SKUAD bola sepak nasional memberikan saingan sengit sebelum kalah tipis 1-0 kepada Syria dalam satu perlawanan Kumpulan E Kelayakan Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Stadium Sultan Qaboos dinihari tadi (4 September).
Ia juga adalah kekalahan pertama pasukan pimpinan Bernd Stange dalam kelayakan ini selepas dua keputusan memberangsangkan sebelum ini - menewaskan Kemboja 4-0 dan menyekat gergasi bola sepak Asia, Jepun, 0-0 di Saitama.
Gol kemenangan Syria tiba pada minit ke-59 menerusi tandukan jarak dekat Ouday Abdul Jaffal yang tidak dikawal - menewaskan penjaga gawang Singa, Izwan Mahbud.
Bagaimanapun, Singa berpeluang menyambar gol penyamaan kilat tetapi percubaan Khairul Amri - yang membuat penampilan ke-101 bagi pasukan nasional - terkena tiang gawang Syria.
Amri kemudian disajikan satu lagi peluang baik tujuh minit sebelum wisel penamat tetapi dengan hanya berhadapan penjaga gawang Syria, Ibrahim Almeh, rembatannya berjaya diselamatkan.
Sekalipun tewas, Singa masih bersaing bagi merebut dua tangga teratas kelayakan ini.
Juara kesemua lapan kumpulan dan empat naib juara terbaik kelayakan pusingan kedua ini akan mara ke pusingan ketiga, di samping mendapat tempat ke pusingan akhir Piala Asia 2019.
Satu-satunya penampilan Singapura di pusingan akhir Piala Asia ialah pada 1984 apabila ia layak secara automatik sebagai tuan rumah.
Anak didik Stange bakal menghadapi tiga perlawanan berturut-turut di padang sendiri selepas pertemuan dengan Syria ini - bermula dengan menentang Afghanistan (8 Oktober), Kemboja (13 Oktober) dan Jepun (12 November).