Subuh
5:56
Syuruk
7:13
Zuhur
1:17
Asar
4:27
Maghrib
7:19
Isyak
8:28
Dapatkan laporan terkini berkaitan Covid-19. Ikuti kami di Telegram
Sukan0

TENIS: TERBUKA AUSTRALIA

Saingan tak seimbang gara-gara kuarantin?

Jan 25, 2021 | 05:30 AM

MELBOURNE: Tengkarah mengenai kuarantin dan layanan yang diberikan kepada pemain tenis terbaik dunia telah memberi tumpuan yang tidak diingini kepada mereka yang tiba di Melbourne menjelang Terbuka Australia bulan depan.

Sebahagian pemain telah meluahkan rasa kurang senang dikurung di bilik hotel sepanjang hari, sementara segolongan penduduk di Melbourne - kota yang melalui tempoh sekatan yang antara paling lama di dunia tahun lalu - telah meluahkan keprihatinan mengenai risiko mendedahkan mereka kepada jangkitan Covid-19 semata-mata kerana menganjurkan kejohanan tahunan tersebut.

Kes-kes positif yang dikesan di tiga penerbangan khas bagi Terbuka Australia telah memaksa 72 pemain menjalani kuarantin penuh - yang bermakna mereka perlu mengasingkan diri di bilik hotel masing-masing selama 14 hari sementara pemain lain berlatih dan membuat persiapan di gelanggang tenis.

Ketua eksekutif Tenis Australia Craig Tiley berkata semua pemain telah diberitahu mengenai kemungkinan mereka dikenakan kuarantin setibanya di negara itu, tetapi sebahagian pemain mungkin menganggap remeh pemberitahuan itu.

Namun beliau berkata keadaan itu menimbulkan persaingan yang tidak seimbang antara pemain yang dikurung di bilik hotel dan pemain yang dibenar berlatih lima jam sehari.

Berita Popular

Menurut penganjur, kebanyakan daripada 500 pemain yang mendaftar bagi Terbuka Australia menerima syarat tersebut.

Malah, Anggota Parlimen (AP) buruh Bill Shorten memberitahu pemain yang mengadu secara terbuka supaya berpegang kepada realiti.

"Nyawa telah terkorban... orang ramai kehilangan kerja... tetapi ada orang seperti mereka yang merintih kerana terpaksa berkurung dalam bilik," ujar Shorten.

Pemain nombor satu dunia Novak Djokovic telah cuba melobi pihak berkuasa di Australia supaya membenarkan syarat kuarantin dilonggarkan bagi peserta Terbuka Australia, termasuk mengurangkan tempoh kuarantin.

Cadangan Djokovic itu mengundang kritikan daripada pemain tenis Australia Nick Kyrgio yang berkata Djokovic tidak begitu bijak apabila membuat cadangan tersebut.

Tahun lalu, Djokovic menganjurkan acara pameran di mana beliau dan beberapa pemain tenis lain dijangkiti Covid-19.

Acara tersebut turut mengundang kritikan daripada Kyrgios.

Beliau juga mengkritik temanita pemain tenis Australia Bernard Tomic yang ditukil dalam sebuah wawancara televisyen mengadu mengenai makanan di hotel yang tidak memuaskan dan kerana beliau terpaksa membasuh rambutnya sendiri.

Vanessa Sierra berkata komen beliau telah ditukil di luar konteks dan beliau telah menerima ancaman maut akibat insiden tersebut.

Sedang kebanyakan pemain dikuarantin di Melbourne, Djokovic berada di Adelaide bersama sekumpulan kecil pemain bertaraf bintang termasuk Rafael Nadal, Serena Williams dan Naomi Osaka yang mengambil bahagian dalam pertunjukan pameran.

Juara Terbuka Australia dua kali Victoria Azarenka merayu kepada pemain tenis lain supaya bekerjasama dengan penganjur dan menunjukkan empati kepada masyarakat setempat yang telah melalui tempoh sekatan yang berpanjangan.

Namun pemain Sepanyol Roberto Bautista Agut berkata berada dalam kuarantin bak berada dalam penjara.

"Mereka di sini tidak tahu-menahu mengenai tenis, mengenai gelanggang latihan mengenai apa sahaja... keadaan di sini begitu teruk sekali.

"Tenis Australia tidak berkuasa apa-apa tetapi semuanya dikuasai pemerintah... Saya tidak dapat bayangkan bertahan selama dua minggu dalam keadaan begini."

Namun beliau telah memohon maaf atas hujahnya itu yang didakwanya ditukil di luar konteks dan berkata beliau mengagumi cara Australia menangani Co`vid-19.

Sekurang-kurangnya tujuh pemain dan kakitangan yang terlibat dengan Terbuka Australia telah diuji positif bagi Covid-19 setibanya di Melbourne, menurut perangkaan yang dikongsi pegawai kesihatan awal minggu lalu.

Sekitar 1,200 orang telah tiba di Melbourne bagi kejohanan Grand Slam tersebut, yang dijadual bermula pada 8 Februari. - Agensi berita

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map