Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

GOLF

Sejarah baru terbit dalam dunia golf

Hideki Matsuyama mencipta sejarah sebagai pemain Jepun pertama yang memenangi salah satu gelaran utama pertandingan golf, setelah beliau menjuarai pertandingan Masters di Augusta National di Georgia. Pencapaian beliau menyemarakkan lagi landskap golf yang amat diminati di Jepun. BERITA MINGGU menyorot pencapaiannya.
Apr 18, 2021 | 05:30 AM



WARGA Jepun terpaksa menahan nafas apabila bintang golf negara itu Hideki Matsuyama hampir-hampir 'pancit' dalam pusingan akhir kejohanan Masters di Augusta National di Georgia.



Namun kemenangan di akhir pusingan dengan satu pukulan mencetuskan reaksi girang dalam kalangan penduduk Jepun, ramai di antara mereka yang 'gilakan' golf.



Matsuyama, 29 tahun, menjadi pemain Jepun pertama yang berjaya memenangi 'Jaket Hijau', dalam salah satu pertandingan utama dalam dunia golf.



Sedang Jepun bertarung dengan kenaikan kes Covid-19, yang turut mengancam membatalkan Sukan Olimpik di Tokyo, kemenangan bersejarah Matsuyama memberi sinar harapan kepada negara itu.



Jurucakap tertinggi pemerintah Jepun Katsunobu Kato, mengucapkan "tahniah dan rasa hormat dari hati" atas kemenangan "bersejarah" Matsuyama.



"Ini satu lagi berita gembira mengenai prestasi luar biasa atlet Jepun di pentas global dalam keadaan sukar," kata Kato di sebuah sidang akhbar baru-baru ini.



Kato turut merujuk kepada kemenangan pemain tenis Naomi Osaka di Terbuka Australia sebagai bukti lebih lanjut mengenai kejayaan sukan Jepun.



Perdana Menteri Yoshihide Suga menyebut kemenangan Matsuyama sebagai "luar biasa" dan merupakan sumber kebanggaan dan keberanian bagi orang-orang Jepun semasa kesulitan yang ditimbulkan oleh wabak tersebut.



Matsuyama memulakan pusingan akhir Ahad lalu dengan kelebihan empat pukulan dan mencari peluang menandingi rekod Hinako Shibuno dan Chako Higuchi sebagai juara utama golf dari Jepun.



Shibuno memenangi pertandingan Wanita Terbuka British pada 2019 dan Higuchi pula memenangi Kejohanan Wanita PGA yang sebelumnya dikenali sebagai LPGA Championship, pada 1977.



Matsuyama yang dilahirkan di Ehime, Jepun merupakan lulusan Lulusan Universiti Tohoku Fukushi.



Beliau menjadi pemain profesional pada 2013 dan mencatatkan enam kemenangan dalam acara anjuran PGA Tour.



Tetapi perjalanan Matsuyama untuk menyarung Jaket Hijau (penghormatan yang diberi kepada juara Masters) kelihatan terhadang dengan pelbagai kesilapan di beberapa lubang akhir.



Pada lubang ke-15 Par 5, pukulan menghampiri 'green' beliau tersasar ke bahagian belakang lalu masuk ke dalam air.



Matsuyama hanya berupaya mencatatkan 'bogey' sementara pesaingnya Xander Schauffele berjaya mencatatkan 'birdie'. Kelebihan empat pukulan yang dinikmati Matsuyama sebelum itu langsung menjadi dua.



Namun Schauffele mencatatkan 'triple bogey' di lubang seterusnya memberi Matsuyama sedikit ruang untuk bernafas. Biarpun Matsuyama tercicir dua lagi pukulan pada tiga lubang terakhir, persembahannya sudah cukup untuk memenangi kejohanan Masters yang pertama.



Selain membawa pulang hadiah lebih AS$2 juta ($2.78 juta), kemenangan di Masters boleh membawa pulangan susulan bernilai lebih $20 juta setahun dalam bentuk iklan, pemasaran dan lain-lain lagi kata pakar pemasaran sukan Bob Dorfman.



"Tanpa sebarang kecederaan atau skandal yang boleh menamatkan kerjaya, saya boleh katakan kemenangan Masters bernilai AS$600 juta untuk Matsuyama," kata Dorfman dari Baker Street Advertising kepada Sportico.



"Beliau akan menjadi ikon di negara yang sukakan golf," tambah Dorfman.



"Kemenangan di Masters boleh mengubah nasibnya," kata Bill Sanders pula.



"Jepun mempunyai sejarah panjang perjanjian sokongan dengan pelakon dan atlet Hollywood.



"Potensi beliau mungkin terhad di Amerika tetapi ia boleh membawa pulangan hebat di Jepun," kata Sanders, yang menguruskan kerjaya pemasaran bintang bola keranjang China, Yao Ming.



Matsuyama memperoleh pendapatan kerjaya AS$33.3 juta di lapangan golf sejak menjadi profesional pada 2013.



Selain wang tunai, kemenangan Matsuyama mendorong seruan supaya beliau diberi kehormatan menyalakan kuali Sukan Olimpik pada upacara pembukaan Julai ini.



"Ini akan menjadi suatu kehormatan," katanya dalam kenyataan PGA Tour.



"Tetapi saya tidak pasti tentang jadual saya. Sekiranya jadual saya mengizinkan dan saya berada di Jepun ketika ia berlangsung dan mereka mengundang saya, ia satu kehormatan," tambah Matsuyama.



Hidemasa Nakamura, pegawai penyampaian Sukan untuk jawatankuasa penganjur Olimpik Tokyo, memberitahu Reuters bahawa beliau bersengkang mata untuk menonton Matsuyama beraksi di Masters.



"Itu satu dorongan yang baik kerana kami ingin membuat persiapan untuk musim panas ini di Tokyo agar pemain yang bekerja keras itu dapat memainkan peranan aktif," katanya.



Ternyata, kemenangan Matsuyama sudah memberi inspirasi kepada peminat golf di Jepun.



"Hari ini saya menonton banyak video gerakan perlahan melalui siaran dan ia bak mimpi," kata Masachika Sawano, seorang peguam berusia 48 tahun.



"Sekiranya saya dapat melakukan salah satu dari Pukulan Encik Matsuyama, alangkah baiknya," katanya kepada Reuters di Hills Golf Academy di Tokyo.



Taishi Fukuzawa, pengurus sekolah, berharap kemenangan Matsuyama dapat meningkatkan perniagaan.



"Dengan ini, bahkan mereka yang tidak bermain golf - mudah-mudahan dapat mengetahui tentang golf," kata Fukuzawa.



"Saya harap ini akan meningkatkan industri golf," tambahnya. - Agensi Berita




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >