'The Special One' sudah ketinggalan zaman?, Berita Sukan - BeritaHarian.sg
Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Sukan0

LIGA PERDANA ENGLAND

'The Special One' sudah ketinggalan zaman?

Mourinho dijangka bertahan bila bertempur dengan Man U
Apr 11, 2021 | 05:30 AM

LONDON: Sebagai menjawab pengkritiknya, pengurus Tottenham Hotspurs, Jose Mourinho, berkata: "Kaedah saya dan pasukan jurulatih saya tidak dapat ditandingi sesiapa pun."

Dakwaan sedemikian adalah sesuatu yang lazim bagi Mourinho.

Pengurus asal Portugal itu memang dikenali dan dihormati sebagai antara jurulatih terbaik dunia. Ini setelah beliau membawa kejayaan ke mana sahaja beliau pergi - dari Porto, hingga ke Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid.

Namun, reputasi itu kian pudar sejak beberapa tahun lalu.

Setelah kembali ke Chelsea dan memenangi kejuaraan Liga Perdana England dalam musim 2014-2015, beliau dipecat musim seterusnya ekoran persembahan hambar pasukan London itu.

Discover Malay Home Based Businesses

Meskipun, Mourinho kemudian terus memenangi piala - terutamanya Piala Liga dan Piala Europa sebagai pengurus Manchester United - namun kegagalan beliau membangunkan sebuah pasukan yang mampu mencabar untuk kejuaraan utama seperti kejuaraan liga telah 'mencacatkan' reputasinya itu.

Dan kini, sebagai pengurus Tottenham Hotspurs, Mourinho sekali lagi menghadapi tekanan daripada media dan penyokong kelab itu yang kecewa dengan persembahan kelab London tersebut.

Ini meskipun Spurs berada di kedudukan nombor enam - hanya empat mata di belakang West Ham - yang menduduki tangga ke-empat dan kedudukan terakhir bagi kelayakan Liga Juara-Juara.

Malam ini (11.30 malam waktu Singapura), Spurs bertemu bekas pasukan yang dipimpin Mourinho, Manchester United, dengan Spurs ketinggalan 11 mata di belakang pasukan Red Devils itu.

Bagaimanapun, bekas pengurus dan kapten, Tottenham Hotspurs, Tim Sherwood, berkata penyokong Spurs mula prihatin sama ada Mourinho merupakan pengurus yang sesuai bagi kelab itu - bukan semata-mata atas keputusan atau persembahan pasukan yang tidak konsisten - tetapi lebih kepada pendekatan pengurus mereka itu kepada perlawanan bola sepak.

"Ramai mula tertanya, adakah Jose telah mencapai 'tempoh luputnya'? Ia mungkin satu soalan yang lucu, tapi ada banyak kebenarannya. Adakah cara, taktik dan pendekatan Mourinho sudah ketinggalan zaman? Tidak sesuai dengan bola sepak era moden sekarang," ujar Sherwood, yang menyarung jersi Spurs sebanyak 93 kali antara 1999 dengan 2003.

Beliau menambah:

"Melebihi itu, adakah Mourinho pengurus yang sesuai untuk Spurs, dengan pemain seperti Son Heung-min, Harry Kane, Gareth Bale, Dele Alli dan Lucas Moura?"

Bersetuju dengan Sherwood, seorang lagi bekas pengurus Spurs, Glenn Hoddle, berkata dengan barisan pemain sedemikian, Spurs perlu menjadi sebuah pasukan berteraskan serangan, bukan yang naluri utamanya ialah untuk bertahan.

"Saya tidak mahu terlalu mengkritik. Jose adalah seorang pengurus bertaraf dunia.

"Tapi obsesi beliau untuk tidak meloloskan gol, perlu berubah. Apabila Spurs mendahului jaringan, saya rasa mereka mempunyai pemain yang boleh menghukum lawan dengan dua, tiga atau empat gol. Sebaliknya, Spurs setelah menjaringkan gol, lebih cenderung mempertahankan kelebihan gol itu dan seperti yang kita sering lihat, taktik itu membawa padah bagi Spurs," ujarnya.

