BERMAIN di midfield boleh, diletakkan sebagai pemain bek tengah pun boleh - tidak cerewet.
Sekalipun posisi kegemarannya adalah di tengah midfield, kapten Tampines Rovers, Mustafic Fahrudin, bagaimanapun tetap menunjukkan prestasi hebat apabila bermain di benteng pasukan sebagaimana yang dibuktikannya ketika membantu kelabnya menjulang Piala Sumbangsih dengan menewaskan Home United dalam perlawanan pembukaan tirai liga setempat Jumaat lalu.
Kehebatan itu juga tentunya diharapkan daripada pemain penuh pengalaman berusia 33 tahun itu apabila Tampines memburu kecemerlangan dalam Piala AFC menentang Kitchee FC dari Hongkong di Stadium Jalan Besar malam esok.
Malah, jurulatih Tampines, Salim Moin, tentunya berharap para pemainnya terus menunjukkan peningkatan bagi mencatatkan "prestasi dan keputusan yang baik" terutama menentang kelab sehebat Kitchee yang kini menduduki tangga teratas Liga Bahagian Satu Hongkong.