TOKYO: Jepun sedang memikirkan kemungkinan membataskan jumlah penonton bagi Sukan Olimpik Musim Panas Tokyo 2020 yang ditunda kepada 50 peratus tampungan sesebuah lokasi pertandingan kerana risiko penularan Covid-19, lapor agensi berita Reuters.
Bagi ruang besar, had penonton ditetapkan pada 20,ooo tetapi lebih ramai orang dibenarkan masuk jika situasi pandemik ini kian reda.
Jawatankuasa penganjur di Jepun akan mengumumkan keputusan yang bakal dibuat bulan depan serta dijadualkan mematuhi undang-undang tempatan, jelas laporan tersebut yang menukil sumber dari pemerintah Jepun dan jawatankuasa penganjur yang enggan nama mereka disiarkan.
Sukan Olimpik ditunda tahun lalu di atas keprihatinan mengenai penularan koronavirus. Ia dianjakkan dari 23 Julai ke 8 Ogos.
Sumber memberitahu Reuters bahawa Jepun bercadang mengadakan sukan ini tanpa penonton luar negara kerana keprihatinan tentang merebaknya virus tersebut tetapi Presiden jawatankuasa penganjur berkata tiada keputusan muktamad dicapai.
Pihak penganjur telah berulang kali menyatakan tentang keinginan dan iltizam mengadakan Sukan Olimpik tahun ini walau apa pun situasinya meskipun kurang mendapat sokongan awam.
Walaupun bilangan kes Covid-19 di Jepun agak rendah berbanding negara seperti Amerika Syarikat, beberapa tempat termasuk Tokyo masih lagi di dalam perintah darurat, dengan negara itu kini mengalami gelombang ketiga pandemik itu. - Reuters