Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

ANALISIS BERITA - SUKAN SEA VIETNAM

Team SG bangkit cemerlang dari pandemik

May 23, 2022 | 05:30 AM



DALAM edisi Sukan SEA yang belum pernah berlaku sebelum ini - ditunda enam bulan dari jadual asal dek Covid-19 dan diadakan di tengah-tengah pandemik - tanpa diduga atlet negara mencapai kecemerlangan yang belum pernah disaksikan di pentas temasya sukan itu.



Kemenangan sulung yang dinanti akhirnya tercapai, sementara rekod negara yang berkurun lama dicipta turut diganti pencapaian baru.



Yang nyata, atlet Singapura dalam Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, tidak menjadikan pandemik sebagai alasan untuk gagal tampil cemerlang dalam gelanggang malah bangkit daripada kongkongan sekatan Covid-19.



Lebih-lebih lagi pegawai Team Singapore bagi Sukan SEA Vietnam sebelumnya enggan meletakkan sasaran pingat pada pasukan negara di Hanoi.



Dalam edisi temasya sukan lalu di Filipina pada 2019, Singapura menghantar kontinjen terbesarnya seramai 659 atlet yang bertanding dalam 48 sukan.



Mereka pulang dengan 53 pingat emas, 46 perak dan 68 gangsa.



Di Hanoi, hanya 424 atlet - 243 adalah muka baru - mewakili negara dalam 33 sukan. Justeru, hasil pingat turut dijangka kurang.



Sehingga akhbar ini dicetak, Singapura menggondol 47 emas, 46 perak dan 71 gangsa dalam Sukan SEA kali ini.



Namun, di Hanoi, kualiti melebihi kuantiti.



Setiap pingat yang diraih memiliki nilainya yang tersendiri.



Pesilat negara dan juara dunia, Muhammad Iqbal Abdul Rahman, akhirnya digelar juara Sukan SEA selepas lebih sedekad mencuba.



Rakan juara dunia, Nurul Suhaila Mohd Saiful, juga melalui perjalanan serupa. Beliau bukan lagi 'ratu gangsa' menyusuli kejuaraan acara tanding puteri kelas E dalam penyertaan keempatnya.



Kedua-dua pingat emas Iqbal dan Suhaila kemudian membantu pasukan silat Singapura merakam persembahan terbaik mereka dalam Sukan SEA - empat emas, tiga perak dan empat gangsa - sejak edisi 2003.



Dalam gelanggang lawan pedang pula, Singapura turut cemerlang.



Pelawan pedang negara membolot 15 pingat - enam emas, empat perak dan lima gangsa - untuk menghasilkan prestasi paling mantap mereka dalam temasya sukan itu.



Pingat yang dirangkul bukan calang-calang. Mereka mengandungi secebis sejarah dalam sukan Singapura.



Kiria Tikanah Abdul Rahman, Elle Koh, Victoria Lim dan Rebecca Ong menghasilkan pingat emas pertama negara dalam acara berpasukan 'epee' wanita.



Pasukan 'epee' lelaki, yang merangkumi Simon Lee, Samson Lee, Sito Jian Tong dan Elliot Han, juga mencipta sejarah selepas membawa Singapura pingat emas pertamanya.



Jonathan Au Eong pula memenangi pingat emas bersejarah negara dalam acara individu 'foil' lelaki, manakala Jessica Ong, Nicole Wee, Lee Kar Moon dan Jolie Lee meraih pingat perak sulung Singapura dalam acara berpasukan 'sabre' wanita.



Lembaran baru juga dibuka di trek berlumba.



Wanita terpantas Singapura Shanti Pereira memecah rekod nasional, kini 23.52 saat, untuk merangkul pingat emas Sukan SEA keduanya dalam acara larian pecut 200 meter wanita.



Tan Zong Yang dan Calvin Quek masing-masing menulis semula sejarah dengan kemenangan pingat gangsa dalam acara lari 400 meter lelaki dan lompat pagar 400 meter lelaki.



Kemenangan Tan adalah yang pertama dalam 47 tahun, manakala acara Quek kali terakhir mendapat pingat pada 1969.



Pingat perak yang diraih atlet lompat pagar 110 meter Ang Cheng Xiang juga persembahan terbaik negara dalam sejarah acara itu.



Kesemuanya, pasukan atletik menyumbang 11 pingat - satu emas, tiga perak dan tujuh gangsa - kepada pungutan negara, iaitu peningkatan besar daripada edisi 2019, di mana mereka hanya pulang dengan tiga gangsa.



Ada juga kemenangan yang merintis jalan untuk generasi seterusnya.



Kemenangan pingat gangsa srikandi menembak Siti Mastura Rahim, yang pertama buat negara dalam acara individu 'trap' wanita di Sukan SEA, menjadi inspirasi untuk penembak akan datang.



Pasukan bola sepak wanita, yang mencatat kemenangan pertama mereka sejak edisi temasya 1985 ketika beraksi buat julung kalinya dalam 19 tahun, menunjukkan masa depan yang cerah bagi sukan itu.



Natijahnya, tidak kira apa warna pingat - emas, perak atau gangsa - mahupun kedudukan yang berjaya diraih atlet dalam Sukan SEA kali ini, apa yang penting usaha itu menyumbang kepada kemajuan diri dan sukan negara.



Bak pepatah, sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit.



Justeru, Sukan SEA Vietnam dapat menjadi titik permulaan kepada pencapaian yang lebih istimewa.



Mana tahu mungkin dalam masa tujuh tahun akan datang?



Kemenangan pingat Sukan SEA di laman sendiri pastinya manis!




"Natijahnya, tidak kira apa warna pingat - emas, perak atau gangsa - mahupun kedudukan yang berjaya diraih atlet dalam Sukan SEA kali ini, apa yang penting usaha itu menyumbang kepada kemajuan diri dan sukan negara.
Bak pepatah, sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit.
Justeru, Sukan SEA Vietnam dapat menjadi titik permulaan kepada pencapaian yang lebih istimewa.''
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >