LAUSANNE (Switzerland): Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah mengurangkan hukuman yang dikenakan kepada perenang Australia, Shayna Jack, atas kesalahan penyalahgunaan dadah, kepada dua tahun.
Jack sebelum ini digantung oleh Persatuan Renang Australia selama empat tahun selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang membina otot (ligandrol) dalam satu ujian yang dilakukan di luar pertandingan pada Jun 2019.
Beliau mendakwa bahan berkenaan berada dalam badannya secara tidak sengaja dan berusaha membersihkan namanya.
Perenang acara gaya bebas berusia 22 tahun itu disisihkan daripada pasukan renang negara beberapa hari sebelum kejuaraan di Gwangju, Korea Selatan, setelah disahkan positif selepas menjalani ujian antidadah.
CAS yang berpusat di Lausanne menyimpulkan bahawa "berdasarkan sebarang kemungkinan" Jack "tidak sengaja memakan ligandrol" dan oleh itu mereka telah mengurangkan hukumannya kepada dua tahun sejak 12 Julai 2019.
Ini bermakna beliau kiniboleh beraksi (secara teori) pada Olimpik Tokyo yang ditangguhkan menyusuli pandemik Covid-19 dan haya akan dimulakan pada 23 Julai tahun depan.
Bagaimanapun, Jack tidak boleh mengambil bahagian bagi saingan kelayakan pada bulan-bulan sebelumnya.
Menerusi satu catatan di Instagram, Jack juga berkata mahkamah tinggi sukan itu mengesahkan bahawa beliau secara tidak sengaja mengambil dadah tersebut.
"Tiada ada bukti yang dikeluarkan oleh mereka yang menuduh saya mengenai bagaimana bahan ini boleh memasuki sistem badan saya.
"Dengan penangguhan penglibatan saya dalam sukan sejak Julai 2019, saya kini layak kembali berenang kompetitif menjelang Julai 2021," katanya.
"... Saya tidak dapat mengubah peraturan dan peraturan tersebut akan tetap kekal buat sementara waktu.
"Oleh itu, saya menerima keputusan ini dengan sikap positif dan dengan rasa bersyukur bahawa kerjaya saya sebagai perenang akan disambung tahun depan." - Reuters, AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg