PREVIU FINAL LIGA JUARA-JUARA

Salah atau Ronaldo? Liverpool atau Real?

Jentera serangan berbisa Liverpool beri harapan tamatkan penguasaan Real

KIEV (Ukraine): Diterajui sentuhan cemerlang jaringan gol Mohamed Salah, kelab Liga Perdana, Liverpool, di ambang mahkota Liga Juara-Juara yang akan berlangsung di sini hari ini (2.30 pagi esok waktu Singapura) di mana pasukan pimpinan Juergen Klopp akan berusaha menghalang Real Madrid daripada menggondol kejuaraan buat musim ketiga berturut-turut.

Sejak pernah memenangi Piala Eropah lima kali berturut-turut sebelum ini, Real mendambakan satu lagi era kecemerlangan dengan kelab gergasi Sepanyol pimpinan Zinedine Zidane itu menyasarkan menjulang mahkota terbesar bola sepak antara kelab Eropah ini buat kali keempat dalam lima tahun.

Tiada kelab lain - termasuk Atletico Madrid (dua kali) atau Juventus - yang berupaya menghalang penyerang sensasi real, Cristiano Ronaldo, daripada menghukum mereka dalam final sejak beberapa tahun lalu.

Namun, kelebihan jentera serangan Liverpool memberikannya harapan serta keyakinan yang mungkin membayangkan Stadium Olimpik yang terletak di ibu kota Ukraine ini - lokasi pertarungan akhir Liga Juara-Juara kali ini - akan menyaksikan adegan-adegan yang mungkin tidak dapat dilupakan.

Dari segi sejarah kejohanan ini sahaja, pertarungan akhir antara dua kelab gergasi Sepanyol dan England itu sudah pun boleh dianggap sebagai final impian.

Kejayaan Real menjulang mahkota Eropah 12 kali sebelum ini meletakkan mereka jauh di hadapan pesaing-pesaing lain tetapi Liverpool telah memenangi trofi berprestij itu lima kali - kali terakhir pada 2005 apabila The Reds mengatasi segala halangan untuk mengatasi AC Milan di Istanbul.

Kali ini, di bawah kendalian Klopp, Liverpool berjaya menepis segala cabaran termasuk mengetepikan Manchester City dan Roma dalam laluannya ke final.

Liverpool berjaya menjaringkan jumlah rekod 46 gol sepanjang kempen Liga Juara-Juara sejauh ini dengan bintang penyerang Mesir, Salah, menyumbangkan 11 daripada gol-gol itu.

Salah mempunyai 44 gol dalam semua pertandingan musim ini dan berpeluang menambahkan lagi jumlah itu apabila beraksi hari ini.

"Jika kami menang kejohanan ini, laluan kami untuk sampai ke Kiev dan final itu tentu sekali antara satu pengembaraan yang menakjubkan sekali," ujar Klopp kepada laman rasmi kelabnya itu.

"Sejauh ini, ia begitu hebat sekali."

Klopp bagaimanapun terpaksa menelan kepahitan mengalami kekalahan dalam kesemua lima final sebelum ini termasuk semasa bertugas di Borussia Dortmund yang tewas kepada seteru ketatnya, Bayern Munich, dalam pertarungan akhir Liga Juara-Juara 2013.

Dan kali ini - sekalipun pasukannya dianggap kurang pengalaman beraksi dalam final pertandingan terbesar Eropah itu - Klopp yakin pasukannya tidak akan diperlekehkan Real.

"Adakah Real Madrid berfikir 'bagus juga dapat jumpa Liverpool (dalam final)?' Saya langsung tidak fikir sebegitu," tambah Klopp yang menerima berita baik kecergasan semula tunggak midfield lasak, Emre Can.

Salah bersama-sama Roberto Firmino dan Sadio Mane - yang di kalangan mereka menyumbatkan 90 gol musim ini - menjadi kunci kejayaan Liverpool lebih-lebih lagi jika Marcelo sibuk menyertai jentera serangan Real dan 'meninggalkan' posisinya sebagai pemain bek kiri pasukan.

Zidane dan anak didiknya pula turut mempunyai motivasi besar untuk menjulang mahkota Liga Juara-Juara ini - menjadi kelab pertama sejak Bayern pada 1976 yang memenanginya tiga musim berturut-turut - selain mengekalkan penguasaan kelab-kelab Sepanyol dalam kejohanan ini sejak lima tahun lalu.

Ronaldo juga berpeluang memenangi pingat kejuaraan kelima Liga Juara-Juara - menyamai rekod dunia di samping meletakkannya dalam kedudukan baik untuk menggondol satu lagi Anugerah Ballon d'Or bagi pemain terbaik dunia.

Legenda Perancis, Zidane, juga di ambang sejarah untuk menjadi jurulatih pertama untuk memenangi mahkota Eropah itu tiga kali berturut-turut sebagai seorang jurulatih.

"Kami telah mencatatkan sejarah tetapi kami mahu terus melakukannya... ia tentu sesuatu yang hebat sekali," ujar tunggak pertahanan Real, Raphael Varane, kepada akhbar Sepanyol, Marca. - AFP, Reuters.

  • Siaran langung final Liga Juara-Juara antara Liverpool dengan Real Madrid di Singtel TV Saluran 112 & StarHub TV Saluran 212 mulai 2.30 pagi esok.

SENARAI PEMENANG LIGA JUARA-JUARA

2016-17: Real Madrid (Sepanyol)
2015-16: Real Madrid (Sepanyol)
2014-15: Barcelona (Sepanyol)
2013-14: Real Madrid (Sepanyol)
2012-13: Bayern Munich (Jerman)
2011-12: Chelsea (England)
2010-11: Barcelona (Sepanyol)
2009-10: Inter Milan (Italy)
2008-09: Barcelona (Sepanyol)
2007-08: Man United (England)
2006-07: AC Milan (Italy)
2005-06: Barcelona (Sepanyol)
2004-05: Liverpool (England)
2003-04: Porto (Portugal)
2002-03: AC Milan (Italy)

JUARA PALING BANYAK:

1. Real Madrid - 12 kali (1956, 1957, 1958, 1959, 1960, 1966, 1998, 2000, 2002, 2014, 2016, 2017)
2. AC Milan - 7 kali (1963, 1969, 1989, 1990, 1994, 2003, 2007)
3. Bayern Munich - 5 kali (1974, 1975, 1976, 2001, 2013) & Barcelona (1992, 2006, 2009, 2011, 2015) & Liverpool (1977, 1978, 1981, 1984, 2005)
4. Ajax Amsterdam - 4 kali (1971, 1972, 1973, 1995)

Galeri Foto