JAKARTA: Joseph Schooling mungkin akan memenangi satu lagi pingat di Sukan Asia malam ini selepas muncul sebagai perenang terpantas dalam pusingan saringan acara renang 50 meter gaya kupu-kupu dengan mencatat masa 23.84 saat pagi tadi (23 Ogos).
Wang Peng dari China menduduki tempat kedua dengan mencatat masa 23.89 saat manakala Adilbek Mussin dari Kazakhstan menduduki tempat ketiga dengan mencatat masa 23.91 saat semasa pusingan saringan di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno itu.
Sementara itu, Li Zhuhao dari China yang memenangi pingat perak bagi acara renang 100 meter gaya kupu-kupu semalam menduduki tempat keenam dengan mencatat masa 24.13 saat.
Schooling akui sudah mula rasa letih sedikit namun tetap bersemangat untuk meneruskan usahanya.
“Kami berlatih setiap hari bagi senario seperti ini dan... harus melakukannya juga dan tidak merungut.
“Saya tidak merungut pun, saya ghairah bagi acara malam ini. Pesaing saya juga perenang pantas, jadi saya akan tumpukan pada diri saya,” ujarnya.
Juara Olimpik itu memenangi pingat emas semalam selepas muncul sebagai perenang terpantas dalam pusingan akhir acara renang 100 meter gaya kupu-kupu.
Perenang berusia 23 tahun itu turut mencatat masa terpantas bagi acara tersebut dalam sejarah Sukan Asia, iaitu 51.04 saat.
Schooling akan beraksi dalam pusingan akhir acara renang 50 meter gaya kupu-kupu sekitar 7 malam ini, waktu Singapura.