KEJOHANAN PENCAK SILAT SEDUNIA

Shakir siap rebut peluang kedua untuk tampil johan Dua pendekar julang harapan rangkul takhta juara

Harapan negara untuk merangkul takhta juara dunia terletak di bahu dua juara dunia berganda Singapura, Muhammad Shakir Juanda dan Sheik Farhan Sheik Alau'ddin. Meskipun melalui perjalanan yang tidak mudah tahun ini, kedua-dua pendekar negara ini telah menetapkan sasaran melakukan hatrik juara dunia pada Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-18 di Arena OCBC, Hab Sukan Singapura, nanti. Wartawan Berita Minggu FAKHRURADZI ISMAIL (mfismail@sph.com.sg) bertemu dua pesilat negara ini dalam persediaan mereka menjelang kejohanan ini.

KEPUTUSAN yang dikatakan tidak adil daripada wasit di Sukan Asia Ogos lalu dianggap telah menutup peluang Muhammad Shakir Juanda menunjukkan kebolehannya bertanding dalam kategori Kelas yang lebih mencabar.

Justeru, juara dunia berganda itu mengalu-alukan peluang keduanya di Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-18 untuk beradu bakat dengan beberapa pesilat terbaik dunia dalam pertarungan Kelas E (65-70kg).

"Sewaktu Sukan Asia apabila saya bertanding dalam Kelas E buat pertama kali, tak sampai tiga minit saya sudah pun tewas.

"Sebab itu, kali ini di kejohanan dunia, saya mahu mencuba lagi nasib saya di kategori ini.

"Saya rasa saya masih belum mampu menunjukkan kebolehan saya sepenuhnya untuk bertanding dalam Kelas E, jadi inilah peluang saya mencubanya sekali lagi dan bertarung dengan pesilat terbaik dunia," kata Shakir, 30 tahun.

Sebelum ini, Shakir, yang dinobat sebagai juara dunia pada 2012 dan 2016, telah bertanding dalam Kelas I (85-90kg) di kejohanan dunia.

Namun, kini pencabarnya terdiri daripada pesilat dunia yang lebih mantap seperti pesilat dari Indonesia, Komang Hariz Adi Putra; dan juara dunia sebanyak tiga kali, Al Jufferi Jamari, pesilat dari Malaysia.

"Walaupun saya akan bertarung dalam kategori yang berbeza, saya bersedia bertemu juara bertahan Al Jufferi dan juga Komang yang akan turut beraksi di sini nanti.

"Saya rasa Kelas E merupakan kategori yang paling mencabar, tetapi saya tidak khuatir, malah tidak sabar mahu menyaksikan keputusan akhir kejohanan ini nanti.

"Anda mungkin telah menjadi juara dunia sebanyak empat atau lima kali, namun apabila apabila berada di gelanggang, hanya anda dan lawan yang akan beradu untuk merebut kejuaraan.

"Sewaktu pertarungan itu, ia bakal menunjukkan siapa yang mempunyai keinginan yang lebih tinggi untuk merampas takhta itu.

"Dalam sukan, apa sahaja boleh berlaku, jadi kita harus menantikan keputusannya," tegasnya.

Semangatnya ingin membuktikan kemampuannya berdepan dengan pesilat terbaik dunia jelas dilihat, mungkin sebagai penebus kekecewaan di Sukan Asia.

Namun, matlamat Shakir kini jelas - segala persediaan yang dibuat akan ditentukan di kejohanan dunia ini.

Shakir dianggap tewas menerusi keputusan 'technical knock-out' selepas ditumbuk di muka dan ditendang oleh Komang ketika temasya Sukan Asia yang diadakan di Jakarta, Indonesia, pada Ogos lalu.

Asakan kontroversial lawannya itu menyebabkan Shakir terbaring di gelanggang kesakitan.

Meskipun aduan dibuat, ia tidak diendahkan dan kemenangan tetap diberikan kepada Komang yang kemudian dinobatkan sebagai juara selepas menumpaskan Al Jufferi dalam keadaan yang turut diselubungi kontroversi.

Oleh itu, Shakir menganggap pertarungan di Singapura yang bakal bermula Khamis ini akan menyaksikan saingan yang lebih sengit, dengan Singapura menetapkan piawai kejohanan yang lebih baik dan adil.

"Ini merupakan kejohanan utama yang terakhir tahun ini dan ia diadakan di Singapura.

"Jadi, kami akan memberikan yang terbaik dan memastikan kejohanan ini dijalankan dengan sempurna agar ia menjadi kejohanan dunia yang lebih gah berbanding kejohanan sebelum ini.

"Jika anda melihat kejohanan lalu (seperti Sukan SEA) yang pernah kami hoskan, kami sentiasa menetapkan piawai yang betul dalam memastikan keadilan setiap perlawanan dan mengelak berlakunya keputusan yang tidak adil," ujarnya lagi.


Farhan hanya mahu tumpu kepada kemenangan

TIADA masa untuk terus berasa kesal atau kecewa atas persembahan lalu yang kurang memuaskan.

Apa yang perlu dilakukan hanyalah memandang ke hadapan dan terus memberikan yang terbaik untuk pertarungan yang bakal dihadapi.

Begitulah pendirian juara dunia berganda, Sheik Farhan Sheik Alau'ddin, ketika mengongsi pendekatan yang dipegangnya sebelum melangkah masuk ke gelanggang pertarungan.

