Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LIGA PERDANA ENGLAND

5 Terbaik

Liga Perdana England (EPL) akhirnya melabuhkan tirai selepas mengharungi 12 bulan yang mencabar. Dengan kadar penularan wabak Covid-19 yang merebak pantas menjadi keprihatinan ramai, penyokong bola sepak boleh menganggap diri mereka bertuah kerana masih dapat menyaksikan aksi bola sepak sejak beberapa bulan yang lalu. Di tengah-tengah ketidakpastian yang berlaku, beberapa pemain EPL masih mampu menyerlah dalam keadaan yang suram. BERITA HARIAN mengenal pasti 5 pemain yang menonjol musim lalu.
May 27, 2021 | 05:30 AM



Ruben Dias



'Tembok kukuh' Manchester City



HAMPIR setiap pemain yang menyertai EPL dari luar negara pada musim panas lalu telah melalui kempen sulung yang sukar di England, dengan negara tersebut melaksanakan perintah sekatan hampir sepanjang tempoh tahun lalu. Justeru, ia amat mengagumkan apabila Ruben Dias berjaya mempamerkan aksi yang cemerlang sebagai pemain pertahanan Manchester City.



Pemain Portugal berusia 24 tahun itu ditampilkan sebanyak 32 kali bagi City sepanjang musim EPL lalu, dan kehebatannya turut membantu meningkatkan persembahan rakan pertahanannya John Stones.



Gandingannya dengan Stones sebagai nadi benteng pertahanan pasukan kendalian Pep Guardiola, memainkan peranan penting dalam membantu City merangkul gelaran juara musim ini. Gawang mereka hanya dibolosi sebanyak 32 kali.



Selepas hanya meraih satu kemenangan dalam tiga perlawanan pertama liga, pengaruh Dias yang semakin meningkat dalam skuad City membantu mereka meneruskan rentak kemenangan 21 perlawanan dalam semua pertandingan, termasuk 15 kemenangan berturut-turut di EPL.



City mungkin telah menemui pengganti bekas kapten Manchester City Vincent Kompany, sebagai wira pertahanan, setelah hampir sedekad mencari.




Harry Kane



Cipta kenangan akhir bersama Spurs



SUKAR untuk membayangkan Tottenham Hotspur tanpa bintang penyerang mereka, tetapi kian nyata sudah tiba masanya Harry Kane meninggalkan kelab itu bagi memenuhi impiannya untuk memenangi trofi utama.



Tidak dapat dinafikan bahawa Kane sering memberikan yang terbaik setiap kali beliau menyarung jersi kelab yang telah membantunya sejak kecil lagi.



Kane, yang telah menyarung jersi Spurs sejak 2009, boleh bangga dengan apa yang dikecapinya bersama kelab tersebut.



Beliau telah menjaringkan 221 gol dalam 336 perlawanan untuk Spurs dalam semua pertandingan dan kini berada di landasan untuk memecahkan rekod jaringan terbanyak EPL Alan Shearer sebanyak 260 gol. Kane, 27 tahun, kini telah menjaringkan 166 gol.



Semangat Kane untuk sering meningkatkan dirinya turut mendapat pujian ramai.



Di bawah bimbingan Jose Mourinho, pemain pasukan England itu telah menunjukkan bahawa beliau bukan sahaja mampu menjaringkan gol, bahkan mencipta peluang jaringan untuk rakan sepasukannya.



Selepas memenangi but emas dengan 23 gol musim ini dan juga menduduki tangga teratas bagi ciptaan peluang gol dengan 14 'assist', ia jelas, Spurs akan kehilangan satu permata yang akan sukar digantikan.




Phil Foden



Bakat besar Manchester City



INI merupakan musim yang luar biasa bagi Phil Foden meskipun hanya beberapa bulan yang lalu terdapat keraguan sama ada beliau mungkin perlu meninggalkan Manchester City untuk memenuhi potensinya.