Sherwood berpendapat, Mourinho khususnya akan lebih defensif apabila berdepan dengan pasukan utama.

Justeru, apabila Spurs bermain menentang pasukan seperti Manchester United, penyokong pasukan itu mula risau sama ada Mourinho akan menurunkan kesebelasan dan taktik yang terlalu defensif.

United mempunyai rekod jaringan kedua terbaik dalam liga - di belakang Manchester City - manakala rekodnya bagi gol yang dijaringkan lawan pula antara lima terbaik dalam EPL.

Bagaimanapun, bekas pemain pertahanan Manchester United, Gary Neville, berkata pasukan Red Devils itu telah menunjukkan bahawa mereka mempunyai kesukaran untuk menjaringkan gol dan merintis peluang jaringan apabila berdepan dengan pasukan yang disiplin, dan lebih cenderung bertahan.

"Hakikat ini disedari Mourinho, yang pasti sudah merancang strategi beliau iaitu untuk menumpulkan daya kreativiti United. Beliau akan mempunyai rancangan bagi pemain seperti Bruno Fernandes, Marcus Rashford dan Mason Greenwood, malah juga Paul Pogba.

"Jadi saya menjangkakan perlawanan yang sungguh berhati-hati, dengan United sukar mencerobohi benteng pertahanan Spurs," ujarnya.

Namun, bekas kapten United, Roy Keane, berkata pengurus United, Ole Gunnar Solsjkaer harus menekankan kepada pasukannya untuk bersabar dan tenang.

"Walaupun Spurs atau Mourinho, lebih suka bertahan, namun bagi saya mereka tidak mempunyai benteng pertahanan bertaraf dunia. Malah penjaga gawang Spurs, Hugo Lloris, beliau seorang juara dunia dan berpengalaman, tapi musim ini telah menunjukkan kemerosotan dari segi persembahan.

"Jadi, ia bukanlah benteng pertahanan seperti Bayern Munich pada era 1990-an, benteng pertahanan Spurs ini mampu dicerobohi," ujar Keane.

Bersetuju, Neville berkata Solsjkaer harus yakin bahawa di peringkat lewat musim seperti sekarang, ia tidak penting bagaimana United mendapat tiga mata. Yang paling penting, ialah tiga mata itu sendiri.

"United perlu kekalkan momentum kemenangan, mengutip mata, dan memastikan para pemain segar sehingga akhir musim. Itu saja yang harus menjadi tumpuan," tambah beliau. - Agensi berita.


BAKAT PENYERANG SPURS DISESIAKAN 

"Saya tidak mahu terlalu mengkritik. Jose adalah seorang pengurus bertaraf dunia.
Tapi obsesi beliau untuk tidak meloloskan gol, perlu berubah. Apabila Spurs mendahului jaringan, saya rasa mereka mempunyai pemain yang boleh menghukum lawan dengan dua, tiga atau empat gol. Sebaliknya, Spurs setelah menjaringkan gol, lebih cenderung mempertahankan kelebihan gol itu dan seperti yang kita sering lihat, taktik itu membawa padah bagi Spurs."

​- Glenn Hoddle, bekas pengurus Spurs.


TIP UNTUK SOLSJKAER

"Walaupun Spurs atau Mourinho, lebih suka bertahan, namun bagi saya mereka tidak mempunyai benteng pertahanan bertaraf dunia. Malah penjaga gawang Spurs, Hugo Lloris, beliau seorang juara dunia dan berpengalaman, tapi musim ini telah menunjukkan kemerosotan dari segi persembahan.
Jadi, ia bukanlah benteng pertahanan seperti Bayern Munich pada era 1990-an, benteng pertahanan Spurs ini mampu diceroboh."

- Roy Keane, bekas kapten Manchester United.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map