SUKAN Sekolah Nasional kembali dengan format biasa di mana para pelajar yang divaksinasi dibenarkan membuka pelitup dan mengikut format sukan berpasukan masing-masing sedang Singapura beralih untuk melonggarkan langkah sekatan Covid-19.
Antara sukan yang berlangsung semalam adalah perlawanan bola keranjang Divisyen B Zon Timur di antara Sekolah Menengah Dunman dan Sekolah Geylang Methodist di Dewan Dukan Pasir Ris.
Sebelum ini, Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) pada 11 Mac berkata sukan berpasukan sehingga 30 orang yang sudah divaksin penuh akan dibenarkan disambung semula mulai 15 Mac di tempat tertentu.
Kementerian Pendidikan (MOE) pada 18 Mac pula berkata kesemua 29 sukan di bawah Sukan Sekolah Nasional akan disambung semula bagi pelajar yang divaksinasi dan mereka yang telah pulih dari Covid-19.
Sejak 2020, beberapa sukan berpasukan yang melibatkan kumpulan yang lebih besar seperti bola sepak dan hoki tidak dimainkan dalam format biasa apabila sekatan saiz kumpulan dikenakan.
Tahun lalu, hanya 12 sukan disambung semula di bawah Sukan Sekolah Nasional, manakala 17 sukan pula digantung.
Sukan yang disambung semula adalah terutamanya sukan individu seperti bowling atau golf, atau sukan yang menampilkan kumpulan yang lebih kecil seperti bola tampar dan sepak takraw yang memerlukan tiga pemain setiap regu.