Teka-teki Solskjaer sebagai pengurus tetap Man Utd, Berita Sukan - BeritaHarian.sg
Subuh
5:44
Syuruk
7:02
Zuhur
1:07
Asar
4:19
Maghrib
7:10
Isyak
8:20
Sukan0

LIGA PERDANA ENGLAND

Teka-teki Solskjaer sebagai pengurus tetap Man Utd

Mar 09, 2019 | 05:30 AM

MANCHESTER: Pasukan Manchester United dikatakan bakal menawarkan jawatan pengurus tetapnya kepada Ole Gunnar Solskjaer, menurut beberapa laporan akhbar Britain.

Malah, laporan tersebut mendakwa kelab Old Trafford itu sudah bersedia menawarkan kontrak bernilai £7.5 juta paun ($13.36 juta) setahun kepada pengurus asal Norway itu.

Jumlah itu separuh daripada pakej gaji pengurus United sebelum ini - Jose Mourinho - yang dilaporkan bernilai £15 juta setahun.

Kedudukan jawatan Solskjaer, yang dilantik pengurus sementara United pada Disember lalu setelah kelab gergasi dunia itu memecat Mourinho, semakin kukuh setelah kelab itu berjaya menewaskan Paris St Germain (PSG) di padang lawan dalam perlawanan Liga Juara-Juara, meskipun berdepan dengan defisit dua gol daripada perlawanan pertama.

Keputusan itu membolehkan United mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara dengan kelebihan gol di padang lawan.

Berita Popular

Kejayaan di Paris itu telah disifatkan ramai sebagai 'malam Eropah paling indah' bagi United sejak kejayaan mereka dalam final di Moscow pada 2008, di bawah pimpinan pengurus lagenda, Sir Alex Ferguson.

Belum pernah dalam 106 percubaan pertandingan kelab berprestij Eropah sebuah pasukan mampu mencapai kemenangan sedemikian.

Jika laporan tersebut terbukti tepat, Solskjaer nampaknya mempunyai sokongan pemain United.

Pemain bek kiri United, Luke Shaw, melaungkan pujiannya terhadap Solskjaer yang dapat memulihkan prestasi United, yang sejak lama kurang menyerlah di bawah bimbingan David Moyes, Louis Van Gaal dan Mourinho setelah persaraan Ferguson.

Shaw berkata:

"Kami semua sukakan Ole dan kerja yang telah dilakukannya setakat ini, saya rasa tak perlu diperkatakan lagi. Lihat sahaja keputusan yang telah kami perolehi, ia sangat jelas (Solskjaer akan mendapat jawatan pengurus tetap United).

"Kami puas hati dengan segala apa yang berlaku di kelab ini sekarang dan hasilnya terbukti dengan keputusan yang sudah kami capai.

"Sembilan kemenangan berturut-turut di padang lawan dan ini menunjukkan kebolehan Ole dan kakitangannya.

"Kemenangan itu menyimpulkan suasana positif dalam kelab ini sekarang. Ini adalah tambahan besar buat Ole.

"Dengan apa yang telah dia lakukan dalam tempoh terdekat ini dan bagaimana dia telah ubah keadaan kelab ini, saya pasti banyak lagi yang kita boleh jangkakan daripada Ole."

Dengan rekod hanya satu kekalahan dalam 17 perlawanan dan sembilan kemenangan berturut-turut di padang lawan - termasuk kemenangan menentang Tottenham, Arsenal, Chelsea dan PSG - Solskjaer telah 'mengatasi' pesaingnya termasuk pengurus S'purs Mauricio Pochettino, yang dikatakan juga dalam pertimbangan untuk mengurus United sepenuh masa.

Menurut sumber yang ditukil akhbar The Mirror, pengurus Norway berusia 46 tahun itu sanggup menerima pakej gaji lebih rendah daripada Mourinho untuk memburu impiannya menguruskan United sepenuh masa.

Sebelum mengambil alih jawatan pengurus sementera di United berikutan pemecatan Mourinho, bekas penyerang United itu menguruskan Molde, sebuah kelab di negara kelahirannya, dengan bayaran gaji £400,000 setahun.

Selain gaji asas, kontrak Solskjaer juga termasuk klausa bonus yang lumayan berkaitan dengan kedudukan United dalam Liga Perdana England (EPL) dan sama ada pasukan itu memenangi trofi di bawah kepimpinannya.

United masih belum mengesahkan pelantikan tetap Solskjaer namun kakitangan latihan serta pemain tahu ia tidak lama sebelum Solskjaer mendapat kelulusan daripada pemilik kelab itu.

Legenda United, Peter Schmeichel, yang pernah menjadi rakan sepasukan Solskjaer, berkata dengan rekod pengurus sementara itu, para pengarah kelab Old Trafford "tidak siuman" jika mereka tidak melantiknya sebagai pengurus sepenuh masa.

"Mereka mesti memberinya jawatan tersebut. Tidak ada sebab lagi untuk mencari pengganti lain.

"Ole telah mencipta semua suasana di Old Trafford yang tidak dirasakan sejak persaraan Ferguson.

"Pemain nampaknya memberi respons positif kepada beliau, penyokong mencintainya dan semua orang dapat lihat kesan positif beliau kepada kelab hebat ini," ujarnya.

Ketika Mourinho dipecat, United berada 11 mata di belakang pasukan di tangga keempat. Musim EPL pasukan itu juga seakan dalam keadaan huru-hara.

Solskjaer telah memutarkan keadaan kempen mereka dalam kurang tiga bulan sahaja.

Beliau juga membantu United berada di tempat keempat, dan membawa United ke peringkat suku akhir kededua Liga Juara-juara dan Piala FA.

Ashley Young, yang turut menyetujui komen Shaw berkata:

"Jika anda tonton persembahan Ole sejauh ini, anda akan kata 'kenapa tidak?'. Sejak Ole masuk ke kelab ini, apa yang telah dia lalukan sangat menakjubkan, bagaikan nafas udara segar." - Agensi berita.


REKOD SOLSKJAER DI MANCHESTER UNITED

17 Perlawanan:

- 12 perlawanan Liga Perdana England

- 3 perlawanan Piala FA

- 2 perlawanan Liga Juara-juara

Menang: 14 (9 kemenangan berturut-turut di padang lawan)

Seri: 2

Kalah: 1

- Tangga keempat dalam Liga Perdana England

- Peringkat suku akhir Liga Juara-juara

- Peringkat suku akhir Piala FA

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map