Subuh
5:52
Syuruk
7:09
Zuhur
1:13
Asar
4:14
Maghrib
7:16
Isyak
8:24

Pickford lwn Ramsdale...tarung bagi jersi nombor 1 England

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Sukan
30
0

BOLA SEPAK ENGLAND

Pickford lwn Ramsdale...tarung bagi jersi nombor 1 England

Dec 13, 2021 | 05:30 AM

LONDON: Apabila pengurus England, Gareth Southgate, ditanya mengenai form penjaga gawang Jordan Pickford 14 bulan lalu, pujian beliau untuk pemain itu berpotensi bermasalah.

Pada Oktober 2020, Pickford melalui situasi yang mencabar.

Beliau dicemuh penyokong Liverpool kerana mencederakan pemain pertahanan mereka, Virgil van Dijk, dan selepas beberapa kesilapan dengan kelabnya, Everton, beliau digugurkan oleh pengurus Toffees ketika itu, Carlo Ancelotti - pertama kali beliau digugurkan setelah 120 kali dinamakan dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, Southgate melihat peluang untuk menyokong penjaga gawang nombor satunya itu dengan memberi fokus kepada persembahannya buat England sambil menambah "tiada pemain lain yang boleh menggantikan beliau dalam posisi itu secara serius buat masa sekarang".

Apa juga niat Southgate, ia bukanlah keadaan yang sihat sekiranya seseorang pemain tidak ada pesaing yang serius.

Namun, kini hasil form yang dipamerkan penjaga gawang Arsenal, Aaron Ramsdale, keadaannya bagi England tampak berbeza.

Sepanjang setahun lalu, bekas penjaga gawang Sheffield United, Ramsdale, 23 tahun, telah menunjukkan kebolehan dan juga perwatakannya, untuk menjadi pencabar utama kepada Pickford bagi jersi nombor satu England.

Dengan penjaga gawang Burnley, Nick Pope, gagal memperkukuh kedudukannya manakala Dean Henderson pula mendapati kesukaran untuk menembusi kesebelasan utama di Manchester United, kemunculan Ramsdale adalah berita baik bagi Southgate menjelang Piala Dunia tahun depan.

Dalam perlawanan menentang Leicester City baru-baru ini, aksi Ramsdale menyelamatkan percubaan James Maddison menyerlahkan perjalanannya sebagai penjaga gawang di peringkat tertinggi.

"Save yang terbaik saya lihat dalam beberapa tahun ini," kata bekas penjaga gawang dan legenda Manchester United, Peter Schmeichel.

Aksi Ramsdale itu juga mendapat pujian daripada pengurusnya, Mikel Arteta, yang menggariskan bahawa pemain itu berhak diberi peluang bagi menjadikan jersi nombor satu England sebagai miliknya. Sejak itu, beliau telah pun membuat penampilan pertamanya dalam perlawanan menentang San Marino.

Dalam Liga Perdana England, hanya penjaga gawang Chelsea, Edouard Mendy, sahaja yang mempunyai statistik lebih baik daripada Ramsdale dari segi perangkaan gol yang berjaya diselamatkan.

Kebangkitan Ramsdale bermula dengan pemindahan beliau dengan yuran £24 juta ($43.15 juta) ke Arsenal, pemindahan yang pada mulanya tidak begitu diterima penyokong Gunners memandangkan kededua pasukan yang diwakili Ramsdale - Bournemouth dan Sheffield United - telah diturunkan ke Liga Championship.

Namun, kecemerlangannya mewakili Arsenal mencerminkan kekuatan minda pemain itu, kata Nick Cox, ketua akademi di Manchester United dan menandatangani Ramsdale sebagai pemain berusia 15 tahun untuk Sheffield United setelah beliau dilepaskan Bolton Wanderers.

"Kami tidak sangka kami menandatangani seorang penjaga gawang England di masa depan," kata Cox.

"Kami tidak begitu tahu mengenai beliau, tapi ketika itu Sheffield United memerlukan penjaga gawang dan kami menjemput Aaron untuk sesi percubaan. Kemudian kami menawarkannya biasiswa selama dua tahun.

"Pada tahun pertama, beliau tidak begitu menyerlah. Kami sebenarnya memikirkan mungkin bola sepak profesional di tahap tertinggi mungkin bukan untuk beliau jadi kami menugaskan Aaron membantu jurulatih pasukan akademi setiap minggu.

"Kami berfikir, memandangkan beliau telah diberikan biasiswa, jika beliau tidak dapat menjadi pemain profesional sekurang-kurangnya beliau boleh menjadi jurulatih.

"Aaron tidak tahu ini adalah sebabnya, namun sekitar setahun kemudian kami dapat melihat peningkatan dalam persembahannya kerana beliau menggunakan peluang itu untuk melakukan latihan tambahan dengan pasukan jurulatih penjaga gawang kami," cerita Cox lagi.

Ramsdale kemudian berpindah ke Bournemouth, namun dipinjamkan ke Chesterfield di mana beliau menjaringkan gol sendiri dalam perlawanan pertamanya. Chesterfield kemudian turut mengalami relegasi musim tersebut.

"Jadi beliau mempunyai tiga relegasi dalam CV-nya dan beliau juga perlu menangani cabaran yuran pemindahan £18 juta yang dibayar Sheffield United, jumlah yang besar bagi kelab sedemikian," tambah Cox.

"Namun, sejak mula lagi apabila beliau dilepaskan Bolton, Aaron dapat mencari cara untuk memperbaiki persembahannya, menangani cabaran dan membuktikan kepada pengkritik beliau. Beliau juga jelas mencintai bola sepak, dan amat ghairah untuk melakukan yang terbaik selain juga mempunyai daya tahan yang tinggi," katanya lagi.

Bekas pengurus Sheffield United, Chris Wilder, yang membawa Ramsdale ke pasukan Blades itu berkata pemain itu mempunyai "sikap dan keyakinan dalam keupayaannya", dan ini bermakna beliau merupakan pencabar utama kepada posisi Pickford dalam skuad England.

"Berita baik bagi Arsenal dan England, mungkin bukan untuk Pickford, ialah Ramsdale juga masih muda untuk seorang penjaga gawang, bermakna beliau hanya akan menjadi lebih baik," tambah Wilder.

Ramsdale pula menyifatkan penampilan pertamanya bersama England sebagai "mimpi jadi nyata" meskipun beliau amat sedar dengan realiti keadaan.

"Saya tidak memikirkan untuk menjadi penjaga gawang utama England buat masa ini...saya cuma fokus untuk bermain dengan cemerlang untuk Arsenal, dan apabila diberi peluang mewakili negara, saya akan melakukan yang terbaik kerana ia adalah satu penghormatan.

"Apa yang berlaku, akan berlaku. Saya hanya boleh mengawal persembahan saya sendiri setiap minggu bersama Arsenal," ujarnya.

Bagaimanapun, kecemerlangan Pickford semasa Euro 2020 menunjukkan beliau sendiri sudah melalui evolusi sebagai penjaga gawang.

Kritikan utama terhadap Pickford ialah beliau sering tergopoh-gapah, namun sejak setahun lalu, pemain Everton itu menunjukkan beliau lebih tenang.

Pickford sendiri mengalu-alukan persaingan bagi jersi nombor satu England, meskipun beliau menekankan beliau tidak akan melepaskannya tanpa bertarung habis-habisan.

Mereka yang rapat dengan penjaga gawang itu berkata pengaruh bekas pengurus Everton, Ancelotti, benar-benar memberi kesan positif kepada beliau.

Ancelotti juga meyakinkan Pickford untuk mendapatkan khidmat pakar psikologi untuk membantu meningkatkan persembahannya di padang.

Menurut Ancelotti, penjaga gawangnya itu mempunyai kelemahan dari segi keupayaannya bertenang dalam situasi-situasi tertentu, dan mahu pemain berusia 27 tahun itu untuk tidak terlalu mengikut nalurinya semasa di padang.

Pickford juga mengakui perkara ini.

"Bagi saya, saya memang bergantung kepada naluri saya, tapi saya belajar bahawa saya perlu melakukannya dalam keadaan yang tenang untuk membuat keputusan yang tepat.

"Terdapat teknik-teknik untuk membantu saya bertenang dan ini adalah sesuatu yang saya amalkan.

"Kesannya jelas, saya rasa saya dapat membuat keputusan yang betul dalam banyak situasi...kuncinya ialah untuk melatih minda saya untuk membantu saya menjadi pemain lebih baik," ujarnya.

Setelah berpengalaman dalam dua pertandingan utama, termasuk dalam perlawanan final, Pickford mungkin tidak terlalu tergugat meskipun beliau akur ia adalah satu tekanan yang membakar semangatnya.

"Saya tidak mahu rasa selesa...saya mahu rasa tertekan dan terdorong untuk sentiasa menjadi pemain lebih baik," tegasnya. - Agensi berita.


''Bagi saya, saya memang bergantung kepada naluri saya, tapi saya belajar bahawa saya perlu melakukannya dalam keadaan yang tenang untuk membuat keputusan yang tepat. Terdapat teknik-teknik untuk membantu saya bertenang dan ini adalah sesuatu yang saya amalkan. Kesannya jelas, saya rasa saya dapat membuat keputusan yang betul dalam banyak situasi...kuncinya ialah untuk melatih minda saya untuk membantu saya menjadi pemain lebih baik.. Saya tidak mahu rasa selesa...saya mahu rasa tertekan dan terdorong untuk sentiasa menjadi pemain lebih baik.''
- penjaga gawang utama England, Jordan Pickford.
 
''Kami tidak begitu tahu mengenai beliau, tapi ketika itu Sheffield United memerlukan penjaga gawang dan kami menjemput Aaron untuk sesi percubaan. Kemudian kami menawarkannya biasiswa selama dua tahun. Pada tahun pertama, beliau tidak begitu menyerlah. Kami sebenarnya memikirkan mungkin bola sepak profesional di tahap tertinggi mungkin bukan untuk beliau jadi kami menugaskan Aaron membantu jurulatih pasukan akademi setiap minggu. Kami berfikir, memandangkan beliau telah diberikan biasiswa, jika beliau tidak dapat menjadi pemain profesional sekurang-kurangnya beliau boleh menjadi jurulatih...namun sekitar setahun kemudian kami dapat melihat peningkatan dalam persembahannya kerana beliau menggunakan peluang itu untuk melakukan latihan tambahan dengan pasukan jurulatih penjaga gawang kami.''
- Nick Cox, ketua akademi di Manchester United dan menandatangani Ramsdale sebagai pemain berusia 15 tahun untuk Sheffield United setelah beliau dilepaskan Bolton Wanderers.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3