Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BOLA SEPAK ENGLAND

Sikap betul Salah di dalam mahupun luar padang

Jul 10, 2022 | 05:30 AM



Tanya sebarang peminat Liverpool pendapat mereka tentang kontrak baru Mohamed Salah dan anda akan mendapati perasaan lega dan gembira penyerang itu akan "berlari di sayap" di Anfield lagi, sekurang-kurangnya tiga tahun.



Pada musim pertamanya di Liverpool lepas berpindah dari kelab Italy Roma pada 2017, 'Raja Mesir' itu menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana England (EPL), dan kemudian membantu kelab itu menjadi juara Eropah dan England.



Tetapi Salah juga mendapat banyak pujian kerana keperibadian dan kelakuannya di luar padang, membantu mengubah persepsi tentang pemain bola sepak elit dan memecahkan sempadan budaya.



Sumbangan amalnya - kepada projek pendidikan, penjagaan kesihatan dan hak haiwan - mendapat pujian dan mendorong seorang bekas pegawai komunikasi bola sepak menyatakan Salah "tidak pernah melupakan asal usulnya".



Tindakannya sujud berdoa lepas menjaringkan gol pula telah menimbulkan kesedaran global lebih luas, termasuk dalam kalangan mereka ada yang tidak mengikuti bola sepak.



Dr Solava Ibrahim, pensyarah Mesir-British dalam politik antarabangsa di Universiti Anglia Ruskin, menyifatkan naratif dominan ketika itu ialah umat Islam "ganas atau sentiasa dikaitkan dengan serangan pengganas atau perdebatan mengenai penaklukan wanita".



Jadi sebagai penyokong lama Liverpool, beliau berkata apabila peminat mula menyanyi bahawa Salah "hadiah daripada Allah" dan "jika beliau menjaringkan beberapa gol lagi, saya akan menjadi Muslim juga", ia adalah "saat mengagumkan".



"Ia menunjukkan bukan penerimaan sahaja, bahkan kedudukannya sebagai contoh teladan - bukan bagi orang Arab, Timur Tengah dan Afrika sahaja, malah anak muda UK," tambah Dr Solava.



Najib Al-Hakimi, seorang penyelaras di Pusat Bahasa Arab Liverpool, berkata beliau "teruja" akan lagu itu, "kerana orang ramai melihat orang Islam seolah-olah mereka jahil dan pengganas".



"Tetapi dengan tindakannya, beliau mampu mengubahnya," ujar beliau.



Najib menyedari lebih ramai ahli masyarakat Arab tempatan pergi ke Anfield sejak beberapa tahun kebelakangan ini.



"Kebanyakan remaja memakai jersinya dan mereka akan bercakap tentangnya, tentang betapa baiknya beliau," katanya.



Peminat Liverpool Neil Atkinson, yang menulis untuk The Anfield Wrap, juga menyedari "sudah pasti ada unsur peralihan" di Merseyside.



"Jika orang berasa agama Islam lain daripada yang lain, tindakan Salah adalah penting. Lepas berdoa di padang, saya suka apabila beliau merai (golnya) bersama orang ramai dan beliau juga meraikan dirinya sendiri, dan itu adalah perkara baik," katanya.



Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, pernah bercakap tentang pasukan itu menggabungkan masa untuk Salah menunaikan amalan agamanya sebagai sebahagian daripada persiapan perlawanan.



Kapten kelab Jordan Henderson berkata pasukan itu memilih champagne tanpa alkohol semasa penyampaian trofi, sambil menambah: "Dalam bilik persalinan tiada, jadi mengapa tidak begitu di luar sana?"



Atkinson percaya bandar Liverpool yang lebih luas "melihat dirinya agak berbeza daripada seluruh England kerana ia sebuah pelabuhan... ia mahu lebih melihat ke luar".



Dalam salah satu daripada banyak kajian akademik tentang apa yang kini dikenali sebagai "kesan Salah", sebilangan rakyat Britain berkongsi pandangan mereka tentang betapa beliau telah "membuka orang ramai untuk berfikir tentang Islam dengan cara berbeza".



Profesor Grant Jarvie, yang mengarang bersama penyelidikan bagi Universiti Edinburgh, berkata: "Kami terkejut - bukan tentang kesan Mohamed Salah - tetapi tentang kajian seperti ini. Anda biasanya mendapat gabungan kritikan dan perkara baik. Tetapi umumnya, orang ramai positif tentang Salah di dalam dan di luar padang."



Beliau berkata penyerang itu menunjukkan "potensi kuasa lembut", sambil menambah bahawa "sukan boleh menjadi pemboleh hubungan budaya yang baik".



Impak pemain dalam mengurangkan Islamofobia - terutamanya di bandar dengan masjid tertua di Britain itu - digambarkan sebagai "fenomenal" oleh Datuk Bandar Wilayah Bandar Liverpool Steve Rotheram, manakala majalah Time menamakan Salah antara 100 orang paling berpengaruh di dunia pada 2019. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >