Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Sentosa kembali jadi medan saingan bintang golf dunia

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Sukan
30
0

KEJOHANAN DUNIA WANITA HSBC

Sentosa kembali jadi medan saingan bintang golf dunia

Apr 25, 2021 | 05:30 AM

KELAB Golf Sentosa akan bersinar dengan bintang-bintang hebat golf wanita apabila medan pertarungan Kejohanan Dunia Wanita HSBC kembali tahun ini, mulai 29 April hingga 2 Mei.

Kejohanan itu menandakan kemunculan semula golf wanita profesional ke Singapura dan rantau Asia-Pasifik setelah pertandingan itu dibatalkan tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Barisan yang terdiri daripada bintang golf wanita termasuk juara bertahan Park Sung-hyun dan pemain golf wanita nombor satu dunia Ko Jin-Young.

Mereka akan disertai oleh rakan senegara dari Korea Selatan dan juara dua kali kejohanan Park In-bee, pemenang Major dari Amerika Syarikat (AS) Danielle Kang dan pemenang Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) lima kali, Lee Min-jee dari Australia.

Park Sung-hyun, pemain nombor 14 dunia, akan bertekad menambah jumlah tujuh kemenangannya dalam Jelajah LPGA di kejohanan ini.

Beliau berkata:

"Saya ghairah untuk kembali ke Singapura untuk mempertahankan kejuaraan Kejohanan Dunia Wanita HSBC. Ia adalah hari final yang mendebarkan pada 2019 dan saya berjaya memaparkan persembahan mantap dalam pusingan keempat untuk merangkul kejohanan.

"Saya mempunyai sokongan hebat di padang pada 2019 jadi saya tidak sabar untuk kembali beraksi dan bermain golf terbaik saya."

Park akan berdepan pertandingan yang lebih sengit tahun ini dengan bintang dari China Feng Shanshan; duo asal Jepun, Nasa Hataoka dan Hinaka Shibuno, masing-masing ranking nombor 10 dan 18 dunia; dan bekas nombor satu dunia, Ariya Jutanugarn dari Thailand dan Lydia Ko dari New Zealand, yang turut akan membuat perjalanan ke kota Singapura minggu ini.

Mengulas mengenai kehadirannya semula ke Singapura, Jatanugarn, 25 tahun, pemenang Major dua kali dan naib juara di Singapura pada 2017, berkata:

"Kejohanan Dunia Wanita HSBC adalah pertandingan penting untuk saya. Saya pertama kali bersaing pada 2013 sebagai undangan penaja, yang merupakan pengalaman yang luar biasa dan saya telah kembali selama empat tahun terakhir ini.

"Tahun ini, ia memulakan pertandingan Asia kami yang mana saya selalu ternanti-nanti, dengan padang golf dan keadaannya. Ia adalah kejohanan hebat di kelab golf yang hebat. Justeru, terima kasih kepada semua orang yang menjayakannya tahun ini. Saya akan melakukan yang terbaik untuk memberi semangat kepada peminat saya."

Mengikut jejak langkahnya ialah rakan senegara dari Thailand, Patty Tavatanakit.

Ia diumumkan baru-baru ini bahawa Tavatanakit, yang mengejutkan peminat dengan kemenangan Major, ANA Inspiration, dalam musim 'rookie'-nya awal bulan ini, telah menerima undangan penaja untuk bersaing di Kejohanan Dunia Wanita HSBC.

Pemain berusia 21 tahun itu akan membuat penampilan sulungnya dalam pertandingan itu.

Pemain golf nombor satu Singapura Amanda Tan juga telah diberikan undangan penaja dan akan cuba memperbaiki keputusan lalu dalam penampilan keempatnya di kejohanan itu.

Tavatanakit berkata:

"Saya rasa tahap permainan saya buat masa ini baik dan saya rasa saya bersedia untuk berdepan baki musim.

"Kemenangan di ANA Inspiration belum benar-benar reda, tetapi saya sangat berterima kasih kepada jurulatih-jurulatih saya yang membantu menjadikan impian seumur hidup itu realiti.

"Saya sangat ghairah untuk beraksi di Kejohanan Dunia Wanita HSBC buat pertama kali, iaitu kejohanan yang saya sering ikuti di Thailand.

"Saya tidak asing dengan keadaan di Singapura jadi saya berharap saya boleh lakukan yang terbaik. Ribuan terima kasih kepada HSBC dan saya tidak sabar bertemu dengan anda di Singapura."

Pemenang Jelajah LPGA tujuh kali dan bekas juara di Singapura, Angela Stanford dari AS; juara bertahan Terbuka Wanita AS Kim A-Lim dari Korea Selatan; dan pemain golf Denmark Emily Pedersen antara pemain lain yang melengkapkan kejohanan seramai 69 pesaing itu.

Acara tahun ini akan menyaksikan seramai 250 peminat - semua tetamu korporat - dibenarkan hadir ke Kelab Golf Sentosa setiap hari.

Ketua eksekutif sementara HSBC Singapore, Olfert De Wit, berkata:

"Kejohanan Dunia Wanita HSBC adalah acara utama dalam golf wanita dan kami gembira untuk mengumumkan baru-baru ini mengenai komitmen berterusan kami sebagai rakan kejuaraan acara itu.

"Menjadi tuan rumah untuk pertandingan ini di salah sebuah hab antarabangsa paling penting HSBC menunjukkan komitmen kuat kami kepada Singapura dan wanita dalam sukan ini. Sejak 2008, kami telah membawa golf bertaraf dunia ke Singapura menerusi sokongan kami terhadap 'Major Asia' dengan tujuan jangka panjang untuk memberi inspirasi kepada bakat generasi seterusnya di rantau ini."


SEMANGAT JUARA BERTAHAN 
Saya ghairah untuk kembali ke Singapura untuk mempertahankan kejuaraan Kejohanan Dunia Wanita HSBC. Ia adalah hari final yang mendebarkan pada 2019 dan saya berjaya memaparkan persembahan mantap dalam pusingan keempat untuk merangkul kejohanan.
Saya mempunyai sokongan hebat di padang pada 2019 jadi saya tidak sabar untuk kembali beraksi dan bermain golf terbaik saya."

- Juara bertahan Park Sung-hyun (Korea Selatan)

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3