Ronaldo minta Juventus dapatkan Marcelo

TURIN (Italy):    Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo, meminta kelab barunya itu  mendapatkan khidmat bintang Real Madrid, Marcelo, hanya  kira-kira 24 jam selepas beliau menyertai  mereka.

Ronaldo, 33 tahun, melengkapkan perpindahan bernilai 99 juta pound ($177 juta)  ke Old Lady selepas  memutuskan  meninggalkan Real setelah  sembilan tahun di Bernabeu.

Ronaldo dan Marcelo  rakan karib sepanjang mereka    berada di Real.

Menurut laporan akhbar Sport di Sepanyol, Ronaldo memberitahu Juventus supaya  mendapatkan Marcelo pada hari beliau  menyertai kelab itu.

Pada masa sama, Marcelo  memperkuatkan lagi spekulasi perpindahannya   dengan menyatakan beliau  akan menyertai Juventus.

“Kami  akan bersama semula tidak lama lagi,” kata Marcelo selepas Real mengesahkan perpindahan pemain Portugal itu.

Pemain Brazil itu dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab, termasuk Manchester United dan Paris Saint-Germain.

Bagaimanapun, Marcelo kembali ke padang latihan Real minggu ini untuk bertemu pengurus baru   mereka, Julen Lopetegui, yang menggantikan Zinedine Zidane setelah legenda Perancis itu meninggalkan Santiago Bernabue selepas tiga musim. – AGENSI