"Bagi saya, biasanya setiap kejohanan dan pertarungan amat berbeza. Saya pastikan saya tidak akan memikirkan tentang pertarungan lalu.

"Kalau kejohanan itu sudah berakhir, saya tidak akan memikirkan tentangnya atau berasa sedih dengan keputusan yang saya perolehi.

"Bagi saya, saya melihatnya sebagai proses pembelajaran. Jurulatih saya akan memberitahu saya apa kesilapan lalu saya dan apa yang boleh diperbaiki.

"Dari situ, saya hanya akan berusaha meningkatkan persembahan saya bagi kejohanan atau pertarungan yang akan datang," kata beliau.

Pada usia 17 tahun, Farhan telah merangkul takhta juara dunia pertamanya pada Kejohanan Pencak Silat Sedunia 2015 di Phuket, Thailand.

Di kejohanan dunia seterusnya dua tahun kemudian di Bali, Indonesia, Farhan berjaya mempertahankan gelaran juara dunia selepas menumpaskan seteru dan cabaran utamanya, Mach Quoc Hung, dari Vietnam dengan menguasai perlawanan dari awal hingga akhir untuk mencatat kemenangan lebih memberangsangkan dalam kategori J (90-95kg).

Farhan terus menunjukkan keunggulannya di medan antarabangsa dan tahun lalu beliau memenangi pingat emas pertamanya dalam temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur.

Meskipun dilihat sebagai pesilat yang sukar ditandingi dan sering tampak serius, beliau tidak terlepas daripada membuat kesilapan.

Akur dengan kegagalan sendiri di Sukan Asia yang lalu, Farhan berkata beliau menghadapi kesukaran menguruskan dirinya sebelum menjejak masuk ke gelanggang.

Beliau tewas di tangan pesilat Vietnam, Nguyen Van Tri, 5-0 semasa peringkat separuh akhir.

"Dalam silat, kita hanya mempunyai beberapa hari untuk membuat persediaan sebelum menghadapi perlawanan.

"Ia bukanlah perkara yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini, tetapi sewaktu perlawanan separuh akhir di Sukan Asia, saya fikir saya tidak dapat menguruskan diri saya dari segi persediaan, dengan baik. Waktu itu, saya mengalami banyak luka dan lebam daripada pertarungan sebelumnya.

"Sukar melakukan yang terbaik jika anda gagal menguruskan diri dengan betul untuk pertarungan.

"Saya kalah bukan kerana kecederaan saya, tetapi bagaimana saya mengendalikan diri saya untuk pertarungan, misalnya membuat keputusan tentang taktik yang hendak saya gunakan.

"Taktik yang saya gunakan bukanlah taktik yang seharusnya saya gunakan untuk pertarungan Sukan Asia," ujar pesilat berusia 21 tahun itu.

Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-18 yang bakal diadakan di sini merupakan yang pertama baginya bertarung di hadapan peminat sendiri, dan Farhan mengalu-alukan kehadiran penyokong Singapura untuk menyemarakkan lagi kejohanan itu.

"Saya rasa kejohanan dunia ini merupakan satu acara paling besar bagi kami. Ia acara terbesar untuk sukan silat tempatan sejak sekian lama.

"Secara peribadi, saya rasa ia lebih baik kerana kita tidak perlu melakukan perjalanan yang begitu jauh. Adalah lebih baik berlawan di gelanggang sendiri di hadapan ahli keluarga dan rakan-rakan yang akan hadir untuk anda.

"Jadi, untuk kejohanan dunia ini, saya harap saya dapat mencipta kenangan baru," ujarnya.


SEKILAS KEJOHANAN PENCAK SILAT DUNIA KE-18

Bila: 13-16 Disember 2018

Masa: 9 pagi hingga 10 malam (Jadual penuh boleh didapati menerusi laman rasmi Kejohanan Pencak Silat Sedunia ke-18)

Tempat: Dewan 1, Arena OCBC, Hab Sukan Singapura

Penganjur: Persekutuan Silat Singapura (Persisi) dengan sokongan Sport Singapore (SportSG) serta penaja utama, syarikat e-dagang produk dan perkhidmatan halal, Aladdinstreet.com.sg

Antara tarikan: Pertunjukan seni mempertahan diri lain seperti karate, taekwondo, judo dan arnis (menggunakan kayu dari Filipina) serta persembahan kebudayaan daripada Persatuan Rakyat (PA) seperti tarian tradisional Melayu, Cina dan India bagi menunjukkan warna-warni kehidupan di Singapura

Tiket: Tiada bayaran dikenakan. Masuk percuma.

Sekilas:

  • Ini kali ketiga Singapura menjadi tuan rumah kejohanan berprestij ini selepas 2004 dan 1988
  • Edisi kali ini dijangka menarik penyertaan 400 peserta dari 44 negara
  • Singapura akan menampilkan 29 pesilat
  • Kesemuanya 18 pingat emas acara tanding dan 12 pingat emas acara seni jadi rebutan
  • Di edisi Kejohanan Dunia terakhir di Bali dua tahun lalu, pesilat negara memenangi dua pingat emas, sebutir perak dan lapan gangsa
  • Kali pertama Kejohanan Pencak Silat Dunia dianjurkan ialah pada 1982. Waktu itu hanya tujuh negara mengambil bahagian

*Nota: Untuk maklumat lanjut mengenai kejohanan ini, layari laman www.wpsc2018.com

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 19
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.