Samba Brazil di kota Singa sekali lagi tidak menjadi

 

 

JUARA dunia lima kali Brazil sekali lagi disekat pasukan Afrika di kota Singa.

Dalam perlawanan di depan sekitar lebih 20,000 penyokong bertenaga di Stadium Negara Ahad ini (13 Oktober), Brazil hanya mampu mencetak keputusan seri 1-1 menentang pasukan nombor 34 dunia, Nigeria.

Brazil memulakan perlawanan persahabatan ini dihimpit rekod tiga perlawanan tanpa menang.

Keadaan menjadi lebih sukar pada minit ke-12 apabila Brazil kehilangan bintang mereka, Neymar Junior, atas sebab kecederaan hamstring.

Penyerang Paris Saint Germain itu digantikan oleh Philippe Coutinho.

Babak pertama melihat kedua-dua pasukan cuba menembusi gawang masing-masing.

Penyerang trio Brazil, Roberto Firmino, Gabriel Jesus dan Countinho bertubi-tubi mengancam gawang Nigeria namun hanya melihat tembakan mereka diselamatkan penjaga gol Nigeria, Francis Uzoho.

Namun Nigeria, yang lebih klinikal di depan gol, membuka tirai jaringan pada minit ke-35 menerusi pemain midfield Joe Aribo.

Pemain Rangers FC itu membuat larian ke dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol tunggal dalam separuh pertama.

Brazil tidak membuang masa dalam babak kedua apabila jaringan pemain midfield Casemiro pada minit ke-48 menyamakan keadaan 1-1.

Coutinho hampir menjadi wira pasukan nombor tiga dunia itu namun tembakannya dihalang benteng kental Nigeria pada minit ke-86. 

Keputusan seri kekal sehingga ke wisel penamat.

Brazil melanjutkan rekod tanpa menang mereka kepada empat perlawanan. 

Galeri Foto