KUALA LUMPUR: Ratu dan raja ski air Sasha Christian dan Mark Leong berjaya mempertahankan dua emas acara slalom pagi tadi, lantas menjadikan jumlah emas pungutan Singapura 51.
Sasha,24 tahun, berjaya melepasi 3.5 halangan pada kelajuan bot 55 kilometer sejam yang menarik tali 13 meter (3.5/55/13.00) dalam acara slalom terbuka wanita.
Dalam sukan slalom, atlit perlu melepasi sebanyak mana halangan yang mampu dengan memegang tali yang ditarik bot laju.
Semakin pendek tali yang ditarik semakin tinggi markah yang diperoleh.
Perak milik atlit tuan rumah Aaliyah Yoong Hanifah(2.00,55,13.00) manakala Ummu Thoyibhatus Sholikah dari Indonesia memungut gangsa (1.25/55/14.25).
Dalam acara slalom terbuka lelaki pula, Mark Leong berjaya mencatatkan 3.00/58/13.00 lantas menempatkannya sebagai juara dua kali berturut-turut.
Ini bermaksud bahawa beliau berjaya melepasi tiga halangan pada kelajuan bot 58 kilometer sejam yang menarik tali sepanjang 13 meter.
Di tempat kedua, Indra Hardinata dari Indonesia mencatatkan 1.50/58/13.00 manakala Muhammad Syahir Nasir meraih 5.00/58/14.25.