Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Susuli strok, legenda tinju S'pura, Syed Abdul Kadir, bersara

Jul 09, 2022 | 06:30 PM



KEADAAN kesihatan mantan Presiden Persekutuan Tinju Singapura (SBF) Syed Abdul Kadir yang merosot sejak tahun lalu menjadi titik penentu untuk beliau mengumumkan persaraannya daripada sukan tinju pada Mei lalu, menurut anak perempuannya, Sharifah Ummu Hanni, kepada Berita Harian (BH).



Cik Hanni, 42 tahun, menambah bahawa bapanya baru-baru ini disahkan mengalami strok ringan pada otak kanannya, yang menyebabkan bahagian kiri tubuh menjadi lemah.



Syed Abdul Kadir, 74 tahun, namun masih boleh berjalan, meskipun perlahan serta harus dibantu, dan sedang menjalani rawatan terapi, katanya lagi.



Awal minggu ini, BH melaporkan bahawa Syed Abdul Kadir telah melepaskan jawatannya sebagai presiden SBF sejak sekitar dua bulan lalu.



Bekas petinju negara itu mengumumkan persaraannya pada 20 Mei lalu selepas menyuarakan hasrat untuk meluangkan masa bersama keluarga, menurut kenyataan SBF ketika menjawab pertanyaan BH.



Syed Abdul Kadir telah memimpin SBF – yang sebelumnya dikenali sebagai Persatuan Tinju Amatur Singapura (Saba) – sejak dilantik pada 2009.



“Sebenarnya, dia sudah lama patut bersara...tapi semangatnya untuk memperjuangkan tinju amatlah kuat. Jadi, apabila kesihatan tidak mengizinkannya (untuk terus memimpin SBF) pada tahun lalu, kami sekeluarga berbincang untuk dia bersara demi kebaikannya,” ujar Cik Hanni, yang kini menjaga dan menguruskan bapanya.



“Persaraan ini bukan keputusan mudah buat bapa saya sebab dia sudah terlibat dalam sukan tinju dalam tempoh lama...sebelum saya lahir lagi.



“Ia seperti satu kehilangan besar buatnya, yang sudah terbiasa aktif dengan pelbagai kegiatan sukan. Tapi, dia kini semakin menerima hakikat keadaannya,” tambah beliau.



Syed Abdul Kadir mula bergiat dalam sukan ini sejak usia 11 tahun dan pada usia 18 tahun, bersaing secara kompetitif. Legenda tinju itu adalah salah satu daripada empat petinju negara yang pernah menggondol pingat emas di Sukan SEA.



Beliau dinobat juara di Sukan SEA Kuala Lumpur pada 1971.



Beliau juga mewakili Singapura di Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman, meskipun tidak bertanding akibat kecederaan.



Kemenangan pingat gangsanya di Sukan Komanwel 1974 di New Zealand, yang pertama untuk tinju negara di temasya sukan itu, menobatkan beliau sebagai Atlet Terbaik oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) pada tahun berikutnya.



Pada hujung 1976, Syed Abdul Kadir mengumumkan persaraannya daripada bersaing dalam gelanggang. Beliau bersara dengan hanya 11 kekalahan dalam lebih 100 pertarungan dan memegang takhta juara Singapura selama lapan tahun.



Beliau kemudian menyertai jawatankuasa pengurusan Saba dan berkhidmat sebagai jurulatih nasional, setiausaha dan naib presiden selama tempoh tiga dekad, sebelum dilantik sebagai presiden pada 2009.



Detik kecemerlangan Syed Abdul Kadir bergelar jurulatih adalah pada 1985, apabila beliau membimbing skuad nasional meraih beberapa kejayaan antarabangsa termasuk membawa pulang emas Sukan SEA pertama negara dalam 12 tahun.



Ia dimenangi oleh Mohammed Mukhlis Amat di Bangkok, iaitu juga kekal menjadi kali terakhir negara menggondol emas di temasya sukan dwitahunan berprestij itu. Syed Abdul Kadir turut diiktiraf sebagai Jurulatih Terbaik oleh SNOC pada tahun itu.



Setelah menyumbang sebahagian besar hidupnya kepada sukan tinju Singapura, Cik Hanni rasa sudah tiba masa untuk bapanya berehat.



“Dia memberi begitu banyak (kepada sukan tinju). Malah, terlalu banyak yang dia berikan,” kata Cik Hanni.



“Saya telah melihat dia keluar bekerja dari awal pagi dan akan hanya pulang pada tengah malam untuk menghabiskan kerjanya. Saya melihat cara dia membimbing petinju lelaki bahkan juga wanita...Dia seperti seorang bapa kepada mereka.



“Saya boleh katakan bapa saya seorang lelaki yang bertubuh kecil tapi memiliki hati besar,” tambah beliau.



Dengan pengunduran Syed Abdul Kadir sebagai presiden, kekosongan sementara itu akan diisi naib presidennya, John Thirunavukarasu, sehingga satu mesyuarat agung tahunan (AGM) diadakan pada Ogos ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >