Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

PERSIAPAN HADAPI SUKAN SEA

Team Silat rancang 'langkah bijak' hadapi Sukan SEA Vietnam

Negara hos umum tidak akan sertakan beberapa acara tertentu
Mar 15, 2021 | 05:30 AM



SKUAD silat Team SG menghadapi kemungkinan terpaksa merancang 'langkah bijak' bagi menghadapi cabaran Sukan SEA Hanoi 2021 pada hujung tahun ini apabila negara hos Vietnam berkata mereka tidak akan menyertakan beberapa kelas tertentu dalam temasya tersebut.



Langkah yang dirancang termasuk mengarah dan mempersiap atlet bertanding dalam kelas berat badan berbeza yang melibatkan pesilat negara perlu menambah atau menurunkan berat badan.



Sukan SEA Ke-31 dijadual berlangsung di Hanoi, Vietnam dari 21 November hingga 2 Disember ini.



Buat masa ini, dua pesilat negara, yang merupakan juara dunia - iaitu Muhammad Hazim Mohd Yusli (tanding Kelas B, 50-55kg) dan Nurul Suhaila Mohd Saiful (tanding wanita Kelas D, 60-65 kg) terjejas dalam perubahan itu.



"Kami menyedari akan perubahan senarai acara silat yang akan dipertandingkan apabila Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) membahagikan Maklumat Awal mengenai Sukan SEA 2021 dari negara hos Vietnam pada November lalu.



"Dari situlah kami mendapat tahu mengenai kategori dan kelas yang terhad yang bakal dipertandingkan dalam temasya itu.



"Walau apa juga kategori yang negara hos senaraikan, penerima Biasiswa Kecemerlangan Sukan (Biasiswa Spex) kami akan membentuk skuad utama yang akan mewakili negara dalam Sukan SEA 2021 meskipun ia bermakna mereka perlu membuat perubahan pada berat badan," jelas ketua jurulatih pasukan silat nasional Sheik Alau'ddin Yacoob Marican kepada Berita Harian.



Menurut Sheik Alau'ddin, yang juga ketua pegawai eksekutif Persekutuan Silat Singapura (Persisi), beliau tidak terkejut dengan langkah Vietnam itu kerana memang hak negara hos membuat perubahan.



"Namun, Persatuan Pencak Silat Vietnam perlu merujuk terlebih dahulu kepada Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat) untuk mendapatkan nasihat, saranan dan pengesahan berkaitan kategori acara yang akan dipertandingkan.



"Ini bertujuan bersikap adil kepada negara peserta untuk menurunkan atlet masing-masing bertanding dalam kategori mereka sendiri," tambah beliau.



Menurut Sheik Alau'ddin, yang mempersiapkan atletnya sejak tahun lalu baik menerusi kaedah latihan di rumah mengikut kaedah Zoom mahupun di pusat latihan, Persisi masih menanti maklumat lanjut mengenai perubahan itu dari Vietnam.



"Buat masa ini, hanya Muhammad Hazim dan Nurul Suhaila, kededuanya juara dunia Kejohanan Pencak Silat Dunia 2018, terjejas memandangkan kelas berat badan mereka tidak disenaraikan dalam Sukan SEA 2021.



"Bagi membolehkan mereka bertanding, kededua penerima Biasiswa Kecemerlangan Sukan (Biasiswa Spex) ini perlu sama ada menambah atau menurunkan berat badan untuk bertanding dalam kategori acara yang ditawarkan," terang Sheik Alau'ddin.



Dalam keadaan sedemikian, kata beliau, atlet dalam kategori lebih berat yang diperlukan bertanding dalam kelas lebih ringan, perlu melatih diri supaya mampu bergerak lebih lincah dan tangkas untuk melakukan teknik dan serangan mereka.



Perubahan yang dibuat adalah berdasarkan saranan jurulatih nasional setelah membuat penilaian ke atas kekuatan dan kelemahan atlet. Keputusan itu, tambah Sheik Alau'ddin, kemudian akan dikongsi bersama pihak pengurusan.



"Ini bukan kali pertama kami berdepan keadaan serupa. Kami pernah membuat langkah penyesuaian iaitu merombak senarai penyertaan atlet untuk bertanding dalam kategori berbeza dalam pertandingan utama.



"Muhammad Shakir Juanda, yang kini telah bersara daripada bertanding, diarahkan menaikkan berat badannya daripada Kelas C (55- 60kg) kepada Kelas H (80-85kg) untuk mempersiap beliau bertanding dalam kategori lebih berat.



"Hasilnya, beliau muncul juara dunia dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia 2012 di Chiang Rai, Thailand," kata Sheik Alau'ddin memberi contoh.



Mengulas langkah Vietnam membuat perubahan itu, juara dunia tiga kali (Kelas J, 90-95 kg) 2015, 2016 dan 2018), Sheik Farhan Sheik Alau'ddin, berkata beliau tidak menghadapi sebarang isu dengannya.



"Saya hanya berharap mereka akan membuat keputusan muktamad mengenai senarai kategori secepat mungkin bagi membolehkan atlet dan negara peserta lain membuat persiapan," kata kapten pasukan pesilat Team SG itu.



Menurut Sheik Farhan, dalam Sukan SEA Singapura 2015, beliau diturunkan bertanding dalam Kelas H (80-85kg) dan bukan Kelas J (90-95kg) mengikut berat badannya.



"Walau saya diberi masa dua bulan membuat persiapan, ia tidak terlalu sukar kerana ketika itu berat badan saya sedang meningkat menghampiri 90kg, jadi saya lebih hampir kepada Kelas H berbanding J.



"Jika saya diperlukan mengulanginya tahun ini (menukar berat badan), saya akan kurangkan makan dan perlukan beberapa bulan untuk mengurangkan berat badan secara sihat agar ia tidak akan menjejas kekuatan saya," kata beliau, yang memenangi pingat emas acara itu.



Memberikan komen, Nurul Suhaila, yang terjejas dengan perubahan itu, berkata beliau menanti-nantikan apa yang dirancang untuknya.



"Pertamanya, saya perlu menambah berat badan untuk melayakkan diri ke Kelas E (65-70kg).



"Saya juga bakal berdepan lawan yang lebih berat tetapi saya tidak risau sangat kerana saya pernah bertanding dalam kelas berbeza sebelum ini.



"Sasaran saya tetap sama, tempat teratas," ujar beliau.




"... Persatuan Pencak Silat Vietnam perlu merujuk terlebih dahulu kepada Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat) untuk mendapatkan nasihat, saranan dan pengesahan berkaitan kategori acara yang akan dipertandingkan.



Ini bertujuan bersikap adil kepada negara peserta untuk menurunkan atlet masing-masing bertanding dalam kategori mereka sendiri."
- Sheik Alau'ddin Yacoob Marican, ketua jurulatih skuad silat Team SG.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >