Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Skrip kerjaya yang lebih besar menanti Ridhwan

Jaguh tinju profesional negara akan bergelar juara dunia IBO jika memenangi pertarungan menentang seteru Afrika di Marina Bay Sands pada Sabtu ini
Sep 23, 2018 | 05:30 AM



HARAPANNYA sejak menceburi sukan tinju semasa di politeknik tidak lama dulu sekadar mungkin mahu mewakili negara.



Mungkin juga mahu memenangi pingat emas di temasya sukan serantau Sukan SEA dan kalau boleh beraksi di pentas Sukan Olimpik.



Hala tuju kerjaya Muhamad Ridhwan Ahmad bagaimanapun tidak mengikut 'skrip' yang diharapkan itu, sebaliknya pentas pertandingan yang lebih besar kini menanti petinju nombor satu Singapura itu.



Ridhwan, yang menggunakan gelaran 'The Chosen Wan' setiap kali bertarung di gelanggang, kini hanya satu lagi pertarungan - atau kurang seminggu lagi - daripada bergelar juara dunia tinju dunia jika memenangi pertarungannya apabila berentap dengan petinju Namibia, Paulus Ambunda, bagi merebut kejuaraan dunia kelas 'super bantam' Pertubuhan Tinju Antarabangsa (IBO) di Marina Bay Sands pada Sabtu ini.



Pertarungan utama merebut kejuaraan dunia itu - sebahagian daripada sembilan pertarungan yang dirancangkan - adalah sempena acara The Roar of Singapore: The Kings of Lions City anjuran syarikat promoter Ringstar.



"Memang segalanya di luar jangkaan... dulu sebagai petinju amatur, impian memang mahu mewakili negara tetapi di peringkat Sukan SEA dan kemudian menaruh harapan cuba mendapat tempat sebagai wakil negara di Sukan Olimpik," ujar petinju berusia 30 tahun itu kepada Berita Minggu (BM) baru-baru ini.



"Saya berpeluang beraksi di Sukan SEA tetapi harapan menang (pingat) emas tidak kesampaian.



"Tetapi tiba-tiba saya kini berada di ambang yang lebih besar... berpeluang tampil dalam pertarungan merebut kejuaraan tinju dunia.



"Inilah yang buat saya berazam dan dahagakan kemenangan (dalam pertarungan Sabtu ini). Ia memberi saya lebih semangat dan kesungguhan untuk memenangi gelaran dunia itu bukan sahaja untuk diri saya tetapi juga untuk pasukan saya, keluarga saya dan semua yang menyokong saya.



"Saya percaya jika saya menang, ia akan menandakan satu permulaan yang istimewa... jadi saya bersemangat tidak mahu mensesiakan peluang keemasan yang berada di hadapan saya ini," tambah Ridhwan yang mempunyai koleksi tiga pingat gangsa Sukan SEA sebelum menjadi petinju profesional sekitar dua tahun lalu.



Selain ditabal juara dunia IBO, kemenangan akan juga menyaksikan Ridhwan meneruskan rekod cemerlangnya sebagai petinju profesional kepada 12 pertarungan sejauh ini.



Lebih penting lagi, Ridhwan berpeluang menyertai nama-nama hebat tinju dunia termasuk Anthony Joshua dari Britain (kelas 'heavy') dan Gennady 'Triple G' Golovkin dari Kazakhstan (kelas 'middle') yang pernah memenangi kejuaraan IBO tidak lama dulu.



Pencabarnya bagaimanapun bukan calang-calang - sekalipun sesetengah pihak melihat Ambunda sebagai sudah pun melepasi era kegemilangannya pada usianya kini yang mencecah 38 tahun, petinju Afrika bergelar 'The Rock' ini tetap seteru yang berbahaya dan memiliki pengalaman luas di gelanggang.



Dengan reputasinya sebagai juara dunia tiga kali sebelum ini - sekali bersama Persatuan Tinju Dunia (WBO) dan dua kali bersama IBO - Ambunda tetap dianggap sebagai petinju kelas dunia dan menyajikan cabaran terbesar bagi juara tinju Singapura itu.



Namun, Ridhwan, yang berjuang hebat dan diseret sehingga 12 pusingan dalam dua pertarungan terakhirnya, yakin dengan persiapan yang dijalaninya kali ini dengan bantuan dua rakan 'sparring' terkemuka dari Filipina.



Salah seorang daripadanya ialah Arthur Cordero Villanueva yang pernah bertarung bagi kejuaraan dunia WBO tidak lama dulu.



"Saya sebenarnya tenang-tenang sahaja sebelum pertarungan besar ini... yang selalu berulang-ulang di fikiran ialah taktik bertarung yang telah gigih kami jalani semasa latihan," ujar Ridhwan lagi.



"Saya kerap menggambarkannya dalam fikiran sebagai mempersiapkan diri saya terutama dari segi mental.



"Tiada tekanan berlebihan yang menghambat saya... di dalam hati ini saya sedar saya telah melakukan pelbagai pengorbanan dan bekerja keras dalam latihan untuk memenangi pertarungan ini.



"Sama ada saya menang atau tidak, terserah pada takdir... yang paling penting bukan sekadar menang tetapi saya berazam menjadikan ini satu kejayaan yang begitu istimewa sekali... yang akan melekat dalam ingatan peminat untuk tempoh masa yang lama."



Pertarungan ini adalah yang kedua bagi Ridhwan sepanjang tahun ini.



Pada April lalu, anak sulung keluarga empat beradik ini berjuang sengit sebelum menjinakkan pencabarnya dari Filipina, Jeson Umbal, bagi memenangi kejuaraan kelas 'feather' Antara Benua Pertubuhan Tinju Antarabangsa (IBO).



Oktober tahun lalu pula, Ridhwan membuktikan keupayaan bersaing di peringkat tinggi sukan ini semasa menewaskan petinju Namibia, Nataneal Sebastian - kebetulan sepupu kepada Ambunda - bagi merebut kejuaraan Antarabangsa kelas 'super feather' IBO.




SEKILAS



Apa: 'The Roar of Singapore V : The Kings of Lions City'



Bila: Sabtu, 29 September (pintu masuk dibuka 5.30 petang)



Di mana: Marina Bay Sands - Dewan E & F



Antara tarikan utama:



- Jaguh Singapura, Muhamad Ridhwan Ahmad, menentang Paulus Ambunda dari Namibia bagi merebut kejuaraan dunia kelas 'super bantam' IBO



- Juara kelas 'bantam' IBO dari Filipina, Michael Dasmarinas, menentang Manyo Plange dari Ghana



- Srikandi negara, Fash 'The Face' Kamarudin, tampil bagi pertarungan profesional keduanya apabila menentang Saowaluk Nareepangsri dari Thailand



- Butir tiket: https://entertainment.marinabaysands.com/events/roar- 0918



- Keterangan lanjut: Lungsuri laman www.ringstar-boxing.com




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >