Subuh
5:38
Syuruk
6:55
Zuhur
12:59
Asar
4:00
Maghrib
7:01
Isyak
8:10
Sukan

PERSIAPAN SUKAN SEA 2019

Skuad bola sepak beraksi dalam lima perlawanan persahabatan

Oct 02, 2019 | 05:30 AM

SKUAD bola sepak nasional bawah 22 tahun akan beraksi dalam lima perlawanan persahabatan di Singapura dan Jepun bulan ini, sebagai sebahagian persiapan bagi Sukan SEA di Filipina bulan depan.

Ketua jurulatih pasukan Fandi Ahmad menamakan skuad 24 pemain semalam, termasuk dua pemain berusia lebih 22 tahun - pemain Balestier Khalsa Raihan Rahman, 28 tahun; dan pemain Warriors Tajeli Salamat, 25 tahun.

Setiap pasukan dibenarkan dua pemain berusia lebih 22 tahun - kali pertama penganjur Sukan SEA membenarkan penyertaan sedemikian sejak 2001.

Anak didik Fandi akan berentap dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada 9 Oktober, sebelum bertemu Macau 'A' pada 13 Oktober.

Kededua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Bishan dan masuk adalah percuma.

Dalam kenyataannya, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berkata pasukan itu akan berangkat ke Jepun lewat bulan ini, di mana mereka akan beraksi dalam tiga lagi perlawanan persahabatan.

"Walau kami belum lagi tahu lawan kami di Sukan SEA nanti, pasukan akan meraih manfaat membuat persiapan menghadapi sebarang cabaran, terutama dalam bentuk corak permainan yang tidak pernah mereka alami sebelum ini," kata Fandi, yang berkata UAE pasukan yang kuat dan pemainnya mempunyai teknik yang baik - serupa dengan beberapa pasukan yang mungkin ditemui di Sukan SEA.

Lawan Singapura di peringkat kumpulan di Sukan SEA akan diketahui esok selepas sesi pemilihan di Manila.

Singapura, yang tersingkir di peringkat kumpulan Sukan SEA 2017, berada dalam kumpulan pemilihan terakhir - bersama Laos, Brunei, Timor-Leste serta Kemboja.

Fandi dan pasukannya boleh dipilih bertemu juara bertahan Thailand, pasukan tuan rumah Filipina atau Malaysia (naib juara) di peringkat kumpulan.

Pertandingan bola sepak Sukan SEA dijadual berlangsung antara 25 November dengan 5 Disember.


PERSIAPAN SUKAN SEA 2019

Perlawanan persahabatan (Stadium Bishan, masuk percuma)

Singapura lwn UAE

7.45 malam,  9 Oktober

Singapura lwn Macau 'A'

5 petang, 13 Oktober

* Artikel ini telah disemak bagi menambah ketepatannya.

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian