PIALA AFF SUZUKI: PROFIL SHAHRIL ISHAK

Shahril harap Singa dapat teruskan perjuangan meskipun laluan mencabar

PINTU peluang baginya untuk beraksi di Piala AFF Suzuki tahun ini mungkin sudah tertutup selepas mengalami kecederaan yang serius pada bahunya.

Namun, pemain veteran negara, Shahril Ishak, percaya skuad negara masih mampu meneruskan perjuangan mereka dan mencapai sesuatu yang istimewa buat negara.

Shahril terpaksa digantikan selepas hanya berada di padang sekitar lima minit semasa perlawanan menentang Filipina minggu lalu.

Sekembalinya beliau ke Singapura, pemain berusia 34 tahun itu telah menjalani pembedahan bagi kecederaan pada bahunya pada Jumaat lalu dan kini dalam proses pemulihan.

"Alhamdulillah, pembedahan berjalan dengan lancar dan doktor telah letakkan skru pada bahagian bahu kanan saya yang retak.

"Saya kini perlu berehat selama sekitar dua bulan sebelum dapat kembali beraksi di musim baru Liga Perdana Singapura (SPL) yang akan bermula pada Februari tahun depan," katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Shahril dianggap sebagai pemain yang mampu mengubah perlawanan oleh jurulatih Singapura, Fandi Ahmad.

Lantas, Fandi telah menampilkan pemain Home United itu untuk menggantikan Faris Ramli sewaktu perlawanan di Filipina minggu lalu.

Malangnya, penampilan Shahril di kejohanan ini tidak berpanjangan.

Mengimbas kembali peristiwa tersebut, Shahril berkata;

"Waktu itu, saya hanya mahu pastikan bola keluar dari kawasan pertahanan kami.

"Namun ketika hendak menanduk bola keluar, saya bertembung dengan pemain Filipina dan mendarat gunakan tangan saya.

"Sejurus jatuh di atas padang, saya dapat rasakan kecederaan ini akan lenyapkan peluang saya beraksi di Piala AFF Suzuki kali ini.

"Saya tidak dapat bangun dan terpaksa meminta dikeluarkan.

"Sebelum ini saya pernah mengalami kecederaan serupa pada 2012 ketika menyarung jersi Lions XII, tetapi ketika itu ia terjadi pada bahagian bahu kiri saya, jadi saya tahu ini merupakan kecederaan yang serius.

"Itulah bola sepak... anda tidak dapat menentukan nasib anda sendiri apabila beraksi di padang walaupun sudah membuat persediaan rapi," ujarnya yang kini perlu memakai anduh bahu.

Ketiadaan beliau dalam skuad nasional merupakan satu kehilangan besar namun beliau menegaskan bahawa beliau masih kekal bersama mereka sepanjang kejohanan ini.

Shahril merasakan sudah tiba masanya Singapura meraikan kegemilangan menjulang Piala AFF lagi setelah enam tahun ketandusan piala.

Bahkan, beliau bukanlah muka baru dalam kejohanan tersebut setelah memenangi kejohanan itu pada 2012 dan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik AFF bagi kejohanan itu.

Beliau berkata:

"Sejak kebelakangan ini, pasukan kebangsaan menyaksikan beberapa jurulatih bertukar tangan - dari Bernd Stange, V Sundramoorthy dan kini Fandi Ahmad.

"Setiap jurulatih mempunyai falsafah tersendiri, jadi bukan mudah bagi pemain untuk menyesuaikan gaya permainan secara kerap dan pantas."

Justeru, di bawah kepimpinan Fandi sebagai jurulatih baru Singapura, beliau merasakan pasukan kebangsaan seperti mempunyai nafas baru.

"Di bawah bimbingan Fandi, yang lebih gemar menyerang melalui serangan kilat dan gerakan pantas, saya rasa kami dapat menyesuaikan corak permainannya dengan cepat memandangkan kami mempunyai ramai pemain pantas," jelas Shahril.

Di samping itu, Shahril juga akur bahawa pemain senior dalam skuad nasional mempunyai tanggungjawab untuk membimbing dan merangsang pemain muda supaya mereka berpeluang membentuk kesebelasan utama.

"Gabungan pemain muda dan senior penting jadi kami harus ambil manfaat daripada setiap perlawanan," tambahnya.

Merumuskan peluang pasukan Singapura di Piala AFF Suzuki kali ini, Shahril menaruh keyakinan tinggi kepada rakan sepasukannya untuk meneruskan perjuangan mereka di kejohanan serantau itu.

Ini meskipun mereka masih perlu berhadapan dengan gergasi Asia Tenggara, Thailand, di Stadium Rajamangala Ahad ini.

"Kami masih mempunyai peluang melangkah ke pusingan seterusnya tetapi ia bergantung kepada keputusan apabila kami menentang Timor-Leste dan Thailand bertemu Filipina.

"Sukar bagi meramalkan pasukan mana yang perlu diberi perhatian kerana semua pasukan yang tampil dalam kejohanan kali ini dijangka agak mencabar," jelasnya.


"Sejurus jatuh di atas padang, saya dapat rasakan kecederaan ini akan lenyapkan peluang saya beraksi di Piala AFF Suzuki kali ini. Saya tidak dapat bangun dan terpaksa meminta dikeluarkan... Itulah bola sepak...anda tidak dapat menentukan nasib anda sendiri apabila beraksi di padang walaupun sudah membuat persediaan rapi."
- Shahril Ishak.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:04
Isyak
8:19
3 HR PSI: 33
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.