SINGAPURA perlu menang perlawanan terakhir pusingan kelayakan menentang juara bertahan Korea Selatan malam esok untuk berpeluang bersaing di Piala Asia Bawah 23 Tahun (U23) Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) tahun depan.
Jaringan tunggal Glenn Kweh pada minit ke-51 menyalakan harapan pasukan Singa Muda untuk mara ke kejohanan utama itu selepas mereka mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Filipina di Stadium Jalan Besar kelmarin.
Penyerang berusia 21 tahun itu menghasilkan gol mantap, menggelecek bola melepasi dua pemain pertahanan sebelum melepaskan rembatan kaki kiri cantik ke dalam sudut bawah gawang.
Sebelum itu, Filipina dihadiahkan penalti pada minit ke-22 apabila pemain bek tengah Singapura Jordan Emaviwe cuai mengasari lawan. Tetapi, tiang atas gawang menyelamatkan Singa Muda.
Kemenangan itu bermakna Singapura kini mempunyai empat mata daripada dua perlawanan dan menghuni tempat kedua Kumpulan H, di belakang Korea Selatan, yang mempunyai enam mata daripada dua perlawanan setelah membelasah Timor Leste 6-0 kelmarin.
Isnin lalu, Singapura terikat 2-2 bersama pasukan 10 pemain Timor Leste dalam perlawanan pembukaan mereka.
Hanya pemenang kumpulan dan empat pasukan naib juara terbaik daripada 11 kumpulan akan melayakkan diri ke kejohanan itu, yang akan berlangsung di Uzbekistan Jun depan.
Ketua jurulatih Singapura, Nazri Nasir, memuji persembahan anak didiknya ketika berdepan Filipina, namun akur ujian besar menanti mereka esok.
"Mereka berjuang bermatian-matian. Filipina bukan pasukan yang mudah diatasi, mereka sangat fizikal. Sejujurnya, saya sangat gembira dan sangat bangga akan pemain kami.
"Mereka beri usaha 110 peratus dan tiada apa lagi yang boleh saya minta daripada mereka," ulas Nazri dalam satu sidang media selepas perlawanan kelmarin.
"Korea Selatan juara bertahan... Ia akan menjadi perlawanan sukar. Melihat persembahan pemain (malam ini), mereka berusaha dengan gigih dan saya percaya dalam perlawanan seterusnya mereka mahu menang dan mereka semua mahu berjuang untuk pasukan."
Dalam perlawanan kelmarin, Nazri membuat tiga perubahan pada kesebelasan utamanya daripada pasukan yang seri Isnin lalu.
Danish Irfan, Zamani Zamri dan Khairin Nadim memulakan perlawanan, menggantikan Nur Adam Abdullah, Farhan Zulkifli dan Shah Shahiran.
Nazri berkata perubahan barisan pemain itu sudah "dijangka" dan "setiap pemain penting" dalam pasukan Singa Muda.
"Semua pemain ada peluang bermain... Semua pemain tidak sabar hendak beraksi," katanya.
Selepas perlawanan kelmarin, Nazri turut menekankan pentingnya pemain bersikap klinikal di depan gawang.
Dalam dua perlawanan sejauh ini, Singa Muda kerap memenangi tendangan sudut dan tendangan percuma, dan mempunyai beberapa peluang jaringan baik namun gagal menemui sasaran.
"Kami harus bersikap klinikal. Apabila kami ada satu atau dua peluang jaringan, kami harus merebutnya," ujar Nazri.
Filipina, yang tanpa sebarang mata daripada dua perlawanan dan telah tersingkir daripada saingan, bertemu Timor Leste petang esok di Stadium Jalan Besar dalam perlawanan terakhir kelayakan mereka.