KUALA LUMPUR: Para atlit negara menutup tirai Sukan SEA hari ini dengan pungutan bersejarah 57 emas lantas mencipta rekod terbaik Singapura di temasya Sukan SEA luar negara.
Ini mengatasi prestasi terbaik sebelum itu di Korat, Thailand di mana atlit negara memungut 43 emas 10 tahun lalu.
Selain itu, pungutan pingat tahun ini juga merupakan yang terbaik selepas Sukan SEA 2015, di mana Singapura menjadi tuan rumah temasya tersebut dan berjaya memungut 84 pingat emas.
Secara keseluruhan, Singapura berjaya memungut 57 emas, 58 perak, dan 73 gangsa.
Edisi Sukan SEA tahun ini juga menyaksikan pungutan pingat-pingat emas bersejarah termasuk melalui sukan golf, berbasikal, dan lungsur ais.