Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

ANALISIS BERITA: LIGA PERDANA SINGAPURA

Suasana positif sekitar musim SPL ini usah disesia

Kejayaan Sailors dan sokongan baik musim ini harus jadi pemangkin bagi terus kukuhkan liga setempat
Oct 12, 2021 | 05:30 AM



"CAMPIONE, campione olé olé olé," sorak penyokong Lion City Sailors dengan lagi 10 minit sebelum perlawanan berakhir di Stadium Jalan Besar kelmarin.



Pada waktu itu juga pencabar utama mereka, Albirex Niigata, terikat 4-4 dengan Tanjong Pagar United di Stadium Jurong East.



Keputusan seri - atau sama ada kemenangan tipis The Swans ke atas The Jaguars - bermakna trofi kejuaraan Liga Perdana Singapura (SPL) 2021 pasti menjadi milik Sailors.



Sehingga ke wisel penamat, laungan lagu 'Campione' - yang sering dinyanyikan penyokong pasukan juara - daripada mereka yang berbaju jersi biru semakin kuat bergema, menggegarkan Stadium Jalan Besar.



Suasana riuh ini sudah lama menyepi dalam bola sepak setempat.



Namun, kelmarin, bola sepak Singapura menyaksikan bibit positif bahawa ia boleh "bernyawa semula".



Meskipun perlawanan Sailors menentang Balestier Khalsa kelmarin dijadual bermula pada 5.30 petang, barisan panjang dilihat membentuk seawal tengah hari, dengan penyokong beratur meredah hujan menanti kaunter tiket di stadium dibuka pada 3 petang.



Ada penyokong yang terpaksa ditolak daripada masuk ke stadium kerana langkah pengurusan selamat semasa bagi Covid-19 hanya membenarkan sehingga 1,000 penonton dalam stadium.



Dalam stadium, keadaannya tidak pernah sepi. Penyokong tidak henti melaungkan suara memberi dorongan kepada pasukan sepanjang 90 minit perlawanan.



Apa yang menarik perhatian saya adalah di akhir perlawanan melihat penyokong muda sanggup menunggu pemain kesayangan mereka keluar dari stadium untuk bergambar bersama.



Justeru, dalam keadaan bola sepak setempat buat masa ini yang kerap dikritik hambar dan tenat oleh umum, suasana di Stadium Jalan Besar kelmarin memaparkan sebaliknya.



Minat penyokong ini menandakan bahawa bola sepak belum lagi mati di sini dan mungkin muncul kebangkitan era baru dalam bola sepak setempat.



Antara yang bertuah mendapat tiket menyaksikan perlawanan kelmarin dalam stadium ialah penyokong Sailors, yang ingin dikenali sebagai Jurayme, 37 tahun.



Beliau berkata pengalaman menonton perlawanan di stadium kelmarin mengingatkan beliau kembali kepada zaman kegemilangan 'Kallang Roar'.



"Suasana sangat riuh. Sudah lebih 10 tahun 'Kallang Roar' menyepi tapi hari ini saya rasa sebahagian sorakan itu telah kembali," jelas pegawai eksekutif kanan di sebuah syarikat logistik itu.



"Mudah-mudahan ia tidak akan berhenti dan penyokong tidak hanya menyokong pasukan ketika mereka menang...tapi juga apabila mereka kalah."



Seorang lagi penyokong Sailors, Muhammad Hidayat Mohd Yusop, 24 tahun, tidak pernah terlepas memberi semangat pada pasukannya di stadium musim ini sejak penonton dibenarkan hadir.



"Ia sesuatu yang menyegarkan dan baik untuk melihat bola sepak Singapura secara perlahan kembali hidup dan menarik minat ramai...Bola sepak tiada apa-apa tanpa peminat," ujar pelajar Institut Pendidikan Teknikal itu.



Beliau menambah bahawa kejuaraan liga Sailors merupakan detik istimewa buatnya dan ramai peminat bola sepak negara.



Sailors mencipta sejarah sebagai kelab swasta pertama untuk mengangkat trofi kejuaraan liga setempat. Ia juga menjadi kelab tempatan pertama untuk dinobat juara liga dalam tujuh tahun.



Sejak 2014, liga setempat dijuarai kelab asing, Brunei DPMM FC (2015 dan 2019) dan Albirex (2016, 2017, 2018 dan 2020).



Kapten Sailors Hassan Sunny, selepas perlawanan kelmarin, berkata bahawa matlamat utama kelab itu - yang dibeli jutawan Forrest Li pada 2020 - adalah untuk mengakhiri kemarau kelab tempatan menjuarai liga.



"Kami tetapkan matlamat untuk menang liga tahun lalu tapi gagal mencapainya. Oleh itu, tahun ini kami tekad untuk tidak mahu pasukan lain, terutamanya pasukan asing, menang liga sekali lagi.



"Dari hari pertama sesi latihan, kami dapat rasakan tahun ini kami boleh menang dan sekarang, kami berjaya," kongsi Hassan, yang mengutip kejuaraan liga keduanya setelah muncul juara Liga-S - yang kemudian dinamakan SPL - bersama Warriors FC pada 2014.



"Ia adalah kemenangan yang manis untuk menang perlawanan malam ini dan menjamin kejuaraan liga. Saya percaya kami layak menang atas usaha gigih kami sepanjang musim...Kami tidak sabar untuk lihat apa seterusnya bagi kami."



Sebagai juara SPL musim ini, Sailors juga melayakkan diri bersaing dalam Liga Juara-Juara Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) tahun depan, yang akan menampilkan pasukan terbaik daripada liga-liga Asia.



Bekas kapten pasukan nasional Singapura Aide Iskandar melihat kejuaraan liga Sailors sebagai rangsangan hebat untuk bola sepak negara.



"Saya mahu memberi pujian kepada Sailors sebab menang SPL. Ia adalah rangsangan yang amat diperlukan untuk bola sepak Singapura selepas tempoh rehat enam tahun di mana tiada kelab Singapura menang kejuaraan SPL sejak 2014," kata pemenang dua kali Liga-S pada 1999 dan 2003 bersama Home United - yang kini dipanggil Sailors.



"Secara peribadi, saya harap mereka akan terdorong oleh kejayaan ini dan mewakili kita (Singapura) dengan baik dalam Liga Juara-Juara AFC tahun depan. Dengan sumber yang mereka ada, mereka harus sasar untuk mencapai lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa."



Kejuaraan liga Sailors semestinya telah membangkitkan semula semangat, minat dan harapan warga tempatan terhadap bola sepak negara.



Dengan Singapura menjadi tuan rumah bagi Kelayakan Piala Asia 2022 Bawah 23 tahun AFC hujung bulan ini dan Piala Suzuki Persatuan Bola Sepak Asean (AFF) mulai 5 Disember ini, peminat bola sepak setempat mungkin boleh mula hafal atau cipta rendisi sendiri lagu 'Football is coming home', yang kerap dinyanyikan penyokong pasukan nasional England.



Mana tahu, selepas lama menyepi, bola sepak negara akhirnya " pulang ke tanah air"?




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >