian yang besar sekali bagi saya... ini adalah kali pertama seorang warga Singapura berpeluang bertarung sepanjang 12 pusingan bagi merebut kejuaraan dunia (tinju) yang diiktiraf," ujar Ridhwan semasa bercakap di sidang perasmian pertarungan yang diadakan di Kelab Tinju Spartan dekat Balestier semalam.



"Ia juga satu detik bersejarah bagi sukan di negara kita terutama bagi arena tinju Singapura.



"Saya berharap ia dapat merangsang arena tinju amatur dan profesional di sini... saya gembira dapat menjadi perintis dalam usaha mengembangkan lagi sukan ini.



"Jika menang, ia juga akan membuka pelbagai peluang dan tentu sekali akan menarik perhatian (arena tinju) dunia. Matlamat utama kami ialah mendapatkan pertarungan yang lebih lebih besar... yang lebih mencabar... tidak kira di sini atau di luar negara," tambah jaguh Singapura berusia 30 tahun itu.



Ini bukan kali pertama Ridhwan akan berentap dengan pencabar dari Afrika - beliau bertarung hebat sepanjang 12 pusingan semasa menewaskan Nataneal Sebastian, juga dari Namibia, bagi merebut kejuaraan Antarabangsa kelas 'super feather' IBO pada Oktober tahun lalu.



Namun, pencabarnya kali ini bukan calang-calang. Pada usia 38 tahun, Ambunda memiliki pengalaman luas dan merupakan juara dunia tiga kali sebelum ini - sekali bersama Persatuan Tinju Dunia (WBO) dan dua kali bersama IBO.



Berada di sidang perasmian semalam, malah Ambunda mengetepikan segala andaian bahawa beliau kini berada di penghujung kerjaya di gelanggang dan bakal menjadi lawan yang mudah bagi Ridhwan.



"Usia itu sekadar satu angka... saya telah melalui segala-galanya di gelanggang, jadi saya sudah pun bersiap untuk berhadapan dengan petinju anda (Ridhwan).



"Beliau petinju yang baik... muda dan dahagakan kejayaan tetapi saya melihat (melalui video pertarungan Ridhwan sebelum ini) beliau melakukan banyak kesilapan semasa bertarung.



"Saya akan menghukum segala kesilapannya... saya yakin akan muncul sebagai petinju pertama untuk menumbangkannya," kata Ambunda, yang memiliki rekod 26 kemenangan dan dua kekalahan sebelum ini.



Seorang lagi petinju negara yang akan beraksi di The Roar of Singapore: The Kings of Lions City ialah Efasha Kamarudin yang bakal tampil bagi pertarungan profesional keduanya nanti.



Efasha, 27 tahun, dijadualkan berentap dengan petinju Thailand, Saowaluk Nareepangsri.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >