Sukan SEA: Floorball wanita sekali lagi johan Sukan SEA, raih emas kedua S’pura

 

MANILA: Pasukan floorball wanita Singapura meraih kemenangan tipis 3-2 ke atas Thailand untuk mempertahankan takhta Sukan SEA mereka di Gim Kolej Kinetik Manusia di Universiti Filipina di Manila, petang ini.

Ini sekali gus memberikan pingat emas kedua negara di Sukan SEA ke-30 di Filipina hari ini. 

Singapura, juara Sukan SEA 2015, ketinggalan 1-2 selepas dua babak pertama.

Namun, pasukan negara bangkit mengatur serangan untuk menyamakan kedudukan 2-2 di awal babak ketiga.

Perlawanan semakin sengit apabila kedua-dua pasukan dilihat cuba mengancam benteng pertahanan masing-masing bagi mencari gol kemenangan dalam babak terakhir itu. 

Gol kelima dan terakhir dalam perlawanan final itu menjadi milik Singapura.

Penjaga gol Fariza Begum Mohd Zabir dinobat pemain terbaik negara dalam perlawanan tersebut.

Pada Rabu lalu (27 November), Singapura menewaskan Thailand 4-1 dalam pusingan kumpulan. 

Floorball tidak dipertandingkan di Sukan SEA 2017.