Dari pertengahan Oktober hingga Disember lalu, pemain muda berusia 20 tahun itu hanya memulakan satu perlawanan EPL.



Bagaimanapun, Foden berjaya merubah semua tanggapan mengenai dirinya dan berjaya menambat hati penyokong City.



Memang tidak dapat dinafikan bakat yang ada pada dirinya - sejak beliau membantu pasukan England menjuarai Piala Dunia Bawah 17 Tahun, jelas bahawa Foden mampu menjadi pemain England terpenting dalam kalangan pemain generasinya.



Persembahannya di Anfield pada Februari lalu bukan sekadar meranapkan harapan Liverpool untuk mempertahankan gelaran juara liga, ia juga menunjukkan bahawa beliau kini merupakan salah seorang pemain terbaik EPL.



Dengan tiga gelaran juara liga, satu pingat Piala FA dan empat pingat pemenang Piala Liga, finalis Liga Juara-Juara dan Euro 2020 yang akan datang, Foden boleh bangga dengan apa yang dikecapinya dalam tempoh tiga tahun pertama bersama City.




Bruno Fernandes



Jawapan yang dicari-cari Manchester United



DALAM musim sulungnya di EPL, Bruno Fernandes telah dinobat sebagai pemain terbaik bulanan sebanyak empat kali selepas menyertai Manchester United pada awal 2020.



Persembahannya terus meningkat musim ini yang turut menyaksikan beliau menjaringkan 28 gol dalam 57 penampilan di semua pertandingan.



Di samping jaringannya, Fernandes turut membantu United dari segi mencipta peluang jaringan.



Pemain Portugal berusia 26 tahun itu dianggap sebagai permata yang dicari-cari United setelah sekian lama dan apabila sekitar 10,000 penyokong hadir di dalam stadium untuk menyaksikan perlawanan menentang Fulham, ia bagai satu pengalaman yang amat manis setelah terpaksa menunggu sekian lama untuk melihat Fernandes beraksi secara dekat.



Sekiranya Fernandes tidak menaiki pesawat dari Libson ke Manchester, sukar untuk menjangkakan kedudukan United sekarang.



Yang pasti, musim ini telah menunjukkan bahawa skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer telah bangkit sekali lagi sebagai pasukan yang digeruni selepas berjaya mengakhiri musim EPL di tangga kedua dan jejak final Liga Europa.




Jesse Lingard



Nasib berubah bersama West Ham



KETIKA Jesse Lingard meninggalkan Manchester United untuk dipinjamkan kepada West Ham, reputasinya sebagai pemain telah terjejas teruk, hingga ia dilihat sebagai sukar untuk diperbaiki.



Beliau pernah berkongsi tentang cabaran yang terpaksa dilaluinya tahun lalu dengan masalah yang melanda keluarganya.



Statistik dari tiga tahun terakhirnya di Old Trafford gagal menunjukkan bakat sebenar pemain berusia 28 tahun, yang suatu ketika dahulu pernah menjadi harapan United.



Dalam 79 perlawanan EPL bersama United sebelum ini, pemain yang terkenal sebagai pemain 'attacking midfield' itu hanya mampu menjaringkan gol sebanyak 13 kali.



Namun apabila beliau berpindah ke West Ham pada Januari lalu, persembahannya berubah sepenuhnya.



Lingard bagaikan telah menemukan rentak permainannya yang telah lama hilang, dan beliau kelihatan lebih selesa dan gembira.



Lingard menjaringkan sembilan gol dalam 16 perlawanan pertamanya, dan hampir membantu West Ham menempah tiket beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.



Persembahan Lingard hampir sama hebatnya dengan pengurusnya David Moyes, yang turut berjaya mengubah nasibnya setelah melalui tempoh yang sukar ketika mengendalikan United.



Dalam bola sepak, seperti dalam kehidupan, mungkin apa yang diperlukan adalah perubahan pemandangan dan pengalaman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >