Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

KELAYAKAN PIALA ASIA 2019

Sokongan semua diperlukan bagi semarak semula sukan bola sepak

Nov 16, 2017 | 05:30 AM



TAHUN yang mengecewakan - diakhiri dengan kekalahan 0-3 di tangan Bahrain di padang sendiri - memang sukar untuk diterima.



Namun, masyarakat bola sepak setempat harus bersatu dan menyokong usaha menyemarakkan semula sukan yang paling dicintai warga itu.



Demikian umumnya pandangan para peminat, bekas pemain dan mereka yang terlibat dalam pentadbiran bola sepak tempatan ketika diminta mengulas mengenai keadaan bola sepak negara yang kini berada di tahap paling corot - dengan ranking pasukan nasional jatuh ke tangga 173, terendah dalam sejarah bola sepak Singapura.



Bekas pemain nasional, Lim Tong Hai, berkata kemelut yang dihadapi pasukan negara itu mencerminkan keadaan bola sepak Singapura secara keseluruhannya dan beliau menekankan peluang kini terbuka untuk melakukan semakan menyeluruh bola sepak setempat.



"Untuk berlaku adil, saya rasa sudah ada usaha yang dilakukan. Majlis baru FAS (Persatuan Bola Sepak Singapura) sudah pun mula meletakkan asas bagi pembaharuan. Usaha ini memerlukan masa," katanya.



Tong Hai, yang menyarung jersi negara dari 1989 hingga 1999, menekankan bahawa bola sepak setempat kini memerlukan sokongan daripada semua pihak - terutama peminat.



"Lebih daripada masa-masa sebelum ini, saya rasa pasukan negara dan bola sepak setempat secara keseluruhannya memerlukan sokongan. Mudah menyokong pasukan kita bila mereka menang, tapi ujian sebenar ialah apabila mereka kalah," ujarnya.



Bersetuju, seorang lagi bekas pemain nasional, Jumaat Jantan, berkata jelas ada beberapa "cabaran" dengan bola sepak setempat, termasuk pasukan nasional.



Menurutnya, beliau tidak mahu memberi komen mengenai skuad negara sekarang kerana tidak mempunyai gambaran yang penuh.



Bagaimanapun, Jumaat berkata kepimpinan dalam pasukan negara daripada pemain senior adalah satu unsur penting bagi kejayaan pasukan.



Jumaat, yang masih bermain secara profesional dengan kelab Home United, menambah bahawa beliau juga mempunyai pemain senior yang membantunya.



"Ketika itu kami ada ramai pemain senior yang kami hormati. Apa saja yang mereka kata, kritikan mereka, kami betul-betul dengar.



"Pemain seperti Noh Alam Shah contohnya, beliau berjuang habishabisan di dalam dan luar padang. Pemain seperti itu jadi contoh kepada pemain muda," kata beliau.



Jumaat menambah bahawa pemain sendiri juga perlu bermotivasi mahu melakukan yang terbaik.



"Semasa saya menyarung jersi negara, saingan mendapatkan tempat begitu hebat. Saya bersaing dengan S Subramani dan Noor Rahman. Jadi, setiap kali saya diberi peluang menyarung jersi negara, saya benar-benar menghargai keistimewaan itu kerana saya tahu jika persembahan saya merosot, ada pemain lain yang akan merampas peluang itu," katanya.



Sementara itu, bekas penolong pengurus pasukan Singapura, Collin Chee, 51 tahun, pula menekankan hakikat bahawa pemain yang menyarung jersi negara sekarang tidak layak berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pesaing mereka di Asia Tenggara, apatah lagi Asia.



"Kita perlu bersikap realistik, ketepikan ego, dan sedar bahawa pemain kita belum sampai tahap yang kita mahukan. Adakah awak rasa kalau Alex Ferguson dilantik jurulatih, pasukan negara akan tiba-tiba tunjukkan persembahan yang jauh lebih baik? Saya rasa jawapannya ialah tidak," ujar beliau.



Collin menambah semua pihak berkepentingan di Singapura perlu menerima hakikat bahawa pasukan nasional kini tergolong dalam kategori pasukan yang dianggap lemah seperti Laos, Kemboja dan Myanmar.



"Dahulu kita lebih unggul, pemain kita berlatih di luar negara, pasukan nasional kita terima bimbingan dan kepakaran dari Eropah dan sebagainya. Namun, negara-negara lemah tadi juga sudah melakukan yang sama dan kini saingannya lebih setara. Jadi kita perlu bekerja lebih keras," ujar beliau.



Justeru, Collin, yang pernah menjadi anggota majlis FAS, menekankan kerja meningkatkan prestasi pemain harus bermula sekarang dengan semakan yang kini dijalankan ke atas struktur bola sepak setempat dipergiat dan diperluas serta diberi sokongan penuh oleh pihak berkuasa dan semua yang mencintai bola sepak Singapura.



"Betul, kita sedih dan kecewa sekarang (dengan keadaan bola sepak Singapura), namun ada pepatah Cina yang mengatakan bahawa kita boleh menjadikan kesedihan itu motivasi untuk melakukan yang lebih baik.



"Saya yakin, jika kita semua bekerja keras dan mendapat bimbingan daripada pemimpin bola sepak yang mempunyai kebolehan dan kejujuran mahu memperbaiki sukan ini, kita akan sampai ke tempat yang kita semua inginkan untuk bola sepak Singapura," ujar beliau.




"Lebih daripada masa-masa sebelum ini, saya rasa pasukan negara dan bola sepak setempat secara keseluruhannya memerlukan sokongan. Mudah menyokong pasukan kita bila mereka menang, tapi ujian sebenar ialah apabila mereka kalah."
- Lim Tong Hai, bekas pemain nasional.



"Ketika itu kami ada ramai pemain senior yang kami hormati. Apa saja yang mereka kata, kritikan mereka, kami betul-betul dengar. Pemain seperti Noh Alam Shah contohnya, beliau berjuang habis-habisan di dalam dan luar padang. Pemain seperti itu jadi contoh kepada pemain muda."
- Jumaat Jantan, bekas pemain nasional.



"Saya yakin, jika kita semua bekerja keras dan mendapat bimbingan daripada pemimpin bola sepak yang mempunyai kebolehan dan kejujuran mahu memperbaiki sukan ini, kita akan sampai ke tempat yang kita semua inginkan untuk bola sepak Singapura."
- Collin Chee, bekas penolong pengurus pasukan Singapura.

 




INFOGRAFIK: TAHUN DUKA SINGA




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >