Subuh
5:58
Syuruk
7:15
Zuhur
1:19
Asar
4:33
Maghrib
7:21
Isyak
8:30
Sukan0

LIGA PERDANA SINGAPURA

Tampines mahu tebus kekalahan di tangan DPMM

Kelab Brunei ambil sikap hati-hati, mahu kekal rekod tidak pernah kalah
Jun 22, 2019 | 05:30 AM

DUA perlawanan sukar berturut-turut menentang pasukan yang sedang bersaing merebut takhta Liga Perdana Singapura (SPL) bagi Tampines Rovers.

Dengan pendahulu liga, Brunei DPMM, menanti perlawanan menentang Tampines petang ini di stadium Our Tampines Hub (OTH), Tampines tidak mampu kecundang lagi selepas ditewaskan Albirex Niigata minggu lalu.

Selepas kekalahan itu, kelab kendalian Gavin Lee itu melihat kedudukan mereka jatuh di tempat keempat liga dengan 10 mata membezakan mereka dengan DPMM.

Namun Lee masih tetap optimistik dengan peluang pasukannya mengumpul mata di depan penyokong sendiri.

Baginya, berdepan dengan dua pasukan hebat itu bukanlah satu hambatan dalam perjuangan mereka dalam memberi cabaran sengit.

Berita Popular

"Saya tidak fikir ia satu hambatan. Setiap kelab mempunyai cabaran sama dalam jadual perlawanan mereka. Inilah cabaran kami dan kami perlu tangani keadaan ini dengan yang terbaik.

"Dua perlawanan besar berturut-turut ini sebenarnya merupakan sesuatu yang menarik bagi kami," ujar Lee.

Meskipun begitu, beliau menegaskan bahawa pasukannya tetap akan berwaspada terhadap kekuatan DPMM, terutama terhadap taktik serangan balas mereka.

"Setiap perlawanan adalah penting bagi kami, dan seperti perlawanan lain sebelum ini, kami perlu bersiap sedia.

"Penting buat kami untuk kekal tenang dengan cara pemikiran kami dan pastikan kami dapat jalankan rancangan yang ditetapkan dengan 100 peratus.

"Kami tidak harus hanya fokus kepada keadaan tetapi fokus terhadap persembahan kami," tambahnya.

Pada pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan ini pada April lalu, pasukan The Stags itu gagal menandingi DPMM dan tumpas 2-1 di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah.

Lee, yang mengalu-alukan lawatan DPMM yang datang bertandang di padang mereka, sekali lagi menjangkakan satu perlawanan sengit.

Beliau berkata: "Terdapat sebab mengapa mereka berada di puncak liga, tetapi saya yakin kami juga mempunyai mutu untuk menamatkan perlawanan itu nanti dengan cemerlang.

"Perlawanan sengit seperti ini memberi kami motivasi untuk memberikan yang terbaik dan kami tidak sabar untuk keluar padang dan memberi persembahan terbaik untuk semua terutama peminat kami."

Tidak dapat dinafikan, sokongan padu peminat Tampines yang setiap kali 'turun padang' memberikan sorakan padu, adalah antara faktor yang melihat mereka belum tewas di padang sendiri sepanjang musim ini.

Menyampaikan penghargaannya kepada sokongan peminat, Lee berkata: "Peminat kami amat penting bagi kami.

"Sokongan yang mereka berikan kepada kami adalah sangat besar dan merupakan sesuatu yang kami alu-alukan apabila keadaan menjadi sukar.

"Kami harapkan sokongan mereka sekali lagi pada petang ini!"

Faktor penyokong tegar Tampines tidak menjadi kebimbangan kepada jurulatih DPMM, Adrian Pennock.

Baginya apa yang beliau kagumi tentang Tampines adalah rekod perlawanan mereka yang hanya tewas dua kali sejauh ini - di tangan pasukannya dan Albirex.

Menurutnya ia satu keputusan sangat baik dalam liga penuh kompetitif itu.

Walaupun masih mampu mengekalkan rekod tidak pernah kalah selepas 11 perlawanan musim ini, Pennock berkata beliau tetap akan mengambil sikap berhati-hati menjelang setiap perlawanan.

"Kami mungkin mampu meneruskan persembahan baik kami sejauh ini, namun ia tidak menjamin keputusan sama.

"Kami beraksi dalam liga di mana setiap pasukan boleh mengalahkan satu sama lain pada bila-bila masa," tegas Pennock.

"Untuk perlawanan hari ini, saya telah menyaksikan semula rakaman kali terakhir kami bertemu dan perlawanan mereka sebelum ini.

"Saya akan memberi tumpuan terhadap kekuatan dan kelemahan mereka sebagai satu pasukan dan telah mengenal pasti beberapa pemain yang perlu diberi perhatian."

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map